SAYA tidak kisah sekiranya ada mana-mana kenyataan kerajaan – rasmi atau tidak rasmi – dibuat tidak menggunakan bahasa Melayu.

Maka tidaklah saya terkilan atau berwalang durja apabila Lim Guan Eng membuat kenyataan menggunakan bahasa Mandarin. Ini bukan luar biasa!

Sebenarnya bahasa Melayu yang dimaktubkan sebagai Fasal 152 dalam Perlembagaan Persekutuan itu sudah lama diketepikan dalam urusan kerajaan. Ini bukan rahsia, semua orang tahu.

Sekian banyak taklimat, terutama yang ada kaitan dengan ekonomi dan kewangan, dibuat menggunakan bahasa Inggeris.

Agensi-agensi kerajaan yang ada kaitan dengan ekonomi dan sains lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris juga sering digunakan dalam seminar, forum dan perbincangan anjuran kerajaan. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan @ GLC lebih biasa menggunakan bahasa Inggeris.

Iklan-iklan dan promosi produk-produk GLC banyak menggunakan bahasa Inggeris – dan disiarkan dalam media berbahasa Inggeris – atas alasan bahasa Inggeris adalah bahasa ekonomi.

Hatta menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan pun lebih selesa bercakap bahasa Inggeris sekiranya berurusan dengan pihak-pihak tertentu, termasuk dengan warga media.

Kita selalu lihat menteri-menteri Melayu sendiri lebih bangga berbahasa Inggeris sekiranya muncul di kaca TV, termasuk ketika berada di program yang sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Kalau pun tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya pasti campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Agaknya mereka tidak mahir bahasa ibunda, patut disekolahkan semula!

Jadi apa luar biasanya sekiranya ada menteri menggunakan bahasa Mandarin?

Apakah akan menjadi kesalahan juga selepas ini sekiranya ada menteri menggunakan bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Punjabi, atau bahasa Jawa?

Sekiranya kita boleh membiarkan dan ‘buat dhek’ apabila bahasa Inggeris digunakan sewenang-wenangnya dalam urusan kerajaan, kenapa melenting dengan penggunaan bahasa Mandarin?

Apa istimewanya bahasa Inggeris sehingga ia boleh mendahului bahasa kebangsaan @ bahasa rasmi dalam urusan kerajaan?

Adakah tertulis dalam perlembagaan bahawa bahasa penjajah itu boleh mengatasi bahasa Melayu dalam urusan kerajaan? Atau, apakah kita masih berfikiran penjajah?

Pada hemat saya, sekiranya kita benar-benar hendak menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan, kita patut menolak penggunaan bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris.

Jangan menjerit – dan berkobar-kobar mendakwa sebagai penegak dan pejuang bahasa Melayu – hanya kerana ada pihak yang menggunakan bahasa Mandarin.

Lagi pula Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP itu tidak menggunakan hanya bahasa Cina dalam kenyataan yang dikontroversikan itu.

Seperti yang diketahui – dan telah dijelaskan – beliau juga menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kenyataan berkenaan.

Agaknya jika menteri itu menggunakan hanya bahasa Inggeris, mungkin beliau tidak dikecam, sebab pejuang bahasa Melayu pun sudah seperti mengiktiraf bahasa Inggeris!

Perlu ditegaskan saya tidak anti-bahasa Inggeris. Tidak juga saya benci bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa suku kaum lain yang menjadi warga negara tercinta ini.

Malah, saya selalu percaya lagi banyak bahasa yang kita tahu, lagi bagus. Mereka yang menguasai bahasa akan menguasai ilmu, dan seterusnya menguasai dunia.

Juga tidak sekali-kali saya ingin mengelak diri dari memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Saya sentiasa menjunjung Perlembagaan.

Cuma bagi saya perjuangan menegakkan bahasa Melayu hendaklah dilakukan secara tegas dan berterusan.

Kalau hendak memartabatkan bahasa, kena buat betul-betul, bukan bermusim-musim.

Jangan hanya kecam Guan Eng kerana membuat kenyataan rasmi kerajaan menggunakan bahasa Mandarin. Kecam juga menteri yang menggunakan bahasa Inggeris.

Kecam juga CEO dan pegawai-pegawai kanan GLC dan agensi-agensi yang sesuka hati menggunakan bahasa Inggeris, sehingga kerap kali mengabaikan langsung bahasa rasmi negara.

Orang jenis ini selalu memandang rendah terhadap bahasa Melayu dan sentiasa mengandaikan bahasa Melayu tidak sesuai digunakan untuk urusan bisnes.

Hakikatnya ialah bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ekonomi dan bisnes pada zaman kegemilangan Melaka beratus tahun lalu.

Melaka menjadi pelabuhan antarabangsa yang dikunjungi pedagang dari seluruh alam.

Mereka menggunakan bahasa Melayu, tidak ada masalah. Orang sekarang lupa sejarah, sebab itu lupa diri, lupa bahasa sendiri.

Boleh gunakan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dunia ketika berurus niaga di peringkat global. Tetapi untuk urusan kerajaan di dalam negeri, gunakanlah bahasa Melayu.

Pejuang bahasa Melayu jangan hanya sensitif dengan bahasa Mandarin. Sensitif jugalah dengan bahasa-bahasa lain.