KUALA LUMPUR - Malaysia sedang bekerjasama dengan Provinsi Riau dalam usaha pencegahan jerebu rentas sempadan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai usaha Pencegahan Jerebu Rentas-Sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
   
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, antara program yang dilaksanakan di bawah kerjasama itu ialah peningkatan keupayaan kepada masyarakat tempatan mengenai teknologi pembakaran sifar aktiviti pertanian, projek perintis pemulihan tanah gambut yang sering terbakar serta pemasangan stesen pemantauan kualiti udara di Provinsi Riau sebagai sistem amaran awal jerebu.
   
"Walaupun kerajaan Indonesia masih dalam usaha untuk meratifikasikan Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (CO5), namun kerjasama antara kedua-dua negara khususnya dalam mengatasi masalah jerebu sangat diperlukan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah di persidangan Dewan Negara, hari ini.
 
Firdaus mencadangkan supaya kerajaan mengambil inisiatif lain untuk mengawal bencana jerebu yang melanda sementara menunggu kerajaan Indonesia meratifikasikan perjanjian CO5.
 
Dawos menyambut baik cadangan Dr Firdaus untuk mengadakan program penyelidikan antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara bagi mengatasi
masalah jerebu.

Sementara itu, dalam menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh mengenai status perjanjian CO5, Dawos berkata kerajaan Indonesia sedang memasuki fasa akhir dalam membentangkan ratifikasi dokumen di parlimen negara itu sebelum menandatangani perjanjian itu.
   
"Selain itu, kerajaan Malaysia juga melaksanakan langkah-langkah lain yang telah ditetapkan oleh Tindakan Jerebu Kebangsaan untuk mengatasi masalah jerebu.
   
"Antaranya membuat penyelarasan antara beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri ketika dalam beberapa tahap pencemaran IPU (Indeks Pencemaran Udara) seperti penutupan sekolah dan pengistyiharan darurat," katanya.  - Bernama