BEBERAPA peraturan baharu dalam perkhidmatan e-Angkut (e-Hailing) yang diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menunjukkan kerajaan lebih tunduk kepada syarikat dan peniaga teksi.

Loke antara lain menyatakan pemandu e-Hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Per-khidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun, dan pemeriksaan kenderaan tahunan perlu dilakukan oleh Puspakom dan pengambilan insurans untuk semua penumpang. Secara asasnya apa yang Loke umumkan peraturan kawal selia e-Hailing ini hampir sama dengan syarat kepada pemandu teksi.

Apakah ini kebaikan kepada pengguna atau sekadar memenuhi tuntutan pengusaha teksi yang menyokong Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu? Peraturan baharu ini tidak ada kena mengena dengan kebajikan pengguna mahu pun pemandu teksi.

 Pemandu teksi “biru” yang mengadakan demonstrasi “anti Grab” tempoh hari juga perlu sedar mereka dipergunakan oleh tuan punya syarikat teksi sahaja. Asingkan sebahagian kecil pemandu teksi yang mempunyai permit teksi peribadi, kebanyakan pemandu teksi di Lembah Klang bekerja mengayakan pengusaha teksi.

Dengan bayaran sewa permit dan kereta sehingga RM85 sehari, kos pendahuluan sekitar RM6,000 adalah lebih baik mereka meninggalkan perkhidmatan teksi biru dan menyertai e-Hailing seperti Grab.

Mereka tidak lagi perlu menunggu pelanggan berjam-jam dan cuba merunding harga. Grab juga menyediakan perkhidmatan sewa kereta hanya pada kadar RM45 dan bayaran deposit RM1,000.

Berbalik kepada peraturan baharu ini yang sebenarnya sangat tidak praktikal. Kebanyakan pemandu e-Hailing adalah mereka yang mahu mencari pendapatan tambahan dan sekadar suka-suka.

Memaksa kumpulan ini mendapatkan PSV, menghantar kereta mereka setiap tahun ke Puspakom dan mengambil insurans tambahan hanya akan mengurangkan bilangan pemandu yang sanggup menyertainya.

Apakah akan terjadi apabila sebahagian besar mereka berhenti? Hari ini dianggarkan 35,000 pemadu e-Hailing aktif di seluruh negara. Jika sebahagian besar mereka berhenti kerana peraturan tidak masuk akal ini, ia akan menyebabkan jumlah perkhidmatan pengangkutan berkurangan. Ini sekali gus menyusahkan pengguna.

Sejak berpuluh tahun Malaysia dan banyak negara membangun lain berhadapan masalah menyediakan pengangkutan awam yang murah, cekap, dan efektif. Namun kehadiran sistem e-angkut atau e-Hailing ini memberi satu dimensi baharu kepada sistem pengangkutan negara.

Hari ini pengguna di Lembah Klang yang menjadi tempat penjanaan ekonomi negara tidak lagi berhadapan dengan kos pengangkutan awam yang tinggi dan tidak cekap. Tidak ada lagi pekerja lewat malam perlu membayar kos yang tinggi kepada teksi yang “mencekik darah” menaikkan harga sesuka hati pada waktu malam dan enggan ke destinasi tertentu.

Pengguna juga tidak lagi perlu menunggu teksi di tepi jalan tetapi hanya membuat tempahan dalam talian dan menunggu di tempat yang selamat sehingga kenderaan tiba.

Pakatan Harapan memenangi pilihan raya dengan janji mengurangkan kos sara hidup rakyat dan untuk memberi perkhidmatan lebih baik.

Namun apa yang Menteri Pengangkutan lakukan adalah sebaliknya, meningkatkan kos sara hidup dan mengulangi zaman ketidakcekapan dan ketinggian kos dalam pengangkutan awam.

Sudah tentu kerajaan akan memberi alasan keselamatan pengguna dan sebagainya. Soalnya, apakah kerajaan menyatakan lesen kenderaan sekarang tidak melayakkan mereka membawa penumpang?

Mereka mempunyai lesen dan memandu kenderaan yang sama membawa keluarga dan rakan-rakan. Mengapa lesen dan kenderaan tersebut cukup bagus untuk keluarga tetapi tidak untuk penumpang e-Hailing?

E-Hailing adalah antara penyedia pengangkutan awam terbaik negara. Ia bukan sahaja cekap dan murah, malah mempunyai sistem “rating” yang mengawal tingkah laku pemandu dan kualiti kenderaan. Ini gagal diuruskan oleh agensi kerajaan dan Puspakom sejak berpuluh tahun dalam industri pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

Kegagalan kerajaan menyediakan pengangkutan awam yang cekap dan murah telah diatasi oleh sistem e-Hailing. Malangnya dari membantu melestarikan perkhidmatan ini, ia menjadi seperti tikus membaiki labu.

Kita tidak menolak usaha kerajaan mengadakan peraturan dalam industri ini. Peraturan perlu bagi mengawal selia tetapi ia harus dalam konteks membantu pengguna bukan melindungi korporat lain yang menindas pengguna.

*Penulis merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar) yang baru-baru ini melakukan penerokaan dalam pemanduan e-Hailing bagi memahami perjalanan industri tersebut