BAYI itu baru beberapa saat dilahirkan. Hanya sedetik menyedut udara dunia, dan belum sempat mengeluarkan suara, nyawanya direntap secara sadis. Hidupan masih merah, masih bertali pusat itu telah dibunuh dengan amat kejam. Kepalanya yang masih lembut dipijak dengan but keras lagi tebal.

Tidak ada dosa yang dilakukan – bayi itu dibunuh hanya kerana dia Rohingya. Dan, but keras itu adalah milik tentera rejim zalim yang sedikit pun tiada perasaan belas.

Sedangkan bayi baru lahir pun tergamak dibunuh, apa lagi ibu yang melahirkan. Juga ayah, datuk, nenek, sanak-saudara, pendek kata siapa sahaja daripada baka Rohingya.

Penghapusan baka @ ethnic cleansing sedang berterusan di wilayah Rakhine, Myanmar.

Sejak berpuluh tahun, minoriti Islam Rohingya, ditindas dengan kekejaman yang tidak dapat digam-barkan dengan kata-kata. Mereka dinafikan kewarganegaraan, lalu jadi pelarian di bumi kelahiran.

Tanpa kewarganegaraan, sekitar dua juta puak ini yang masih hidup, dinafikan juga hak-hak lain. Tiada tempat tinggal, prasarana, dan tanpa pakaian sempurna.

Hidup seharian mereka adalah siri mimpi-mimpi ngeri. Kelaparan setiap masa, lebih teruk daripada istilah ‘kais pagi makan pagi...’ Sebenarnya mereka sudah tidak ada apa lagi hendak dikais.

Hatta, insan malang ini juga dinafikan hak untuk bernafas. Sebab itu setiap hari – setiap minit – ada sahaja puak minoriti ini dibunuh.

Tubuh-tubuh kurus kering lagi kelaparan itu disepak-terajang, dihentak dengan senapang, dilapah, digantung, pendek kata dilakukan apa sahaja, asalkan mereka mati.

Wanita dan anak gadis diperkosa tanpa belas. Di hujung perkosaan itu pasti pembunuhan. Mangsa tidak berdaya, hanya mampu berdoa dan memohon belas. Tetapi, manusia berhati haiwan mana ada rasa belas! Bagi penjenayah, termasuk tentera, lagi mangsa merayu, lagi seronok mereka membantai.

Seperti gambar-gambar yang tersebar di media sosial, juga daripada cerita mereka yang ter-selamat, penyembelihan dan pembantaian insan tidak berdosa di Rakhine semakin berleluasa seminggu dua ini.

Pihak rejim melakukan apa sahaja untuk menghapuskan Rohingya. Jemaah yang sedang bersolat subuh juga dibakar hidup-hidup. Beribu-ribu telah diseksa dan dibunuh. Beribu-ribu lagi meninggalkan kampung kelahiran melarikan diri ke mana-mana sahaja yang terdaya.

Sanggup berpanas dan berhujan, ramai yang sehelai sepinggang, tanpa sebarang makanan, mereka – sesetengahnya membawa bayi yang masih merah – menjadi pelarian di Bangladesh.

Perangkaan terkini lebih 300,000 Rohingya telah menyusup ke negara jiran tersebut, tanpa mengetahui apa sudahnya hidup mereka. Ramai yang tidur berhujan dalam kelaparan.

Mereka perlukan makanan, ubatan, pakaian dan benda-benda asas lain untuk menyambung nafas. Dan ramai yang mati sebelum bantuan tiba.

Sementara yang tidak berupaya meninggalkan Rakhine, meneruskan kehidupan diselimuti kengerian setiap saat. Dalam kekejaman dan penindasan, nyawa mereka hanya senilai sebutir peluru.

Beratus ribu puak Rohingya telah dibunuh kejam. Ethnic cleansing, genocide, pembunuhan massa, kekejaman melampaui batas – sebutlah apa sahaja istilahnya – Rohingya memerlukan bantuan. Keadaan mendesak dan genting setiap hari.

Seluruh dunia tahu ini. Tetapi semuanya bagai tidak berdaya berbuat apa-apa terhadap kekejaman di hadapan mata. Negara kuasa besar – termasuk yang selalu mendakwa pejuang hak asasi manusia – bagaikan buta dan tuli.

Negara-negara Islam yang kaya-raya lebih rela membuang dan membazirkan makanan mewah bernilai berbilion RM, pada ketika puak Rohingya menderita kebuluran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagaikan terkancing gigi untuk sungguh-sungguh me-nyuarakan isu Rohingya. Hatta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak betul-betul bersatu untuk membantu, dan seolah-olah hanya berdaya berkata “Oh, I see...”

Lebih buta mata, buta hati dan buta segala-galanya ialah Aung San Suu Kyi, pemerintah Myanmar sampai kini membisu – tidak bertindak apa-apa terhadap kekejaman tenteranya di hadapan mata.

Wanita yang satu ketika dulu disanjung dunia sebagai pejuang suci, sehingga dianugerahkan Nobel Peace Prize, kini mengizinkan pembunuhan dan kezaliman ter-hadap Rohingya. Anugerah itu patut ditarik, sebab Suu Kyi ternyata sudah tidak suci.

Apa yang terjadi di Myanmar, bukan isu agama, tidak juga isu etnik. Rohingya adalah isu kemanusiaan. Maka nilai dan kesedaran kemanusiaan juga yang dapat membantu mereka yang terus-menerus dizalimi.

Jangan harapkan sangat pada negara-negara kuasa besar. Jangan bergantung sangat kepada PBB, OIC. Lupakan Suu Kyi. Sebagai manusia, kita semua harus membantu dan menyokong apa juga gerakan dan usaha menyelamatkan Rohingya.

Hulurkan bantuan anda kepada tabung SINAR4ROHINGYA:Soli-darity for Humanity di akaun Maybank 503033634355.

Lebih 50 NGO terkemuka akan menguruskan dana ini, semuanya untuk Rohingya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • WALAUPUN pantai timur dilanda banjir, berkereta ke Kuala Terengganu dua minggu lalu tidak terganggu sedikit pun. LPT2 dari KL ke destinasi, tidak dihalang air.
  • SETELAH sekian lama tidak ke Serambi Makkah, hujung minggu lalu saya ke Kota Bharu Bandar Raya Islam, untuk mengimbau semula nostalgia silam.
  • SOALAN: Agak-agak siapa yang paling diutamakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia dalam kehidupan harian mereka?Anda salah jika menjawab suami, atau anak-anak. Salah juga jika ada yang menjawab isteri atau kekasih.
  • BETULLAH kata-kata Hang Tuah: “Tak kan Melayu hilang di dunia!” Andai kata pahlawan Melayu itu masih hidup, dia tentu kagum melihat bangsanya bukan sahaja terus wujud, malah sudah pandai dalam segala benda.
  • TIBA-tiba saya teringat kisah – dan kata-kata – ibu bapa dulu-dulu ketika menyerahkan anak mereka belajar, baik di sekolah agama mahu pun sekolah biasa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.