DALAM keadaan semua barang naik, jangan selalu tertekan, dan jangan asyik menekan. Sesekali redakan perasaan. Sebenarnya ada banyak benda-benda baik yang boleh menenangkan fikiran. Kita cakap yang ringan-ringan dan nyaman...

Selalu dia orang bertanya saya: apa ada pada nama? Jawab: ada rezeki. Apa ada pada rupa? Ada lebih rezeki!

Seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, seorang penjual teh di Pakistan tiba-tiba terkenal dan banyak menerima tawaran menjadi model, setelah dipromosi dan viral di Instagram.

Namanya Arshad Khan, sebelum ini tidak ada siapa peduli nama itu. Sekarang sebut sahaja, orang tahu siapa dia. Apa yang lebih penting dan menjadikan nama itu lebih berezeki ialah rupanya yang tampan seperti bintang filem.

Dua hari lalu BBC melaporkan, di Nepal nama Kusum Sharestha tiba-tiba menjadi sebutan. Gadis berusia 18 tahun yang menjadi penjual sayuran itu diviralkan, dan segera menjadi perhatian dunia.

Tidak sahaja nama, parasnya yang cantik juga menjadi igauan ramai. Maka hashtag #Tarkariwali, dan #Sabjiwali – keduanya membawa makna ‘penjual sayur’ terus menjadi trending di media sosial. Pasti rezekinya melimpah sebab jualan hariannya begitu laris.

Di tempat kita pun nama dan rupa paras ternyata melimpahkan rezeki. Contoh paling mudah ialah ‘Nasi Lemak Anak Dara’. Semua orang tahu lemak adalah sesuatu yang biasa dan menjadi makanan kegemaran ramai.

Tetapi, apabila dinamakan ‘Anak Dara’, dan diviralkan, produk yang dijual di gerai hadapan sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam itu segera menjadi sebutan. Pelanggan berbaris setiap pagi. Anak Dara semakin laris.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun tumpang sekaki singgah di gerai tersebut. Hatta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyebut produk tersebut ketika membentangkan belanjawan 2017 di Parlimen.

Nama pemiliknya, Siti Hajar Ahmad, terus ngetop. Tambahan pula gadis berusia 24 tahun, graduan Kejuruteraan Elektrik itu mempunyai rupa paras yang menawan. Nama ada, rupa pun hmmm, maka bertambah panaslah Anak Dara.

Mulanya berniaga tanpa permit dan pernah dikompaun RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam. Azmin sendiri menyerahkan Borang Permohonan Lesen Penjaja MBSA supaya Siti boleh berniaga secara sah.

Demikianlah pentingnya nama dan rupa. Tetapi jangan lupa, produk pun mesti bagus, barulah pelanggan terus datang.

Sebut sahaja ‘Cik Ta’ @ Rozita Che Wan, semua orang sudah tahu siapa, dan segera terbayang rupa paras dan bentuk tubuhnya yang aduhai-aduhai itu. Sebab nama dan rupa, artis tersebut dipilih menjadi duta beberapa produk terkenal. Itu rezeki.

Liza Surihani manis namanya, manis lagi rupanya. Sebab itu dia dipilih menjadi model iklan untuk beberapa produk, paling saya suka iklan jus oren yang kotak kuning itu. Tiba-tiba rasa hendak meneguk jus oren berkenaan!

Neelofa ada nama, ada rupa. Kalau dia berlakon orang terpaku di depan TV. Demikian juga Aaron Aziz, Shah Rukh Khan, Kajol, Julia Roberts, ini adalah antara nama-nama yang boleh membawa laba kepada tauke wayang.

Hatta, Harith Iskander. Jangan tidak tahu ramai wanita tergila-gila melihat kepala botak pelawak ini. Pendek kata botak pun rezeki!

Sesetengah nama popular tidak pula diketahui rupanya. KFC nama terkenal di seluruh dunia, tetapi Kolonel Sanders yang mula memperkenalkan ayam goreng itu wajahnya tidaklah hebat sangat.

Nama nasi Vanggey sudah terkenal, tetapi pemiliknya tidak dikenalkan kepada umum. Sama juga halnya ‘Kudu’ dan ‘Yassem’ – keduanya jenama nasi kandar terkenal di Kuala Lumpur.

Saya mengunjungi kedua restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman ini sejak zaman bujang empat dekad dulu. Nama ada, rupa tidak diketahui. Sampai sekarang saya tidak tahu dan tidak pernah melihat wajah pemiliknya. Apakah kacak seperti Shah Rukh Khan? Atau, apakah sudah arwah?

Pendek kata, ada nama ada rupa memang satu kelebihan. Tetapi lebih penting lagi, ada nama, ada rupa, ada rasa. Barulah ada rezeki.

Namun seyogia diingat, ada juga nama yang tidak membawa rezeki. Ada juga rupa yang selalu menjolok mata. Apabila terdengar namanya terus sakit hati. Apabila keluar gambarnya terus tutup TV. Boleh teka siapa?