PETALING JAYA – Sebuah pusat memancing sanggup mengabaikan nyawa pengunjungnya apabila beroperasi secara haram di bawah kabel bervoltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Damansara Perdana dekat sini.

Hasil maklumat yang diperoleh, wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran sejak seminggu lalu mendapati kolam berskala besar itu yang diuruskan warga asing turut memperoleh bekalan air dan elektrik secara tidak sah.

Kolam memancing yang agak tersembunyi lokasinya itu mampu menghimpunkan tidak kurang dari 50 kaki pancing dalam masa sehari dengan mengenakan bayaran sekitar RM32 untuk tempoh empat jam memancing.

Kelicikan pengusaha kolam ikan yang mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan sejak lapan tahun lalu itu berakhir selepas satu operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ); TNB dan Syabas Sdn Bhd serta Balai Polis Damansara Utama, semalam.

Siasatan lanjut mendapati, binaan struktur premis terbabit turut didirikan tanpa sebarang kelulusan daripada MBPJ.

Malah premis berkenaan juga yang beroperasi di bawah menara talian penghantaran TNB juga tidak sah kerana pihak TNB sendiri tidak membenarkan sesuatu binaan dibina di bawah kawasan tersebut melainkan mendapat kebenaran dengan syarat-syarat tertentu.

Hasil pemeriksaan, premis itu menggunakan meter air dan elektrik mengikut kadar domestik dengan sambungan haram bekalan dibuat melalui dua rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi itu.

Dalam serbuan itu juga, seorang pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun turut diperiksa.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati lelaki yang bekerja sebagai tukang pembersih itu mempunyai dokumen serta permit kerja.

Tak ikut tarif air ditetapkan

Susulan operasi yang dilakukan, Syabas memberi notis 14 hari selepas mendapati pemilik premis kolam ikan di Damansara Perdana itu melanggar syarat-syarat ditetapkan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred berkata, pihaknya mendapati pemilik premis tersebut tidak membayar jumlah bil air mengikut kadar ditetapkan.

Menurutnya, ia kerana pemilik premis itu membayar bil mengikut kadar domestik sedangkan ia sebenarnya perlu mengikut tarif komersial.

Bagaimanapun beliau berkata, Syabas tidak dapat menjelaskan jumlah kerugian sebenar dialami buat masa ini.

“Syabas akan meneliti mengenai perkara ini dan siasatan lanjut mengenai kerugian akan dijalankan.

“Ini kerana apa yang dia (pemilik premis) bayar sekarang mengikut Kod 10 bagi domestik tetapi sepatutnya dia bayar ikut Kod 11 (komersial),” katanya.

Priscilla berkata, Syabas memberi notis tersebut supaya pemilik berkenaan mempunyai tempoh untuk mengadakan permohonan menukar kod tersebut.

Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian maka kod tersebut akan bertukar secara automatik.

“Kita bagi mereka tempoh untuk buat permohonan dan sekiranya tidak berbuat demikian maka kita akan menukarkan kod itu secara automatik.

“Pemilik perlu mematuhi peraturan ini kerana kita perlu adil sebab caj dikenakan adalah berlainan,” katanya.

Binaan tanpa kelulusan MBPJ

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, siasatan pihaknya mendapati pembinaan premis itu tidak mendapat sebarang kelulusan daripada MBPJ.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya memberi notis tujuh hari kepada pemilik premis berkenaan agar dapat merobohkan struktur haram terbabit.

“Kita bagi mereka notis supaya struktur ini dapat dirobohkan dalam tempoh tujuh hari kerana ia sememangnya tidak mendapat sebarang kelulusan.

“Memang hasil siasatan kita premis ini tidak mempunyai sebarang lesen permohonan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan siasatan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.