BAGI sesetengah orang, ada masa  lima tahun sekali  rezeki datang bergolek-golek, dan melayang-melayang. Senang dapat duit, mudah buat untung atas angin.

Masa itu datang lagi sekarang, iaitu PRU14. Parlimen akan dibubarkan sehari dua ini, dan kita akan mengundi dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Maka empat-lima minggu ini adalah musim rezeki melimpah. Kita sudah mendengar kisah seorang pembuat dan penjual kain tudung yang sejak akhir-akhir ini mendapat tempahan luar biasa banyak.

Ada pun yang menempah dan membeli kain tudung itu, bukan orang perseorangan, tetapi parti-parti politik. Kain penutup kepala wanita itu ditempah khas untuk parti.

Warnanya mengikut warna parti. Ada merah, ada biru tua. Ada hijau, ada biru muda. Ada putih, ada jingga. Selain warna pilihan, mesti ada logo parti pada tudung yang ditempah itu.

Kalau satu parti tempah seribu helai, lima parti bererti 5,000 helai. Kalau untung sehelai RM1, tauke tudung sudah mendapat RM5,000.

Tetapi biasanya dalam musim seperti ini, keuntungan yang dibuat bukan RM1 sehelai, mungkin RM5, mungkin RM10 sehelai.

Ertinya, penjual tudung akan membuat laba antara RM25,000 hingga RM50,000. Kalau yang dipesan parti 10,000helai, atau mungkin juga 100,000 helai, agen dan penjual tudung boleh tidur atas duit.

Mana-mana pihak yang ada mesen cetak berpeluang juga mengendeng duit parti. Boleh cetak manifesto, lebih untung lagi sekiranya dapat kontrak mencetak poster.

Bayangkan sekiranya poster yang dipesan parti, katakan 1 juta helai, senang-senang pencetak boleh untung RM ratus-ratus ribu.

Musim pilihan raya adalah musim poster, dan jumlah yang dicetak oleh semua parti di seluruh negara mungkin lebih 10 juta helai. Berapa banyak pencetak dapat?

Ada juga yang mencetak bendera parti, untuk digantung dan ditampal pada tempat dan sudut-sudut strategik – tembok, dinding bangunan, jejantas, hatta tandas.

Apabila kempen bermula, tukang tampal poster dan tukang sangkut bendera pun boleh dapat duit. Mana-mana anak muda, termasuk mat rempit, boleh buat kerja sambilan untuk parti.

Tukang tampal biasanya diberi gaji hari oleh parti, antara RM20 hingga RM50 per hari. Biasa terjadi sepanjang kempen, poster yang ditampal hari ini, esok sudah lesap sebab ada kutu @ samseng sambilan yang kerjanya mengoyak dan merosakkan poster.

Maka bukan hanya tukang tampal dan tukang gantung, tukang koyak poster pun mendapat upah. Musim pilihan raya, samseng sambilan pun ada peranan!

Pada hari mengundi penjual kacang putih, mamak cendol pun mengambil kesempatan buat bisnes tambahan. Mereka berada berhampiran kawasan pembuangan undi. Selepas memangkah, pengundi pasti mengeteh atau menyendol.

Berdasarkan pengalaman PRU-PRU yang lalu, di KL, pada hari mengundi restoran nasi kandar laku luar biasa. Pengundi mula-mula melepas geram di bilik mengundi, kemudian menjamu selera di restoran nasi kandar.

Rakyat di seluruh negara pun mendapat banyak manfaat menjelang pilihan raya. Ada yang mendapat sekolah baharu, jalan tar baharu, basikal baharu, atap zink baharu.

Itu tidak termasuk projek RM juta-juta yang ditawarkan oleh kerajaan sejak setahun sebelum pilihan raya. Malah, di setengah kawasan setiap pengundi mendapat sampul surat berisi wang dari parti.

Pendek kata duit PRU14 ada di mana-mana, dari pelbagai sumber, untuk mereka yang berkenaan. Tidak kira parti atau calon mana yang anda pangkah, rezeki lima tahun sekali jangan dilepaskan.

Kata yang empunya cerita, ada satu lagi golongan yang membuat duit secara senyap-senyap sejak setahun lalu. Parlimen belum bubar, golongan ini sudah mengaut laba.

Mereka adalah dukun dan bomoh. Sejak setahun lalu golongan ini dikunjungi oleh pelbagai individu – lelaki dan wanita – yang bercita-cita tinggi untuk menjadi calon PRU14.

Pelik bin ajaib, pada zaman internet yang serba canggih, serba-serbi di hujung jari, ramai lagi yang percayakan dukun dan bomoh. Mereka sanggup membayar, asalkan bomoh dapat membantu menjadi calon.

Ada bomoh yang mengenakan bayaran RM ribu-ribu, walaupun siang-siang sudah mengaku: “Saya hanya mencuba, tidak ada jaminan. Tetapi biasanya yang berjumpa saya semua jadi YB...”

Bomoh pun pening dan keliru apabila individu-individu dari parti yang sama, ingin menjadi calon untuk kawasan yang sama!

Tetapi, biasalah bomoh tetap akan berkata: “Saya akan cuba, insyallah tuan akan menjadi wakil rakyat!”