BAGI pemimpin  tidak kira parti apa ada macam-macam sumpah dan ikrar untuk menyatakan kecintaan terhadap parti: Setia bersama parti. Hidup dan mati hanya untuk parti. Rela berkorban apa sahaja demi parti, macam-macam lagi.

Ini adalah masa untuk rakyat, khasnya pengundi, melihat sejauh mana sumpah dan ikrar tersebut ditaati.

Siapa betul-betul berjuang untuk parti, siapa pula berjuang untuk kepentingan peribadi.

Sebenarnya sumpah atau ikrar sama seperti manifesto. Manifesto diuji selepas pilihan raya; sama ada janji-janji manis betul-betul dilaksanakan, atau dilupakan begitu sahaja.

Sumpah dan ikrar setia terhadap parti pula diuji sebelum pilihan raya, lebih tepat lagi sebaik pengumuman penamaan calon.

Sebab hari penamaan calon adalah ujian terbesar untuk pemimpin – tidak kira peringkat atas atau bawah – yang selama ini berikrar dan bersumpah setia.

Contoh: seorang wakil rakyat yang sejak dipilih pada PRU lalu telah melaksanakan tanggungjawab terhadap kawasan dengan cemerlang, dan disukai pengundi.

Sudah tentu sepanjang bergelar YB dia bekerja siang-malam untuk parti yang diwakilinya.

Kalau ditanya pasti dia berkata gelaran YB tidak penting, dan dia berikrar: “Tanpa gelaran YB pun saya boleh berbakti...” Demikian setianya pada parti.

Tetapi apabila namanya digugurkan – atas apa sebab pun – pada hari penamaan calon, dia begitu kecewa dan menangis kesal.

Dulu berikrar akan terus berbakti kepada rakyat walaupun tanpa menjadi wakil.

Sekarang apabila nama tercicir dari senarai calon, dia gelabah. Sepatutnya dia masih boleh berkhidmat, sebab dia tetap ahli parti.

Ada contoh yang lebih klasik: seorang pemimpin sejak lima tahun ini berkempen sakan untuk parti. Pantang ada pihak memperlekeh partinya, dia akan mempertahankan habis-habisan.

Pagi-petang, siang-malam, tugasnya hanya mempropaganda parti yang diwakilinya. Partinya adalah yang terbaik, pejuang bangsa, memartabat agama.

Siapa sahaja menentang partinya, akan dianggap pengkhianat bangsa. Mendengar kenyataan dan cakap-cakapnya di media, dialah benar-benar berkorban untuk parti.

Hatta hidup dan matinya hanyalah untuk parti. Parti-parti lain semuanya haprak, hanya partinya sahaja yang betul-betul perlu dipertahankan, walaupun dengan darah.

Pendek kata, berkobar-kobar sekali semangatnya untuk parti. Jeritannya hanya untuk satu parti. Tiada yang lain kecuali partinya.

Tetapi apabila namanya tidak dicalonkan untuk PRU14, nada dan suaranya sudah lain.

Cakapnya sudah berbeza. Dia mula mempertikai keputusan kepimpinan parti tidak mencalonkan namanya.

Dia begitu kecewa tidak dicalonkan. Bagaikan hilang kecintaan dan kasih sayang terhadap parti yang disanjung selama ini. Dia lupa ikrar dan sumpah setia terhadap parti.

Malah, ada desas-desus dia akan berpaling tadah menentang parti yang selama ini dipertahankan habis-habisan. Gara-gara tidak dicalonkan, dia sanggup menjadi penderhaka.

Apakah semangat berkobar-kobar dan perjuangan berapi-api terhadap parti boleh padam begitu sahaja hanya kerana tidak dipilih sebagai calon?

Tidak kira dicalonkan atau tidak, kecintaan terhadap parti mestilah kekal dan kental. Perjuangan sebenar mestilah untuk parti, bukan untuk kerusi.

Pada pengamatan saya, pemimpin belum tentu selamanya setia pada parti.

Ada banyak bukti menunjukkan pemimpin berpaling tadah kerana tidak mendapat kedudukan dalam parti.

Ada yang cakap berkobar-kobar mempertahankan parti, tetapi akhirnya menjadi pengkhianat apabila tidak menerima habuan berbaloi-baloi dari parti.

Ada pun yang betul-betul setia pada parti atau lambang parti ialah rakyat di peringkat bawahan. Mereka hanya ahli biasa, tetapi taasub kepada lambang parti.

Rakyat bawahan ini tidak tahu putar-belit dan sepak-terajang politik. Sekali setia kepada parti, mereka tidak akan berpaling tadah, dan akan menyanjung lambang parti sampai ke mati.

Maka teringat saya seorang Wak di kampung di negeri Johor yang hidupnya biasa sahaja, tidak ada harta, tidak dipandang orang, tetapi setianya hanya pada satu parti.

Ada pemimpin dari parti lain cuba menghasut dan meracuni fikirannya supaya pada PRU14 ini Wak memangkah lambang lain.

Tetapi Wak berusia lebih 70 tahun dan telah beberapa kali mengundi itu, berkata tegas, dalam loghat Jawa yang pekat:

“Biar hidup aku syusyah asalkan amno memerintah!” Maksudnya: biarlah hidupnya susah, asalkan Umno tetap memerintah.

Memang, dia tidak kaya, tidak mengenali mana-mana pemimpin, tidak juga dikenali pemimpin. Pada hemat saya orang seperti Wak ini adalah pejuang sebenar parti.