KITA selalu dengar laporan mengatakan pertumbuhan ekonomi positif. Memang benar tetapi kadarnya sederhana. Di antara tahun 2000 dan awal tahun ini, kadar purata pertumbuhan adalah 4.75 peratus.

Ini berbeza dari tahun 1980-an dan 1990-an apabila ekonomi berkembang dengan amat pesat sehingga ada kalanya mencapai dua angka.

Serentak itu, pembahagian kekayaan juga amat lembap sehingga menyebabkan jurang pendapatan di antara golongan berada dengan miskin semakin melebar. Ada kajian mendapati jurang kekayaan mengikut pekali Gini (Gini Equation) telah kembali ke tahap sebelum Dasar Ekonomi Baru (1971).

Ambil contoh kenaikan gaji pekerja misalnya. Perunding dan pengkaji bebas ekonomi, Dr Mohammed Abdul Khalid dalam analisis terbarunya dalam portal berita Malaysian Insight (MI) mendapati gaji penengah pekerja di Malaysia tahun lalu naik 6.2 peratus tetapi gaji pekerja tempatan meningkat tiga peratus sahaja.

Maksudnya kenaikan gaji pekerja asing lebih tinggi daripada pekerja tempatan. Malahan, kata beliau, jika ditolak kadar inflasi, peningkatan gaji pekerja warganegara Malaysia tidak pun sampai satu peratus atau RM17.

Selain kenaikan gaji yang sederhana dan tidak seimbang, ekonomi kita juga terus mengalami masalah guna tenaga yang lembap. Walaupun kadar pengangguran jatuh sedikit kepada 3.4 peratus dalam bulan April tahun ini - daripada 3.5 peratus tahun lalu – namun bilangan penganggur naik 0.1 peratus kepada 511,900 orang.

Yang amat membimbangkan ialah kadar pengangguran belia. Perangkaan Bank Negara menunjukkan kadar pengangguran belia telah mencapai tahap 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya.

Inilah contoh kebimbangan yang saya sebutkan berulang kali iaitu negara kita mungkin sedang mengalami kelemahan sistemik atau, sudah mula menderita kegagalan sistemik yang dicetuskan oleh gabungan ekonomi dunia tidak menentu dan skandal-skandal besar melanda negara seperti 1MDB dan rasuah yang semakin meningkat.

Bukan ekonomi sektor awam sahaja, sektor swasta pun mempamerkan masalah sama.

Misalnya, pemilik pasar raya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin memberitahu media massa bahawa sektor peruncitan mengalami kejatuhan jumlah dagangan 1.2 peratus pada suku pertama tahun ini dan aliran ini berterusan. Hatta jua-lan musim raya baru lalu pun lebih rendah daripada sebelumnya.

Dalam pada itu kita dikejutkan oleh pemborosan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang membelanjakan RM419,000 membeli 25 nombor plat siri 'PNB' daripada Jabatan Pengangkutan Jalan kononnya untuk penjenamaan.

Bukan itu saja. Sektor korporat pun dalam kesusahan. Kadar keuntungan merosot atau rugi terus dan harga saham di Bursa Malaysia longlai.

Kita sudah biasa dengan cerita kehambaran prestasi perniagaan dan harga saham Felda Global Ventures (FGV). Tetapi baru-baru ini, hal yang sama berlaku kepada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat kimia Lotte Chemicals.

Pada mulanya tawaran sahamnya ditolak kerana harga yang dicadangkan dianggap terlalu mahal. Kadarnya diturunkan berapa kali. Itu pun apabila mula diniagakan di Bursa Malaysia harganya merosot sehingga memaksa bank pelaburan, Maybank IB, membeli lebih 17 juta unit bagi menyekat kejatuhan seterusnya.

Sekarang kita dengar pula berita bahawa syarikat tenaga antarabangsa, Edra Global Energy Berhad milik negara China, akan membuat IPO di Malaysia untuk mencari modal.

Edra ini dulu milik 100 peratus 1MDB. Tapi apabila 1MDB kesesakan wang ia dijual kepada China General Nuclear Corporation (CGNC) dengan alasan kononnya syarikat China itu akan membawa masuk modal.

Tapi nampaknya sumpahan Sang Kelembai 1MDB terus merebak. Kerajaan China mengenakan kawalan mata wang. Pelabur China tidak dibenarkan membawa keluar modal. Jadi Edra milik China terpaksa cari modal di negara kita.

Hebat. Kerajaan jual harta negara kepada mereka dan mereka pinjam daripada kita untuk membayarnya. Edra bercadang menjual saham bagi mendapatkan modal sebanyak RM2.16 bilion hingga RM4.32 bilion.

Bila 1MDB beli penjana elektrik bebas (IPP), ia RM12 bilion tapi dijual kepada China pada harga lelong tidak sampai RM10 bilion. Pelik tetapi benar.

Saya bimbang tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PNB, Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dikerah untuk membeli saham syarikat China itu.

Kesimpulannya, ekonomi kita berkembang tetapi kadarnya tidak cukup tinggi untuk mencetuskan kesan lelehan manakala dasar dan kewibawaan kerajaan tidak cukup mantap untuk meyakinkan pelabur dan pengguna. Wallahuaklam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SESIAPA saja yang faham undang-undang dan konvensyen antarabangsa tidak terperanjat tindakan beberapa negara asing menyiasat dan menghukum pihak terlibat dengan penggelapan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.