GURU diberi hanya dua pilihan – terus menjadi pendidik, atau sokong pembangkang dan berhenti jadi cikgu. Kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, seperti yang dilaporkan Bernama:

“Jika dia masih lagi guru kemudiannya naik pentas hingga menghentam kerajaan... bagi syarahan, lepas tu ada unsur fitnah dalam tu... saya ingatkanlah elok kalau dia meninggalkan profesion dia.

“Jika dia duduk dalam ni (kerajaan) dan hentam kerajaan... saya rasa tidak sihatlah. Bukan saya kata kita tutup demokrasi tetapi pegawai kerajaan tertakluk kepada perkhidmatan awam, ada pekeliling dan perintah am.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama warga pendidik mengenai dasar-dasar utama Kementerian Pendidikan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, hujung minggu lalu.

Lebih kurang kata-kata menteri berkenaan bolehlah dianggap sebagai amaran kepada cikgu. Almaklumlah, sebagai kakitangan awam, para pendidik sentiasa terikat dengan peraturan yang ditetapkan dalam Perintah Am dan tindakan mengkritik hingga berbaur fitnah tidak sepatutnya berlaku.

Sokong pembangkang dan kritik kerajaan tentu sekali tidak boleh. Secara logik kerajaan bayar gaji mana boleh hentam kerajaan. Selalu dia orang kata cikgu tidak boleh main politik. Tetapi kalau main politik sokong kerajaan tidak menjadi hal.

Maka teringat saya ketika zaman persekolahan dulu-dulu. Cikgu, khasnya guru-guru Melayu, aktif main politik. Guru-guru saya di sekolah rendah terlibat secara langsung dengan Umno. Ada yang menjadi ketua cawangan, ada juga main parti di peringkat bahagian.

Dalam darjah pun mereka kerap bercerita tentang parti orang Melayu, pejuang bangsa, pejuang pertiwi, bla, bla, bla. Saya terlalu kecil untuk mengetahui semua itu. Cikgu menerangkan apa erti pertiwi, dan menyebut beberapa nama pembesar Umno yang menurut cikgu “kalau tidak ada mereka, orang Melayu tidak boleh hidup!”

Pagi mereka mengajar, sebelah petang – dan malam – mereka aktif dalam parti. Hadir mesyuarat parti, berkempen untuk parti. Sesekali cikgu sekian-sekian tidak mengajar kerana ke Kuala Lumpur ada ‘mesyuarat besar parti’.

Pendek kata ketika itu guru-guru Melayu memang tidak boleh dipisahkan dengan Umno. Semua orang tahu mereka menjadi tulang belakang parti. Mereka berjuang gigih, tidak mengharapkan sebarang imbuhan. Ada guru yang terpilih sebagai wakil rakyat, ada juga yang ditawarkan bertanding tetapi menolak tawaran.

Apa pun jasa guru-guru terhadap Umno tidak siapa pun dapat menafikan. Guru berkempen dan memperjuangkan parti pagi petang siang malam. Waktu musim pilihan raya – waktu itu tempoh kempen panjang – kaum guru menjadi penggerak utama untuk memenangkan parti.

Apa boleh buat, masa berlalu, zaman berubah, dan sistem nilai pun sudah bertukar sama sekali. Umno sekarang sudah menjadi parti yang dikuasai oleh golongan elit dan korporat Melayu yang banyak duit.

Orang berduit berkempen main duit. Semua orang tahu politik wang sudah membarah dalam parti. Macam-macam usaha dan amatan telah dibuat untuk membanteras politik wang dalam parti, tetapi setiap kali ada pemilihan parti duit ditabur untuk memenangi hati pengundi.

Ada pun yang terlibat dalam politik wang bukan sahaja pemimpin kecil peringkat cawangan, malah pemimpin tertinggi peringkat nasional. Seperti yang diketahui ada pemimpin tertinggi yang didapati bersalah kerana politik wang, digantung dari parti...tetapi kemudian diambil semula sebagai calon parti, dan menang.

Apabila orang berduit diutamakan dalam parti, dengan sendirinya guru-guru Melayu meminggirkan diri. Mereka berasa tidak diperlukan dalam parti yang perjuangan asalnya sudah jauh menyimpang. Mereka melihat Umno tidak lagi berjuang seperti dulu.

Malah di hadapan mata sendiri mereka melihat sekian ramai pemimpin Umno yang masuk parti dengan duit dan setelah menang akan mengaut duit untuk diri sendiri. Kereta kecil bertukar kereta besar, bukan sebuah tetapi banyak. Rumah kecil jadi besar. Pendek kata guru melihat orang masuk parti untuk penuhkan kantung sendiri.

Maka, tidaklah menghairankan sekiranya ada guru melepaskan geram dengan menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan. Bukan mereka tidak faham Perintah Am, tetapi mereka sudah meluat melihat perangai pemain politik yang berjuang entah apa-apa.

Menurut menteri berkenaan, hanya sebahagian kecil dari sejumlah 435,000 guru yang menyokong pembangkang. Mereka dipantau dari semasa ke semasa.

Seyogia diingat bukan guru sahaja yang berani melanggar Perintah Am. Ada beribu-ribu lagi penjawat awam – termasuk pada peringkat tinggi – tidak menyokong kerajaan. Cuma mereka tidak berani menyuarakan tentangan secara terang-terangan.

Kalau tidak percaya berbuallah dengan kakitangan awam, kita akan tahu apa pandangan mereka tentang kerajaan sekarang. Tanyakan pada pesara kerajaan, sebahagian besar mengkritik kerajaan. Ini hakikat.