MASIH ingat program hiburan Akademi Fantasia (AF)? Saya agak program realiti TV yang amat popular itu mesti mengambil ilham daripada realiti hidup budak-budak darjah satu!

Jangan tidak tahu, lama sebelum program tersebut ditayangkan secara live di skrin TV, beribu-ribu murid sekolah rendah seluruh negara sudah melalui acara serupa.

Berbeza dengan program TV yang hanya dilalui peserta pada musim tertentu, 'Akademi Fantasia’ dilalui oleh murid sekolah rendah, setiap hari, sepanjang tahun persekolahan.

Seperti yang diketahui AF di TV dipenuhi dengan suasana hiburan yang meriah – peserta membawakan lagu-lagu merdu, dengan gaya dan gedik-gedik mempesona. Siapa yang mendapat undi terbanyak, menerusi SMS, akan bertanding lagi di minggu seterusnya.

Mana-mana peserta yang tidak menerima undian secukupnya, dengan lemah longlai, dan mengalirkan air mata, akan terpaksa meninggalkan program... sambil menarik beg pakaian.

Acara menarik beg itulah yang saya agak diilhamkan daripada murid-murid sekolah rendah kita!

Bayangkan kanak-kanak seawal usia enam atau tujuh tahun, terpaksa mengheret beg berat. Dalam sesetengah kes, beg sekolah sama besar dengan tubuh murid.

Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri mengakui tidak ada sebab murid sekolah rendah terpaksa menggalas beg yang terlalu berat, lapan hingga 10 kilogram.

Kata Menteri Pendidikan itu, seperti yang dilaporkan media: “Saya akan semak perkara ini dan suruh PIBG timbang betul-betul buku yang dibawa murid...”

Saya harap Mahdzir sungguh-sungguh dalam hal ini. Isu beg berat ini sudah disedari – dan soksek-soksek – sejak sekian lama, tetapi macam tidak ada penyelesaian.

Memang kelakar. Menteri sudah bertukar menteri, peraturan sudah ada, tetapi setiap tahun ibu bapa terus mengeluh melihat anak kecil mereka membawa beg besar lagi berat ke sekolah, macam beg hendak menunaikan umrah.

Pada hal puncanya telah lama dikenal pasti, iaitu lebih muatan sebab murid-murid terpaksa membawa sekian banyak buku kerja tambahan yang tidak pun diperlukan.

Kalau ikut kata menteri, buku teks yang disediakan kementerian untuk pembelajaran murid sudah memadai dan mereka tidak sepatutnya dibebani dengan lebihan buku untuk belajar.

Malah, sudah ada pekeliling dikeluarkan sejak 17 tahun lalu – ulang sekali lagi: sejak 17 tahun lalu! – melarang pihak sekolah mencadangkan @ memaksa murid membeli buku kerja tambahan.

Baru sekarang kementerian berkata, mulai tahun hadapan, akan mengetatkan peraturan seperti termaktub dalam pekeliling yang telah diedarkan setiap sekolah sejak 1 Januari 2001 itu.

Apa sebenarnya muslihat di sebalik kegagalan mematuhi pekeliling tersebut. Kenapa hampir dua dekat pekeliling kementerian itu tidak dipedulikan?

Cukup-cukuplah murid sekolah rendah kita menggalas dan mengheret beg AF atau beg umrah. Pasti ibu bapa lega dengan apa yang dijamin oleh menteri.

Tetapi ada juga sesetengah ibu bapa yang memang suka membeli sebanyak mungkin buku kerja untuk anak mereka. Itu hak mereka.

Apa yang penting pengetua atau guru besar tidak memaksa mana-mana murid membeli buku-buku tambahan tertentu konon untuk meningkatkan kemahiran murid. Memadailah dengan buku teks.

Memang ada ibu bapa yang setiap hari memantau anak-anak supaya menyiapkan sekian banyak kerja rumah menggunakan pelbagai buku kerja untuk setiap subjek.

Tidak cukup dengan buku kerja, mereka menghantar pula anak-anak ke kelas tambahan. Ada juga yang membayar guru khas datang ke rumah mengajar anak-anak sekolah rendah.

Pagi belajar di sekolah, petang hantar anak tuisyen, malam ada pula guru khas datang memberi kelas tambahan. Semua dilakukan ibu bapa untuk memastikan anak mereka dapat semua A dalam peperiksaan.

Maaf cakap, secara peribadi saya tidak nampak apa perlunya semua A – hatta 20 A – untuk murid sekolah rendah? Apakah itu jaminan mereka akan menjadi doktor, jurutera, peguam atau angkasawan?

Sepatah kata Mahadzir: “Semua hendak diberi, letihlah mereka dan boleh ‘meletup’. Bagilah murid seronok datang ke sekolah, tapi kalau buku pun sudah lapan kilogram, macam mana hendak seronok?”

Maka teringat zaman saya sekolah rendah lebih setengah abad dulu. Hanya ada satu dua buku teks. Satu yang saya masih ingat ialah subjek Sains yang dulu disebut Ilmu Kejadian. Ada gambar rama-rama, ikan, pokok, matahari.

Kerja rumah tidak ada buku tambahan, hanya apa yang diberi oleh cikgu kelas. Emak dan abah pun hanya nasihat: “Engkau nak berkubang kat parit, pastikan kerja sekolah dah siap...”

Agaknya sebab itu saya hanya jadi wartawan, tidak doktor, atau angkasawan!