BILA kita tulis atau bercakap berkenaan hegemoni politik, ekonomi dan ketenteraan China, penyokong China kata kita khianat dan sengaja hendak takutkan orang ramai.

Walaupun banyak contoh buruk berkaitan pelaburan China di merata dunia, pemuja China berkata, itu di tempat lain. Di Malaysia perkara macam itu tidak akan berlaku.

Sebenarnya tanda-tanda sudah ada. Cuma pihak-pihak yang bercita-cita mengaut keuntungan daripada projek-projek China sengaja sembunyikan keburukan itu daripada pengetahuan rakyat jelata.

Baru-baru ini kita baca berita mengenai lebih 8,000 pembeli rumah di projek raksasa milik China, Forest City dan beberapa buah projek lain di Johor tersangkut apabila kerajaan China tidak benarkan mereka membawa keluar duit dari negara China.

Kerajaan China keluarkan perintah itu pasal terlalu banyak duit mengalir keluar sehingga menyebabkan kadar tukaran mata wang Yuen jatuh.

Boleh dikatakan semua 8,000 pembeli itu adalah dari China dan ramai yang bekerja di projek terbabit adalah juga dari China.

Kalau rakyat jelata dan pekerja mereka sendiri jadi mangsa mereka, bayangkan apa yang mereka sanggup buat kepada rakyat jelata kita.

Ada laporan mengatakan pekerja China itu dibiarkan kelaparan apabila projek-projek hartanah China di Johor terbengkalai sehingga terpaksa dibantu penderma tempatan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah sebahagian besar projek-projek China di negara kita dulunya adalah milik kita, tetapi dibeli 1MDB dan kemudiannya dijual kepada syarikat dari negara China atau projek baharu kerajaan yang kita bagi seperti Bandar Malaysia dan Kompleks Kewangan Tun Razak (TRX).

Turut dikhuatiri, apabila laporan media massa mengatakan kerajaan kita telah luluskan permit kepada hampir 2,500 warganegara China untuk bekerja di Johor saja.

Sebenarnya ciri-ciri penipuan dan mungkir janji ini telah pun berlaku cuma tidak ramai orang kita yang faham atau peduli sebab belum sentuh poket mereka secara besar-besaran. Secara kecil-kecilan sudah berlaku.

Saya sudah banyak kali tulis hal ini. Tapi boleh jadi orang kita tidak percaya sebab mereka tidak faham atau tidak lalui sendiri.

Jadi apa kata saya ulang cerita itu dengan memetik sebuah berita yang ditulis penulis Cina dan disiarkan akhbar terkenal The Star.

Pada 10 Jun, surat khabar milik MCA itu siar sebuah rencana bertajuk When Liberalisation Attracts Flops (apabila dasar terbuka menarik (syarikat) yang gagal) oleh wartawannya, Errol Oh.

Dalam rencana itu, Oh menceritakan macam mana dasar pasaran terbuka yang dianuti Suruhanjaya Sekuriti pada 2008 untuk majukan pasaran saham tempatan telah diambil kesempatan oleh pelabur dari negara China.

Mereka guna dasar itu untuk cari modal di negara kita dengan menjual saham mereka di Bursa Malaysia. Saya pernah ceritakan macam mana apabila sesetengah syarikat China itu cuba jual saham mereka di China, Singapura dan Hong Kong tetapi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Oh berkata, menjelang akhir tahun 2013, sebanyak 10 buah syarikat dari China telah buat tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia dan berjaya kutip modal kira-kira RM630 juta.

Saya masih ingat macam mana seronok dan bangganya pegawai dan eksekutif kita dengan kemasukan syarikat negara China itu.

Tapi apa yang telah terjadi? Satu demi satu syarikat negara China itu buat hal. Ada yang tidak simpan akaun dengan baik sehingga ditolak oleh syarikat pengauditan tempatan.

Oh menulis: “Malangnya mutu bukanlah perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila seseorang itu mengkaji apa yang telah berlaku kepada 10 buah syarikat China tersebut.”

Apa yang berlaku adalah semua atau sebahagian besar daripadanya telah mungkir janji, rugi, harga saham mereka jatuh merudum, diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah PN17 dan diherdik oleh Bursa Malaysia.

Contohnya China Automobile Part Holdings Ltd. Harga sahamnya merudum daripada harga IPO 68 sen kepada satu sen pada 8 Jun lepas. K-Star Sports Ltd jatuh daripada harga IPO RM2.15 kepada 10 sen. Tak ada sebuah pun yang sahamnya naik.

Sesiapa yang membeli saham syarikat negara China tersebut mengalami kerugian teruk. Nilai pelaburan mereka merudum dan mereka tidak dibayar dividen.

Maaf cakaplah kalau saya kata, unsur-unsur penipuan, putar-belit dan sambil lewa nampaknya berleluasa dalam syarikat-syarikat dari China. Piawaian mereka sangat rendah. Jadi berhati-hatilah.

Apa yang dikhuatiri adalah pelabur China yang diberikan projek dan konsesi berpuluh bilion ringgit oleh kerajaan akan melakukan hal yang sama. Wallahuaklam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PADA 8 September lepas, akhbar New Straits Times memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sebagai berkata Malaysia akan menjadi ekonomi yang ke-24 terbesar di dunia menjelang tahun 2050.
  • ARAB Saudi, negara pengeksport petroleum terbesar di dunia tiba-tiba terpaksa meminjam daripada pasaran kewangan antarabangsa, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).
  • KALAU ikut perangkaan rasmi, memang benarlah ekonomi negara kita kembang pesat dalam suku kedua (April hingga Jun) tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 5.8 peratus.
  • PADA 15 Ogos lalu, laporan Bernama kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pesara kerajaan adalah golongan yang tak gigit 'organisasi' tempat mereka berkhidmat dulu.
  • TENTU ada orang akan mengatakan bahawa isu penggunaan bahasa Cina (Mandarin) yang begitu ketara di upacara pecah tanah Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Pahang baru-baru ini sengaja diperbesar-besarkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.