KALAULAH air boleh menyanyi, pasti dia akan meniru artis ngetop Indonesia, Tegar, dan turut mengalunkan lirik yang sama: “Aku yang dulu bukanlah yang sekarang...” Memang ada beza air dulu-dulu dengan air sekarang.

Pada era awal sejarah air adalah percuma. Siapa sahaja boleh minum air di mana-mana, pada bila-bila masa. Almaklumlah tasik, sungai, parit, kolam dan mana-mana takungan, air masih tidak tercemar.

Pendek kata pada zaman Hang Tuah, sekiranya dahaga teguk sahaja air di bumi, dijamin bersih dan tidak perlu dimasak. Teguklah sebanyak mana, tidak perlu bayar walau setengah sen.

Tetapi zaman Hang Tuah telah berlalu; kini zaman ‘hang-hang, aku-aku’. Sumber air sudah tidak bersih, penuh dengan kekotoran seperti toksik dan seribu satu sisa buangan, termasuk bayi dan tuala wanita.

Jangankan terlihat mayat bayi terapung, nampak tuala wanita dalam air pun tekak naik loya dan tidak berani minum air tercemar. Kalau minum juga itu sudah dikira membunuh diri sebab air tersebut mungkin boleh menyebabkan kita dijangkiti kuman pembawa maut.

Air yang penuh kekotoran itu perlu dirawat dengan belanja RM berbilion. Maka ada pihak songlap dan rasuah RM ratus-ratus juta dari projek bekalan air bersih. Oleh sebab kos merawat air RM bilion-bilion, dan ada pula kaki tibai, maka air bersih tidak lagi percuma.

Kita kena bayar bagi setiap titik air yang keluar dari paip di rumah. Sekiranya bil tidak dijelaskan, air tidak keluar. Tetapi kerap juga terjadi bil dibayar air tetap tidak keluar, ada kalanya berminggu-minggu. Demikianlah air masa kini.

Zaman Hang Tuah air selalu dikaitkan dengan perpaduan dan persaudaraan. Sungai dan laut adalah alat perhubungan utama. Orang dari Singapura mudik ke Johor melalui air. Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka semua dihubungkan menerusi air.

Dalam pelayaran mereka singgah di kampung-kampung yang semuanya terletak di tebing sungai. Mereka berdagang, menjalin hubungan persaudaraan, malah ramai yang berkahwin dengan penduduk tempatan. Kalau tidak melalui air Puteri Hang Li Poh mungkin tidak sampai ke Melaka.

Tetapi pada zaman ‘hang-hang, aku-aku’, air tidak lagi jadi alat perhubungan utama. Kita sudah ada jalan dan lebuh raya berkelas dunia. Ramai berkenderaan canggih harga RM juta-juta – BMW, Mercedes, Porsche – yang antaranya diseludup secara haram dari negara jiran.

Maka air tidak lagi dijadikan medium perhubungan. Dengan lebuh raya dan kenderaan serba canggih, masa perjalanan menjadi berkali-kali lebih pantas, walaupun menurut menteri ada 1.2 juta pemandu tidak memiliki lesen. Ramai juga mendapat lesen terbang @ lesen kopi-O.

Ketika melalui air pada zaman Hang Tuah jarang orang terbunuh dalam pelayaran, kecuali jika ada serangan lanun mata satu. Kini zaman ‘hang-hang, aku-aku’, jalan raya kita membunuh lebih 6,000 nyawa setiap tahun.

Pada zaman ‘hang-hang, aku-aku’ air bukan lagi simbol perpaduan, sebaliknya menjadi punca pertelagahan. Dulu-dulu orang Selangor bermudik ke Negeri Sembilan menjalin pelbagai aktiviti persahabatan – berniaga, bertukar adat dan budaya, kahwin suka sama suka.

Hari ini sungai yang sama mengundang sengketa. Apabila Selangor hadapi masalah air tercemar yang dikatakan berpunca dari Sungai Buah di Negeri Sembilan, dua menteri besar menjadi tidak sebulu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memimpin kerajaan PKR di Selangor menuduh pencemaran di Sungai Buah menyebabkan Loji Rawatan Air Semenyih terpaksa ditutup, maka beratus ribu penduduk tidak berair.

Datuk Seri Mohamad Hassan ketua kerajaan BN di Negeri Sembilan tidak mahu bertanggungjawab terhadap tuduhan berkenaan, dan berkata: “Selangor ambil air kita, dialah yang patut uruskan di tempat dia.” Air punya fasal dua Mohamad pun saling menuding jari.

Di Selangor sebab air baldi diterbangkan ke arah pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam. Yang membaling baldi ialah kumpulan diterajui Pemuda Umno, sebagai tanda protes terhadap kegagalan MB mengatasi krisis air.

PKR kata BN sabotaj air Selangor. BN/Umno kata PKR sengaja mencari fasal dan mempolitikkan isu air. Bukan setakat PKR dengan BN/Umno, tuding-tuding jari juga terjadi dalam kalangan sesama PKR sendiri.

Mantan MB, Tan Sri Khalid Ibrahim menuduh Mohamed Azmin hanya banyak cakap tetapi gagal mengatasi masalah air. Azmin pula kata masalah air Selangor sekarang adalah lanjutan kegagalan pengurusan air MB dulu.

Masing-masing saling menuding jari. Air semakin kotor, politik pun bertambah keruh. Ada pun yang betul-betul menderita ialah 1.6 juta rakyat yang tidak tahu politik, tetapi terus dalam kekeringan dan kegelisahan sebab air.

Air dulu-dulu bersih dan menyegarkan. Air sekarang kotor dan menyakitkan, sebab selalu dipolitikkan.