KATA yang bijak pandai, kalaulah jarum jam dapat diputar ke belakang, banyak peristiwa zaman lampau dapat diungkap semula.

Tetapi tanpa perlu memutar jarum jam ke belakang pun, hari demi hari semakin banyak perkara lama terbongkar, lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya sekarang.

Apa yang terjadi dulu-dulu, kini boleh diputar kembali, dan semuanya kelihatan jelas, terdengar jelas... menerusi rakaman video yang ditularkan.

Saya bercakap mengenai sekian banyak video zaman silam yang tiba-tiba muncul semula dan menjadi tular di media sosial. Hampir saban hari ada sahaja kisah silam yang tersingkap kembali.

Contoh: Salah satu video yang tular sehari dua ini memuatkan ucapan seorang pemimpin A pada satu kempen pilihan raya umum yang lalu.

Pemimpin berkenaan berucap berapi-api, memaki-hamun pemimpin B. Semua yang jelik-jelik dihamburkan – kroni, rasuah, sakau duit rakyat. Pendek kata setengah sen pun tidak ada yang baik mengenai B.

Hanya beberapa minggu sebelum itu telah tular sebuah video mengenai ucapan pemimpin B yang berapi-api mengutuk dan menyingkap habis-habisan kesalahan pemimpin A.

Disebutkan pemimpin A kaki maksiat, kaki perempuan, kaki seks, pendek kata semua kaki tidak baik lagi haprak. Sebiji saga pun tidak ada yang baik mengenai A.

Hairan, lagi menarik, video-video hentam-menghentam ini ditularkan pada ketika dua pemimpin yang lama berseteru itu kini sedang berbaik-baik, saling bersalaman dan berpelukan.

Bagaikan cemburu dan tidak setuju kedua musuh ketat itu saling menghulur salam persahabatan, video-video berkenaan sengaja disebarkan agar kedua pemimpin berkenaan tidak jadi bersatu, dan terus bermusuhan.

Sepatutnya sesama Melayu Islam hendaklah menyokong mana-mana seteru untuk berbaik. Tetapi kerana politik, Melayu sama Melayu, Islam sama Islam hendak sentiasa dipecahbelahkan.

Sekarang musim video, musim tular, musim serang-menyerang. Kalau dihimpunkan semua video di media sosial, mungkin sehari suntuk pun kita tidak habis menontonnya. Video-video menjelang PRU14 ini – durasi antara seminit hingga setengah jam – isinya tidak ada lain, semua mencaci.

Ada kisah pemimpin yang dikatakan antara yang terkorup di planet bumi. Duit RM juta-juta-juta dalam bank, anak-anak buat bisnes merata dunia. Untung juta-juta, tetapi hutang bank tidak mahu bayar.

Ada kisah pemimpin sekian-sekian dapat dedak berkoyan-koyan, pakai kereta mewah, berfoya sakan. Sana-sini hanya fulus, semangat perjuangan pun sudah lupus. Dedak sudah penuh mulut, sehingga tidak boleh bersuara.

Pembuat video pun sudah terlajak kreatif. Selain memuatkan gambar dan ucapan-ucapan, diselang-seli pula dengan lagu-lagu seperti ‘Akulah Penyamun’ dari filem Ali Baba Bujang Lapuk.

Mudahnya mana-mana pihak mengedar bahan-bahan jelik itu sekarang, sebab semuanya di hujung jari. Tanpa mengira yang disebarkan itu fakta atau auta, semuanya mudah tersebar di alam maya.

Maka teringat saya zaman sebelum ada media sosial dulu-dulu. Apa yang didedahkan dan ditularkan dalam maya sekarang, dulunya hanya disebarkan menerusi apa yang dipanggil surat layang.

Teringat saya satu surat layang mengenai seorang pemimpin yang dikatakan mempunyai skandal dengan isteri orang. Kira-kira sebulan setelah kisah tersebut dihangatkan, barulah saya menerima salinan surat layang berkenaan.

Salinan yang saya terima pun tulisannya sudah berbalam-balam, almaklumlah telah berulang-ulang – mungkin telah beratus – kali di‘xerox’. Tidak diketahui dari mana salinan asalnya.

Bukan mudah menyebarkan surat layang. Kena xerox, masukkan dalam sampul, beli setem, dan poskan. Seminggu baharu sampai ke destinasi.

Berbeza dengan tular sekarang. Sekali tekan apa yang ditularkan mungkin diterima beribu orang, serentak, di seluruh pelosok alam.

Sebab itu mereka yang berkempen memburukkan seseorang, kerjanya mudah sekali. Dalam sekelip mata segala keburukan individu tertentu dapat disebarkan.

Persoalannya ialah oleh sebab yang diburukkan siang malam itu ialah pemimpin-pemimpin Melayu @ Islam, akhirnya kita dapati tiada seorang pemimpin Melayu pun yang baik. Semua ada kudis, semua ada pekung.

Oleh sebab semua korup, semua kaki songlap, semua berdedak-dedak, pengundi pun menjadi bingung lagi gila-gila babi. Sekiranya semua pemimpin Melayu jenis kaki busuk, siapa yang hendak dipilih?

Agaknya kebingungan inilah yang mendorong kempen #Undirosak. Oleh sebab semua pemimpin dicap atau digambarkan sebagai penuh kekotoran dan kebusukan, lebih baik jangan mengundi.

Tetapi komplot undi rosak perlu diperangi. Tidak kira mengundi pada hari bekerja atau hari cuti, tidak kira berapa banyak video yang tular di media sosial, sebagai warga bertanggungjawab, kita perlu memangkah.

Undi kita menentukan hala tuju negara, masa depan anak cucu kita.