ORANG Islam di tempat kita patut berasa terkilan. Bukan setakat terkilan, malah malu semalu-malunya. Seperti yang disedari semenjak dua menjak ini macam-macam perkara tidak berapa sedap terjadi di hadapan mata, berkait langsung dengan Islam.

Memanglah Islam sudah termaktub sebagai agama rasmi. Tetapi orang semakin berani memperlekeh agama suci itu. Baik dalam media sosial mahu pun dalam perbualan harian, hatta dalam forum terbuka, sana-sini ada sahaja pihak yang menghina Islam.

Memalukan, apabila orang bukan Islam hina Islam macam-macam cara. Ada yang buang al-Quran dalam tong sampah, ada yang lempar najis dalam masjid. Ada yang pelawa orang Islam berbuka puasa dengan sup babi. Kita marah, tetapi takut bertindak.

Malah orang Islam, termasuk yang bergelar cerdik pandai, pun berani menghina Islam. Ada yang mengaku sebagai nabi. Ada juga yang berkata Tuhan sama dengan makhluk lain. Ada yang saman pendakwah terkenal dunia sebab mengajar Islam di tempat kita.

Memalukan, apabila sudah terang-terang menghina Islam pun pihak berkuasa kita masih teragak-agak untuk bertindak. Agama suci diletak di bawah tapak kaki, kita masih siasat, dan siasat, dan siasat lagi. Tidak bertindak konon bimbang menyentuh perasaan orang lain. Pada hal kita ada kuasa.

Sehari dua ini kita sibuk bercakap mengenai RUU355 yang tidak jadi dibentangkan di parlimen. BN memberi macam-macam alasan mengapa perkara itu tidak dibentangkan, konon takut tentangan dari parti-parti bukan Islam dalam BN. Orang Islam pun tidak yakin untuk menegakkan Islam!

Mungkin benar kata sesetengah pihak bahawa RUU 355 menjadi hangat dan 'dibecokkan' pagi-petang, siang-malam bukan sangat kerana isu agama, tetapi lebih kerana isu politik. Kalau tidak dipolitikkan benda ini menjadi mudah; tidak perlu cakap berbelit-belit dan berpusing-pusing macam kereta dalam Grand Prix F1.

Memalukan Islam juga apabila sesama agamawan pun saling bercakaran kerana perselisihan pendapat. Perkara kecil seperti doa qunut dan talkin pun boleh menyebabkan bijak pandai agama saling tuduh-menuduh. Ulama A tuduh ulama B sebagai Wahabi. Ulama sekian-sekian cap ulama sekian-sekian sebagai tidak layak masuk syurga.

Sebenarnya ada sekian banyak persamaan, tetapi kita lebih cenderung untuk membisingkan perbezaan. Sebab itu orang bukan Islam hilang hormat pada Islam. Mereka ketawakan kita, sedangkan kita terus leka dan syok sendiri sebab terlalu yakin kita sahajalah yang akan masuk syurga!

Memalukan juga apabila kita macam prihatin sangat dalam sesetengah isu. Contoh, cakna sangat kita sekiranya makan coklat tidak ada tanda ‘Halal’ Jakim. Ada ura-ura untuk menyekat pasangan bukan muhrim naik motosikal atau kenderaan bersama. Penguat kuasa agama suka sangat menangkap pasangan berkhalwat.

Memang, kita kena prihatin kepada coklat haram, khalwat dan sebagainya. Tetapi, pihak berkuasa agama kita juga wajib prihatin kepada isu-isu lebih besar yang mencemarkan kesucian Islam. Kenapa pejamkan mata pada gejala rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi beragama Islam?

Siapa yang terlibat dalam kebanyakan rasuah mega? Siapa yang simpan RM berpuluh-puluh juta wang tunai dalam almari di rumah? Siapa yang songlap RM juta-juta dengan menukar status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera? Siapa yang simpan kenderaan mewah, jam tangan dan berpuluh beg tangan berjenama dari duit rasuah?

Alkisah, itu hanya beberapa kes yang terdedah setakat ini. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada banyak lagi kes yang belum didedahkan. Ertinya ramai lagi orang besar beragama Islam mengamalkan rasuah.

Maka, tidak cukup setakat makan coklat halal, sekiranya dalam waktu sama orang Islam tidak malu-malu makan rasuah, macam makan roti canai. Ini yang memalukan Islam.

Pada peringkat yang lebih rendah ada sekian banyak benda yang tidak sesuai dengan semangat Islam. Saya singgah solat di sebuah masjid besar di Wilayah Persekutuan.

Dua orang gadis remaja menanggalkan kasut untuk menuju ke tempat berwuduk. Terkejut saya mendengar dua orang penjaga masjid – beruniform – berkata @ menyindir gadis berkenaan: “Pakai macam itu pun nak sembahyang?”

Memang, dua gadis tersebut berjean ketat, kemeja T lengan pendek, dan tidak menutup kepala. Tetapi, apa salahnya mereka hendak solat? Pasti ada telekung di dalam masjid.

Atau, siapa tahu mungkin mereka membawa telekung dalam beg tangan. Jangan prejudis. Sepatutnya penjaga masjid menasihatkan mereka, bukan menyindir. Islam yang prihatin sentiasa membimbing, bukan mengherdik.

Satu lagi contoh, saya singgah di sebuah masjid besar di sebuah negeri. Masuk ke tandas, tetapi tidak jadi melepaskan hajat sebab semua tandas kotor lagi menjijikkan. Selepas solat berjemaah saya berbisik dengan imamnya, ikhlas memberitahu keadaan tandas. Dia nyata tidak senang dengan keikhlasan saya.

Tetapi, saya lebih tidak senang apabila dia menjawab: “Nama pun tandas, memanglah kotor!” Saya kesian pada tuan imam tu...

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MASIH ingat program hiburan Akademi Fantasia (AF)? Saya agak program realiti TV yang amat popular itu mesti mengambil ilham daripada realiti hidup budak-budak darjah satu!
  • LEGA, tetapi hairan juga apabila juruwang tidak mahu menerima wang saya petang hujung minggu lalu. Katanya: “Ada orang sudah bayar apa yang pakcik makan.”
  • LOGO halal boleh dinilai secara berbeza, mengikut lokasi. Di tempat kita, sesetengah pengguna Islam sendiri macam tidak menghiraukan sangat logo tersebut. Sama ada berlogo atau tidak, mereka makan mengikut selera.
  • SETELAH ding-dong-ding-dong dan siri berbalas pantun, akhirnya pesta meneguk arak dibatalkan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival 2017.
  • ADA dua perkara yang dilakukan abah setiap pagi. Pertama, menziarahi mak sebaik hari cerah selepas solat Subuh.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.