KETUA Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad benar-benar mengotakan apa yang dikata. “Tunggu...” demikian beliau menegaskan mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas mana-mana ahli politik yang korup.

Tidak perlu menunggu lama, hanya beberapa hari selepas kenyataan berkenaan, badan antirasuah itu bertindak ke atas Tan Sri Annuar Musa.

Seperti yang dilaporkan semua media, SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Pengerusi Mara itu.

“Ingin ditegaskan bahawa siasatan hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan bola sepak Kelantan,” kata kenyataan SPRM.

Dua anak syarikat Mara - Pelaburan Mara Bhd (PMB), dan UniKL – dikatakan telah menaja The Red Warrior (TRW), pasukan bola sepak Kafa di mana Annuar pernah menjadi presiden hingga akhir tahun lalu.

Seperti yang diketahui umum, tuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam menaja TRW itu mulanya dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemilik pasukan bola sepak JDT itu, menerusi laman Facebook, mempertikai kewajaran penajaan tersebut pada ketika ekonomi meleset sekarang, sedangkan duit penajaan itu sepatutnya lebih wajar digunakan bagi tujuan pendidikan.

Annuar enggan mengulas tuduhan dari Selatan itu, dan menyifatkannya sebagai merepek. Tetapi TMJ kemudian mengemukakan perincian – termasuk invois dan beberapa dokumen – bagi membuktikan beliau tidak merepek.

Sebaliknya Annuar berkata dengan invois dan dokumen tersebut membuktikan penajaan tersebut dibuat secara telus. Memanglah telus. Cuma umum sangsi apakah kedudukan Annuar sebagai Pengerusi Mara dan Presiden Kafa yang membolehkan penajaan secara telus itu?

Tidakkah wujud percanggahan kepentingan? Mungkin ini antara tumpuan penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM. Bukan sahaja TMJ, orang ramai pun ingin mengetahui secara terperinci mengenai penajaan tersebut.

Siasatan SPRM ini membuktikan lagi ketegasan agensi tersebut dalam memerangi rasuah dan penyelewengan yang sejak akhir-akhir ini menangkap bukan sahaja ikan bilis tetapi ikan-ikan besar lain.

Tidak kira apa jenis ikan, Annuar baru dibuka fail untuk siasatan. Tidak siapa tahu apa terjadi di hujung siasatan tersebut. Apa yang pasti seseorang itu masih kekal bersih selagi tidak dibuktikan bersalah. Tunggu...

Dalam pada itu mesyuarat khas Ahli Majlis Mara telah sebulat suara mengarahkan supaya Annuar bercuti dari jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi PMB sementara audit dalaman dilakukan berhubung penajaan TRW. Annuar menerima keputusan mesyuarat khas itu, “dengan berlapang dada”.

Setakat ini nampaknya siasatan SPRM ke atas Annuar tidak ada kaitan politik. Tan Sri tersebut disiasat atas kedudukannya sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi PMB.

Tetapi Annuar juga orang politik, malah otai politik. Semua orang tahu beliau anggota Parlimen Ketereh, juga Ketua Penerangan Umno.

Ketika mengulas kenyataan ‘tunggu...’ SPRM beberapa hari lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan Umno bersih.

Malah ketika ditanya mengenai siasatan ke atas Annuar, Tengku Adnan berkata, seperti yang dilaporkan Bernama: “Sebagai Ketua Penerangan Umno, beliau bekerja dengan kuat dan melaksanakan tugas dengan baik, tidak ada masalah.”

Biarlah siasatan di Mara ini bertumpu hanya kepada penajaan TRW, jadi tidak kaitkan Umno. Biarlah parti terbesar orang Melayu terus bersih, atau sekurang-kurangnya dilihat bersih.

Cuma sekadar makluman selama ini pun ramai orang politik, termasuk dari Umno, pernah disiasat oleh SPRM, ada yang sangkut dan menerima hukuman penjara. Sesetengahnya terlepas sebab tidak cukup bukti.

Malah, dalam sejarah Umno ada pemimpin tertingginya yang terang-terang terlibat dalam politik wang. Siasatan telah dilakukan, dan pesalah telah dihukum.

Tetapi, kadangkala pemain politik wang @ perasuah boleh disanjung semula. Dalam kes Umno ada pemimpin yang disahkan korup, telah diambil tindakan tegas, tetapi masih diberi kedudukan dan tempat utama.

Pengamal politik wang dipulihkan dengan meletakkannya pada kedudukan tertinggi, atas alasan mereka telah banyak berjasa pada parti, bangsa, negara dan agama. Bukan sahaja dihormati, malah diberi gaji dan imbuhan yang lumayan.

Agaknya itulah sebab rasuah payah hendak diperangi di tempat kita. Tentu kepimpinan baharu SPRM tahu hal ini!