MAAF cakap, saya baru tahu Fathia sehari dua ini. Rupanya ada aktres manis lagi bersantun yang menghiasi persada seni tanah air.

Terasa betul saya tertinggal jauh dalam dunia hiburan. Almaklumlah pada tahap usia siri-6, penggiat seni masa kini terkeluar dari kamus hidup saya.

Lagi pun saya generasi Pop Yeh-Yeh 60-an. Ketika di sekolah menengah, Oh Fatimah, Seruling Anak Gembala, Kenangan Bulan September, Nga Lompak Ago-G0 adalah antara lagu hafalan harian.

Rafeah Buang, Sharifah Aini, Sanisah Huri, J Kamisah, Jeffrydin, A Ramlee adalah antara idola yang selalu membuatkan saya lupa pada Geografi, Sejarah, Matametik dan subjek-subjek lain untuk SPM.

Setengah abad sudah berlalu, kini bukan lagi zaman kugiran- kumpulan gitar rancak. Sekarang era Fathia!

Saya mengetahui anak seni yang seorang ini bukan menerusi lagunya, tidak juga pada lakonannya. Saya membaca komen mengenainya menerusi media sosial.

Alkisah ada seorang pegawai kerajaan di Putrajaya tidak fasal-fasal menasihatkan orang seni @Fathia supaya tidak menjadi alat kepada parti pembangkang.

Pegawai berkenaan dilaporkan membuat teguran terbuka kepada segelintir artis yang dilihat begitu asyik menghentam kerajaan tanpa mengetahui perkara sebenar.

Semuanya gara-gara coretan artis tersebut dalam akaun Twitternya, mengenai Tun Dr Mahathir. Fathia mempersoalkan siasatan ke atas mantan PM itu berkenaan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (Forex).

Baru tahu nama Fathia, saya tidak pasti apakah pendirian politiknya. Tidak juga berani saya membuat kesimpulan sama ada aktres drama Ariana Rose itu menyokong mana-mana parti politik.

Apakah dengan membuat komen mengenai Tun M, dia telah menjadi alat politik? Mudah benar menuduh seseorang menjadi alat!

Sebaliknya kalau pun benar dia menyertai mana-mana parti politik – termasuk parti pembangkang – apa salahnya? Sebagai warganegara dia berhak masuk politik.

Apakah kerana dia artis, manis lagi ‘ngetop’ pula, dia tidak boleh masuk politik? Atau, apakah ada peraturan atau akta yang menyebut artis hanya boleh bersekongkol dengan politik tertentu.

Sebenarnya perihal artis main politik bukan satu benda baharu. Tidak ada apa luar biasanya seniman berpolitik. Di luar negara ramai pelakon terkenal dunia sudah lama menyertai politik.

Mereka bebas masuk mana-mana parti politik, berkempen dalam pilihan raya. Sekiranya minda kita terbuka tentu kita tidak menolak hakikat ramai aktor terkenal dunia berjaya dalam politik, malah menjadi presiden atau perdana menteri.

Di tempat kita pun semua orang tahu ramai penyanyi, pelakon, pemain drama, penggiat teater, pelawak, pemuzik telah melibatkan diri dalam politik, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tidak ada peliknya orang seni dan selebriti kita main politik. Akhir-akhir ini kita melihat lebih ramai seniman naik ke pentas, berkempen dan menyokong pemimpin politik. Tidak ada pula pihak menuduh mereka menjadi alat parti.

Seperti yang dilaporkan bebe-rapa artis tersohor membantu pemimpin negara, menjayakan program-program kerajaan BN. Malah ada artis terkenal menampar seorang penerbit filem pada satu majlis dihadiri Datuk Seri Najib.

Kerana dikatakan tidak meng-hormati majlis, David Teo ditampar Mat Over, di hadapan mata PM, pada satu majlis politik.

Saya tidak pasti sama ada pelawak terkenal itu menjadi ahli mana-mana parti komponen BN. Tetapi kalau benar dia jadi ahli parti kerajaan, pada saya tidak ada salahnya. Itu hak dia.

Tidak pula ada mana-mana pegawai kerajaan di Putrajaya mengeluarkan kenyataan atau menasihatkan Mat Over supaya jangan menjadi alat kepada parti kerajaan.

Sama seperti Fathia, Mat Over pun bersekongkol dengan orang politik, atas pilihan sendiri, menggunakan haknya sebagai warganegara yang sah. Kenapa hendak menegur hak yang memang termaktub dalam undang-undang?

Atau, adakah sebab memihak kepada Tun M maka artis manis itu ditegur? Sekiranya dia menyatakan sokongan kepada mana-mana pemimpin parti kerajaan, adakah dia juga akan ditegur?

Mana-mana pihak tidak perlu cemburu sekiranya aktres menyertai parti politik. Saya tidak percaya parti boleh menang PRU14 hanya kerana sokongan seorang artis.

Jadi, apa yang dikisahkan, dan ditakutkan sangat Fathia prihatin terhadap doktor veteran itu?
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELAJAR -pelajar sekolah menengah itu begitu asyik memfokuskan lensa kamera untuk mendapatkan sudut terbaik fotografi. Kamera yang digunakan semua jenama terkenal.
  • MEMANG kedengaran pelik lagi lucu. Lari dari gelanggang tinju, Mike Tyson tiba-tiba bercakap mengenai Miss World @ ratu cantik.
  • ISU larangan memakai tudung ke atas pekerja hotel timbul lagi di Parlimen, awal minggu ini. Tentu sekali ia menjadi lebih hangat sebab dibangkitkan oleh Bung Moktar.
  • DILIHAT dari sudut mana pun, tidak ada apa yang luar biasa mengenai wanita Islam bertudung. Ia tidak sedikit pun mengehadkan pergerakan, tidak juga menjejaskan keupayaan pemakainya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.