HANYA seminggu lagi tarikh 31 Ogos, tetapi ramai yang macam tidak kisah mengenai Hari Merdeka. Sekiranya kibaran bendera dijadikan kayu ukur, ternyata ulang tahun ke-60 ini paling muram.

Di KL tidak nampak banyak kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang. Biasanya sejak minggu pertama bulan merdeka kereta, teksi, bas hatta lori pengangkut sampah meriah dengan bendera.

Kecuali bangunan kerajaan, tidak banyak juga premis yang sudi – dan megah – mengibarkan atau meletak jalur merah-putih berbulan-bintang itu.

Tidak juga panji-panji kemer-dekaan itu menyerikan rumah-rumah. Di kawasan tempat saya tinggal ada lebih kurang 800 rumah yang dihuni masyarakat berbilang kaum. Setakat petang semalam hanya rumah saya mengibarkan bendera.

Harap-harap sehari dua ini banyak lagi bendera dikibarkan pada anjung, bumbung dan tingkap rumah-rumah lain. Sedih!

Di tempat lain orang menyayangi dan megah dengan bendera. Tidak kira apa bentuk, corak dan warna, bendera adalah lambang kedaulatan negara. Seperti yang dicatatkan sejarah, zaman para sahabat, orang sanggup mati kerana mempertahan dan menegakkan panji Islam. Mereka syahid dengan tubuh berlumuran darah, sambil memeluk panji.

Pada era moden pun, ada yang sanggup berbunuhan kerana bendera. Terkini, di Jakarta kumpulan yang bergelar Laskar Merah Putih menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Kuningan, juga gara-gara bendera.

Alkisah, Sang Saka Merah-Putih – bendera republik Islam terbesar itu – telah dicetak terbalik dalam buku cenderahati Sukan Sea 2017.

Sehinggakan Presiden Joko Widodo terpaksa campur tangan dengan meminta isu berkenaan tidak diperbesar-besarkan “walaupun ia memang dikesali.”

Selain tunjuk perasaan di pejabat kedutaan, kumpulan penggodam yang menggelar diri sebagai ExtremeCrew telah menyerang 33 laman sesawang Malaysia.

Seperti yang dilaporkan AFP, penggodam telah memuat naik imej bendera terbalik berkenaan, dengan mesej yang jelas: “Bendera negaraku bukanlah mainan!”

Demikian bangsa bermaruah di negara jiran menyayangi bendera. Tetapi di tempat kita Hari Merdeka pun orang tidak sudi – macam malu! – untuk mengibarkan bendera.

Masih berfikiran positif, saya percaya sebahagian besar orang kita pun sayang bendera. Cuma, untuk tahun ini mungkin ada sebab tertentu mereka tidak mengibarkan bendera. Maaf cakap, ini agaknya antara faktor kemuraman Jalur Gemilang pada sambutan merdeka 60 tahun:

Pertama, orang ramai, termasuk yang makan gaji, berasa duit mereka semakin kecil tahun ini. Sesetengahnya langsung tidak berduit sebab dibuang kerja.

Harga bendera bersaiz besar ialah RM12 – ada pasar raya menawarkan RM10 – sehelai. Tentu tidak ada hal bagi yang berduit, tetapi perlu fikir dua tiga kali bagi yang tidak berduit.

Almaklumlah, dengan RM12 boleh dapat sekilo ikan kembung @ ikan rakyat, untuk lauk seisi keluarga. Duit sebanyak itu juga boleh dapat roti canai untuk makan anak-beranak. Mereka mencongak: apa guna bendera berkibar sekiranya perut lapar. Maka lebih wajar roti canai daripada bendera.

Kedua, orang ramai marah sebab ketika mereka mengeluh duit selalu ciput, ada pula sesetengah pihak yang mempunyai duit terlalu banyak sehingga tidak tahu di mana hendak disimpan.

Sementara semua orang kekeringan duit dan hidup tertekan, kais pagi makan pagi, ada orang yang menyimpan duit RM juta-juta dalam almari dan laci di rumah.

Pada masa ramai yang tiada sesen pun dalam saku sebab dibuang kerja, ada pula kumpulan penyangak yang dengan mudah songlap RM270 juta membeli hotel di luar negara. Duit awam telah dibazirkan untuk pelaburan yang merugikan.

Maka dalam keadaan marah, ramai merungut, biarlah kaki rasuah dan kaki songlap sahaja yang mengibarkan mendera. Lagi pun duit rasuah mereka yang berkoyan-koyan itu boleh ditampal buat bendera!

Ketiga, rakyat  juga  marah de-ngan orang politik yang tidak habis-habis bercakaran. Melayu sama Melayu saling tuduh-menuduh dan menyelak kain untuk menunjukkan pekong, kayap, kudis buta, kurap, bisul, macam-macam.

Islam sama Islam saling ungkit-mengungkit hinggakan soal keturunan dan nenek moyang pun dijadikan bahan meraih sokongan politik. Macam tidak ada kerja lain.

Rakyat bosan dan loya dengan lakonan juga hipokrasi seperti ini, menyebabkan mereka mengambil sikap ‘ada aku kisah?’ dalam banyak hal. Sebab itu mereka tidak kisah pun pada Jalur Gemilang.

Keempat, ini musim Sukan Sea. Agaknya ramai yang lebih bersemangat untuk menyokong atlet negara. Sebab terlalu bersemangat pada sukan mereka lupa semangat merdeka.

Masing-masing lebih berkobar-kobar untuk melihat aksi terjunan Pandelela Rinong, maka ghairah merdeka 60 tahun pun mengendur. Memang memilukan, pada Ulang Tahun 60 Kemerdekaan, jalur-jalur merah-putih berbulan bintang itu macam tidak dipedulikan.