SUASANA Syawal di kampung saya tidak seperti dulu-dulu lagi. Tahun ini pertama kali saya beraya tanpa abah. Dia meninggalkan kami enam bulan lalu.

Lebih sedekad setelah emak pergi, abah pula mengikutnya, menjadikan saya mengakhiri Ramadan dalam status yatim piatu.

Memanglah sayu. Tidak lagi dapat saya mengulangi kebiasaan sejak kecil – memeluk dan mencium abah setiap pagi Syawal...

Tetapi bukan ketiadaan kedua orang  yang dikasihi itu membuat saya kesunyian. Sebenarnya ada kehilangan lebih besar yang saya rasakan kali ini.

Meski gema takbir pada pagi mulia itu masih bergema penuh syahdu, semangat suci  Aidilfitri  sudah banyak dicemari.

Ke mana perginya kasih sayang dan kemesraan? Inilah yang saya – mungkin juga ramai orang lain – terasa amat kehilangan walaupun dalam gema takbir.

Awal pagi masjid kampung saya dikunjungi orang ramai, sebahagian besarnya orang dari bandar yang pulang beraya di kampung kelahiran.

Ada tegur-menegur apabila bertemu teman-taman lama. Masih ada juga bersalaman dan berbalas senyum. Tetapi setakat itu sahaja.

Tidak lebih dari sekilas senyum dan sentuhan salaman sekadar berbasa-basi, selebihnya masing-masing tidak berbual mesra seperti dulu.

Tiada kemesraan – dan keikhla-san – seperti Syawal dulu-dulu. Kemesraan fizikal dan perasaan sesama insan sudah hilang; yang kelihatan hanya kemesraan bersama telefon bimbit!

Tidak menghiraukan kawan dan orang lain, masing-masing sibuk berkomunikasi dengan gajet di tangan. Sambil bertakbir pun mereka melayan tetamu maya.

Hatta, ketika khatib menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri, masih ada seorang dua yang tergamak melayan tetamu menerusi gajet.

Nampak sangat kecintaannya terhadap gajet mengatasi rasa cinta terhadap yang lain-lain!

Perangai bergajet-gajet juga ditunjukkan ketika berkunjung ke rumah sanak-saudara. Tidak kira yang dikunjungi itu adalah orang yang lebih tua, pengunjung sudah tidak menghiraukan sangat tujuan mereka berkunjung.

Kunjungan hari raya adalah untuk menyambung dan mengeratkan silaturahim, dengan saling bertanya khabar, berkongsi pengalaman dan saling mendoakan, sambil menik-mati pelbagai juadah yang dihidangkan.

Sepatutnya yang jauh dirapatkan, yang dekat dieratkan. Inilah matlamat yang menjadi tradisi di sebalik kunjungan raya. Sayang sekali tradisi murni ini dirosakkan oleh gajet.

Di meja makan suasana tidak lagi dimeriahkan dengan bunyi sudu dan senduk, sebaliknya diganggu dengan deringan gajet.

Baru hendak menyuap, telefon dalam saku berdering. Ketika mengunyah, gajet berbunyi dan terpaksa berhenti makan. Suasana kekeluargaan yang sepatutnya dijalin erat di tempat makan, terganggu oleh gajet.

Tuan rumah berasa amat tidak selesa, malah kesipuan, kerana perbualan dengan tetamu diganggu bertalu-talu oleh WhatsApp, Face-book, Twitter.

Tetamu yang datang sudah hilang rasa hormat kepada tuan rumah, juga hilang kemesraan dengan sesama yang berkunjung, gara-gara keasyikan melayan rakan di maya.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Ke mana hilangnya kesopanan dan kesantunan beraya? Kenapa gajet lebih dimuliakan daripada manusia? Di mana budi bahasa kita?

Menoleh ke belakang, saya lebih bahagia kembali ke zaman silam yang serba-serbi kuno, tiada kemudahan, tiada kecanggihan teknologi. Raya betul-betul dengan kesyahduan dan keinsafan.

Apa gunanya kecanggihan teknologi sekiranya sesama insan sudah hilang ciri kemanusiaan? Apa gunanya ICT sekiranya orang lebih suka bercakap dengan besi keluli?

Sesuatu mesti dilakukan sebelum kita menjadi lebih parah. Hari raya adalah antara sesama manusia, bukan antara manusia dengan gajet.

Hari raya tahun ini telah berlalu dengan penyesalan. Saya tidak mahu penyesalan berulang. Maka raya-raya akan datang saya akan membuat perubahan.

Saya akan sediakan di pintu masuk sebuah tempayan besar. Setiap tetamu yang datang dikehendaki meletakkan telefon bimbit dan lain-lain gajet dalam tempayan berkenaan. Ambil semula benda-benda itu ketika hendak pulang nanti.

Cara ini memang kasar, mungkin menyebabkan sanak-saudara tidak sudi mengunjungi saya pada hari raya.

Maaf cakap, bagi saya lebih baik mereka tidak berkunjung raya, daripada datang hanya untuk bermesra dengan gajet!

Seyogia diingat saya bukan anti kemajuan. Malah, saya setuju bahawa kita perlu menyesuaikan diri, dan mengikut perubahan ICT.

Tetapi, apa pun perubahan dan kecanggihan teknologi, ia tidak semestinya menghakis dan membuang langsung tradisi asal kita.

Tidak kira secanggih mana kemajuan, dan setinggi mana status, kita tetap insan. Bukan besi buruk!