SETELAH ding-dong-ding-dong dan siri berbalas pantun, akhirnya pesta meneguk arak dibatalkan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival 2017.

Penganjur akur dengan arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, maka acara yang dirancang pada 6 dan 7 Oktober di Solaris Damansara – bermula 2 petang hingga 11 malam – kantoi.

Polis tidak membenarkan pesta tersebut atas faktor keselamatan. Para ulama dan parti politik tertentu menentang acara tersebut sebab bercanggah dengan tuntutan Islam yang menjadi agama rasmi.

Kaki arak dan penganjur menegaskan adalah hak individu untuk minum bir pada acara yang akan memperkenalkan 250 bir dari 43 pembuat bir seluruh dunia. Jangan kira hak kaki botol sahaja, kira juga hak orang Islam!

Maka teringat saya pengalaman peribadi meneguk bir. Pertama kali saya minum beer @ bir ialah awal 1974, hanya beberapa hari setelah menjadi orang surat khabar.

Seorang wartawan senior di Jalan Chan Sow Lin memaksa saya minum bir. Sebagai ‘kampung boy’ berasal dari ulu Muar, mendengar perkataan bir pun saya sudah fobia.

Segera teringat pesan abah dan mak ketika saya hendak meninggalkan kampung sebaik kantoi SPM: “Merantau kat bandor pandai-pandai bawak diri. Jangan tinggal sembahyang, jangan makan babi, jangan minum arak...”

Tetapi kerana desakan, saya pejamkan mata, minum seteguk bir dalam gelas besar itu. Rasa hendak termuntah, lebih-lebih lagi apabila buih arak itu melekat pada bibir.

Wartawan senior itu langsung tidak ada belas kasihan. Dia suruh saya meneguk lagi, tetapi saya enggan. Dia sendiri menghabiskan bir dalam gelas besar itu, seolah-olah minum air tebu, macam tidak tahu halal-haram.

Tiba di pejabat petang itu saya jadi bahan ketawa gara-gara takut minum bir. Saya kemudian diberitahu oleh seorang rakan kerja bahawa bir yang saya dipaksa minum itu sebenarnya halal, tidak haram.

Baru saya tahu bir yang saya teguk itu ialah root beer yang menjadi minuman pilihan utama di A&W. Restoran di Petaling Jaya itu sampai sekarang menjadi nostalgia peribadi.

Sekiranya yang hendak diadakan awal Oktober itu ialah pesta root beer, tentu tidak ada tentangan. Ulama dan para ustaz pun tidak boleh melarang orang minum bir jenis ini.

Perihal kantoi pesta beer itu, dari satu sudut, adalah satu kemenangan bagi orang Islam di negara ini. Mereka – para ulama, parti politik dan NGO Islam – telah berjaya membuktikan mereka ada kuasa untuk menundukkan kemungkaran.

Pesta bir dihalang, tetapi itu tidak sama sekali bererti orang awam dilarang menikmati minuman keras itu. Sebenarnya kita menjadi antara negara di dunia yang tinggi bilangan peminum arak.

Seluruh dunia tahu kilang arak yang telah dilesenkan di negara ini – di Petaling Jaya, Selangor – adalah juga antara pengeluar arak terbesar dunia. Dan cukai arak menyumbang beratus juta RM kepada kantung negara setiap tahun.

Hatta Better Beer Festival 2017 bukanlah acara baharu di tempat kita. Sejak bertahun sebelum ini kerajaan sudah mengizinkan pesta minum arak yang menggunakan nama Oktoberfest.

Bertong-tong arak dijamu sakan pada setiap tahun – juga awal Oktober – untuk merayakan pesta yang diimport dari Munich, Jerman.

Hanya pada tahun 2014 Okto-berfest ditentang habis-habisan, bukan atas sebab keselamatan, tetapi kerana ia diadakan di Selangor, negeri pentadbiran PKR.

Pemimpin Umno negeri mengutuk penganjuran pesta tersebut, dan mengherdik kerajaan negeri sebagai tidak peka terhadap sensitiviti Islam, dan menggalak maksiat.

Peliknya pada tahun dan masa yang sama, Melaka negeri BN turut mengadakan Oktoberfest di Jonker Walk, walaupun ditentang oleh pemimpin Pas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, seperti yang dilaporkan Bernama pada 11 Oktober 2014: “Pemimpin dan penyokong Pas perlu berfikiran terbuka ketika hidup dalam masyarakat majmuk... Melaka mengadakan Oktoberfest untuk menarik pelancong asing.”

Ketika di KL orang bercakap mengenai pesta arak besar-besaran yang telah dibatalkan, di Muar, Johor, sebuah kedai dobi menjadi sebutan setelah ditularkan di media sosial.

Kedai dobi tersebut hanya untuk pelanggan Islam, dan menegaskan tidak menerima pelanggan bukan Islam.

Ada agamawan berpendapat pemilik dobi tersebut sebagai tertutup minda. Ada juga mengkritik tauke tersebut sebagai ekstrem. Ada juga yang menganggap itu sebagai rasis.

Secara peribadi saya tidak fikir si pemilik tertutup minda, dan tidak patut dia dikritik. Dia hendak mencuba amalan kebersihan dalam perniagaan yang diusahakan, apa salahnya?

Kalau kita boleh menerima orang Islam yang memeluk dan mencium anjing, kenapa kita sinis terhadap pengusaha yang betul-betul cuba menekankan kebersihan dan kesucian mengikut agama?

Kalau benar dia ekstrem pun, pada saya kira okey. Sebab ada banyak lagi benda-benda lain yang kita lebih ekstrem, tetapi tidak pula ditular dan dikritik!