MINGGU ini, izinkan saya bercerita sedikit sesuatu yang agak peribadi tetapi mempunyai kaitan dengan dunia maklumat, media dan kewartawanan.

Ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, tidaklah berapa ramai kawan-kawan dalam dunia kewartawanan yang berjumpa dengan saya kecuali dari akhbar bebas seperti Sinar Harian dan portal-portal berita.

Tetapi selepas rakyat jelata memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, lebih ramai yang berani berjumpa, termasuklah dari media yang dulunya digelar media arus perdana. Alhamdulillah.

Rasanya mereka tidak lagi takut dilihat bersama saya. Baguslah kalau kemenangan PH menyebabkan wartawan berasa lebih bebas dan berani.

Secara peribadi, saya dari dulu lagi berpendapat kalau takut jangan jadi wartawan. Hendak jadi wartawan kita perlu berani dan tidak terlalu mementingkan diri.

Saya berterima kasih kepada mereka atas persahabatan, kesetiakawanan dan penghormatan yang mereka tunjukkan kepada saya.

Serentak itu saya berasa amat kerdil dan tidak berdaya dengan harapan yang terlalu tinggi yang mereka letakkan di atas bahu saya. Saya seorang tidak berdaya dan tidak akan berjaya membawa perubahan kepada dunia media dan maklumat.

Saya memerlukan sokongan mereka kerana hanya dengan komitmen dan keikhlasan masyarakat kewartawanan sahaja kita akan berjaya mewujudkan persekitaran media dan komunikasi yang lebih baik.

Kerajaan PH telah pun menjanjikan kebebasan dan tanggungjawab kepada media massa untuk menjadi penyemak imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

Bagi tujuan itu kerajaan berharap masyarakat media dapat mewujudkan sebuah majlis bagi menyelaraskan garis panduan etika pelaporan dan bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab menangani aduan orang ramai mengenai media.

Dengan jaminan kebebasan oleh kerajaan dan pengawasan dalaman oleh pengamal media, harapan untuk memperkuatkan semua media massa tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen lebih cerah.

Kita tahu bahawa media tradisional kini menghadapi saingan sengit daripada media atas talian khususnya media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram. Dalam dua dekad kebelakangan ini media massa tradisional mengalami penguncupan yang teruk.

Saingan media sosial, kedangkalan wartawan dan kemerosotan minat membaca menyebabkan banyak nama besar dalam dunia persuratkhabaran terkubur atau dalam keadaan tenat.

Kita baru saja membaca berita yang tidak mengejutkan mengenai syarikat yang menerbitkan akhbar bersejarah Utusan Melayu telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 kerana gagal membayar balik hutang.

Tanpa tindakan menyelamat, Utusan Melayu Berhad adalah dalam bahaya menjadi bahan sejarah. Hatta konglomerat media yang lebih besar dan kukuh seperti Star Publications Barhad dan Media Prima Berhad pun dalam kesesakan sehingga terpaksa menjual harta.

Saya akui bahawa ramai rakan wartawan mempunyai pengalaman dan tahap kewibawaan yang tinggi tetapi dirosakkan oleh campur tangan tidak profesional oleh ejen-ejen Umno/BN.

Sebahagian kecil daripada mereka masih boleh menyumbang menaikkan semula kewibawaan dan profesionalisme dunia kewartawanan jika diberikan peluang dan sokongan.

Kita tidak boleh menyerah kalah. Sebaliknya kita perlu berusaha gigih memulihkan media massa tradisional kerana dunia tanpa pengarang boleh membawa padah yang sangat buruk. Media sosial tanpa pengarang dan wartawan warga tanpa latihan mungkin memberikan kita gambaran kebebasan mutakhir.

Tetapi kebebasan tanpa batasan mungkin berkesudahan dengan anarki media yang sangat berbahaya. Kita masih memerlukan pengarang dan wartawan. Tetapi mereka haruslah daripada kalangan yang menentang kemungkiran kerajaan dahulu dan mempunyai harap kewibawaan yang tinggi. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara