SAYA telah menulis mengenai kegiatan perniagaan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam ruangan ini.

Izinkan saya menyambung cerita mengenai 1MDB. Kita sudah pun tahu yang 1MDB sedang menjalani proses penggulungan (winding down) 1MDB. Apa yang belum jelas ialah kesannya kepada kita sebagai rakyat jelata dan pembayar cukai.

Kita sudah pun melihat bagaimana beban hutang dan tanggungan 1MDB telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan. Ertinya segala hutang-piutang 1MDB yang dilaporkan melebihi RM50 bilion kini ditanggung oleh kerajaan.

Dalam bahasa yang mudah, segala hutang-piutang ini akan dibayar oleh rakyat jelata, pengguna dan pembayar cukai. Untuk berpuluh-puluh tahun akan datang, kita akan tanggung beban penyelesaian masalah yang dicetuskan oleh skandal 1MDB.

Ambil contoh penjualan penjana elektrik bebas (IPP) milik 1MDB kepada China General Nuclear Corporation (CGN) pada tahun 2015 misalnya. Ia akan memberi kesan jangka panjang kepada pembekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kadar tarif yang kita perlu bayar.

Saya telah pun meramalkan hal ini beberapa kali, di sini dan di tempat-tempat lain. Saya tidak gembira bahawa ramalan saya itu makin hari menjadi kenyataan kerana kesannya kepada rakyat jelata adalah tidak baik.

Misalnya, 1MDB melalui anak syarikatnya, Edra Global Energy Berhad, membeli beberapa buah IPP tempatan milik pelabur tempatan dengan harga RM12 bilion.

Kemudian apabila 1MDB kesesakan wang untuk membayar balik hutang, ia jual Edra Global kepada CGN dengan harga potongan RM9 bilion.

Kenyataannya ialah oleh sebab imej 1MDB begitu buruk, tidak ada siapa yang berani membeli aset-asetnya kecuali syarikat dari negara China. Tersebar saja ura-ura TNB mungkin diarah membeli IPP Edra Global, harga sahamnya jatuh.

Saya menyuarakan kebimba-ngan bahawa CGN mungkin tidak akan membawa masuk modal sebaliknya meminjam dari pasaran tempatan. Sekali lagi ramalan saya menjadi kenyataan.

Pada mulanya terdapat ura-ura bahawa CGN, melalui Edra Power Holdings Berhad, bercadang mengutip modal dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) tetapi membatalkannya kerana bimbang tidak mendapat sambutan.

Kini nampaknya cadangan IPO itu telah digantikan oleh pinjaman. Edra telah mengumumkan ranca-ngan meminjam RM5.28 bilion melalui pengeluaran sukuk iaitu bon syariah.

Baguslah syarikat asing milik orang kafir menggunakan instrumen syariah untuk mencari modal. Ini menguatkan lagi bukti bahawa kaedah ekonomi Islam yang berlandaskan syariah adalah sesuai untuk perniagaan raksasa oleh orang Islam dan bukan Islam.

Saya adalah antara yang terawal menulis memperkenalkan konsep kewangan Islam iaitu pada awal tahun 1980-an apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Perbankan Islam yang berkesudahan dengan penubuhan Bank Islam Malaysia pada tahun 1983.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah status sebenar syarikat milik Kerajaan China komunis itu. Sebagai syarikat asing ia sepatutnya membawa masuk pelaburan. Tetapi kita tidak tahu dan tidak pasti sama ada ia telah membawa masuk modal.

Kita pun tidak pasti dari mana ia memperoleh modal RM9.83 bilion bagi membeli 100 peratus saham Edra Global daripada 1MDB pada tahun 2015. Adakah dibawa masuk dari negara China dan tempat-tempat lain atau dipinjam daripada pasaran modal tempatan?

Sekarang ia akan meminjam RM5.28 bilion dalam bentuk sukuk. Persoalannya siapakah yang akan membeli sukuk itu? Adakah ia akan dipasarkan di Malaysia sahaja atau akan dijual di seluruh dunia?

Kita mahu berlaku keadaan di mana kita beri pinjaman kepada syarikat kerajaan China itu untuk beli harta pusaka kita. Bukan itu saja. Kita jual pula kepada China dengan harga yang lebih murah daripada harga kita beli.

Daripada sudut ekonomi pula, penjualan oleh 1MDB itu tidak mewujudkan apa-apa yang baharu. Ia sekadar memindahkan pemilikan aset strategik negara kepada orang asing.

Saya tidak hairan kalau institusi-institusi kewangan tempatan, termasuk tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mungkin juga Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan menjadi sasaran utama penjualan sukuk oleh Edra itu.

Silap-silap penjualan Edra kepada CGN akan menjadi urus niaga jenis wal hasil balik asal, itu pasal tak hasil. 1MDB jual Edra kepada China. China pinjam duit daripada kita untuk bayar. China jual elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kita beli elektrik daripada TNB.

Lagi teruk kalau kerana urus niaga luar biasa ini tarif elektrik terpaksa dinaikkan dan rakyat jelata yang sudah pun terbeban akan dibebankan pula oleh kenaikan tarif.

Wallahuaklam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SAYA ingin menyambung perbincangan minggu lepas mengenai sindiran Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah terhadap rakyat tempatan yang kononnya tidak cukup kuat berusaha.
  • ARAB Saudi, negara pengeksport petroleum terbesar di dunia tiba-tiba terpaksa meminjam daripada pasaran kewangan antarabangsa, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).
  • PADA 15 Ogos lalu, laporan Bernama kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pesara kerajaan adalah golongan yang tak gigit 'organisasi' tempat mereka berkhidmat dulu.
  • KITA selalu dengar laporan mengatakan pertumbuhan ekonomi positif. Memang benar tetapi kadarnya sederhana. Di antara tahun 2000 dan awal tahun ini, kadar purata pertumbuhan adalah 4.75 peratus.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.