SEORANG penduduk kampung tradisional di tengah-tengah rancangan Felda kelompok Chini di Pahang bertanya saya, kalau ekonomi stabil mengapakah harga barang-barang keperluan harian naik?...

Satu pemerhatian yang tajam dan pertanyaan yang tepat. Saya tidak terkejut dengan hujahnya itu. Mitos bahawa orang kampung tradisional dan peneroka Felda adalah jahil dan tidak tahu apa-apa adalah tidak benar dan menghina.

Daripada pergaulan saya dengan orang kampung tradisional dan peneroka Felda kebelakangan ini saya kadang-kadang berasa malu kerana mereka mengetahui lebih banyak tentang isu harian dan basahan daripada saya.

Mereka tidak lagi percaya bulat-bulat mantera ekonomi berkembang pesat, inflasi rendah dan negara akan muflis kalau cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan.

Dalam menjawab kemusykilan mereka, saya katakan yang hal-hal seperti skandal 1MDB, rasuah, hutang negara yang tinggi dan dasar ekonomi yang mengutamakan pasaran bercantum untuk memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat jelata.

Menang benar ekonomi kita berkembang pada kadar yang memuaskan dan lebih tinggi daripada sesetengah negara jiran. Tetapi rakyat jelata tidak merasa kesan yang positif sebaliknya semakin hari semakin tertekan kerana pertumbuhan yang dibangga-banggakan itu tidak bermutu atau rendah mutunya.

Hal ini terjadi kerana sejak lebih kurang satu dekad yang lalu dasar ekonomi dan kewangan kita boleh disifatkan sebagai telah tergelincir daripada landasan asal yang menggabungkan pertumbuhan dengan pembahagian di mana kekayaan negara yang bertambah itu dibahagi-bahagikan dengan adil.

Inilah asas ekonomi negara kita sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai tahun 1971 dan diteruskan dalam dasar-dasar selepasnya.

Buat berdekad-dekad lamanya negara kita merupakan negara bekas tanah jajahan yang mempunyai sistem perancangan dan pelaksanaan ekonomi terbaik di dunia sehingga dicontohi oleh banyak negara membangun yang lain.

Kerajaan telah menubuhkan beberapa buah agensi khusus seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) bagi merancang dan memacu ekonomi negara.

Umumnya agensi-agensi ini telah menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan sehingga membolehkan negara kita maju daripada status negara miskin kepada negara berpendapatan sederhana tinggi.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian atau kesemua peranan mereka telah diambil alih oleh agensi-agensi baru seperti Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Peneraju) dan oleh perunding-perunding luar sama ada dari dalam atau luar negara.

Pelantikan individu tertentu yang berorientasikan perniagaan dan pengurusan korporat telah menyumbang ke arah menjadikan dasar dan program pembangunan kita terlalu memihak kepada pasaran sehingga mengabaikan aspek sosioekonomi seperti pembahagian kekayaan dan kebajikan masyarakat.

Misalnya, penggabungan syarikat dan pemberhentian pekerja dijadikan alat untuk memaksimumkan penjimatan dan mempertahankan keuntungan tanpa menghiraukan produktiviti sebenar.

Hari ini lebih mudah bagi majikan memberhentikan pekerja dengan menggunakan pelbagai faedah pasaran seperti skim perpisahan sukarela (VSS) dan skim perpisahan dipersetujui bersama (MSS).

Penubuhan agensi-agensi baru ini juga menyebabkan bilangan kakitangan awam tanpa perjawatan meningkat dengan banyak. Mereka ini pula dibayar gaji yang lebih tinggi daripada penjawat awam.

Inilah antara punca perbelanjaan kerajaan untuk membayar gaji dan pencen bertambah dengan begitu banyak sehingga boleh kata hampir setiap sen hasil kerajaan terpaksa dibelanjakan untuk pengurusan manakala setiap sen untuk pembangunan terpaksa dipinjam

 

Akibat peminggiran EPU dan pergantungan kepada agensi transformasi seperti Pemandu, banyak dasar negara telah berubah daripada keadilan sosial kepada pertumbuhan dan keuntungan semata-mata.

Dengan itu banyak dasar dan projek pembangunan berpindah daripada kepentingan umum kepada memenuhi kehendak golongan kapitalis dan pasaran.

Ini adalah antara sebab harga barang dan perkhidmatan naik mendadak selain pelaksanaan GST.

Kesimpulannya, siapa juga yang menerajui kerajaan di masa akan datang akan berdepan dengan masalah ini dan mereka wajib memikirkan semula kaedah perancangan ekonomi dan kewangan negara agar lebih seimbang supaya kebajikan masyarakat tidak diabaikan.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara