KUALA TERENGGANU – Perintis pertama kereta kuda di bandar Kuala Terengganu, Mohd Zahari Ismail, 56, kini sedang menyiapkan sebuah lagi kereta kuda rekaannya demi memenuhi cita rasa orang ramai yang menyukai kereta kuda ala Inggeris.

Sebelum ini, Mohd Zahari bersama anaknya telah mencipta sebuah kereta kuda diberi nama Cinderella dan menarik perhatian ramai.

Kini, dia akan muncul dengan sebuah lagi kereta kuda ala Inggeris yang dijangka mula digunakan di Pantai Batu Burok, dua minggu lagi.

Mohd Zahari yang mendapat sokongan anak berkata, dia amat teruja apabila anak ketiganya, Mohd Hafizi, 27, telah menemui idea kreatif menghasilkan sebuah kereta kuda Inggeris yang pastinya menarik perhatian orang ramai dan pengunjung ke bandar berkenaan.

“Sebenarnya, anak yang mendapat idea ini bagi menambah koleksi kereta kuda yang ada, menjadikannya empat buah. Saya hanya memantau kerja pembuatan dan mendapatkan bahan serta aksesori yang diperlukan.

“Setakat ini, kereta kuda yang belum diberi nama ini hampir siap 97 peratus. Kereta kuda ini dibuat sejak dua bulan lalu dengan kos hampir RM11,000 termasuk aksesori,” katanya di rumahnya di Kampung Mengabang Tengah, di sini.

Menurut Zahari, kebanyakan aksesori yang digunakan pada kereta kuda miliknya, dibeli di luar negara termasuk Thailand kerana lebih mudah untuk mendapatkannya berbanding di Malaysia.

Kereta kuda yang mula diperkenalkan kepada orang ramai di Pantai Batu Burok sejak 2007 itu menjadi sumber pendapatan keluarga Zahari, yang memperoleh hampir RM2,000 setiap bulan.

“Pendapatan tidak menentu kerana bergantung kepada orang ramai. Cuti am, cuti sekolah dan hujung minggu sahaja dapat banyak duit.

“Orang dewasa dikenakan bayaran RM5 manakala kanak-kanak RM3 untuk dua pusingan mengelilingi Pantai Batu Burok,” katanya.
Zahari berkata, anak dan menantunya menjadi pemandu kereta kuda kerana tidak mampu untuk mengupah orang luar.

“Kalau ambil pekerja dalam kalangan ahli keluarga, mudah mahu bayar gaji dan sebagainya berbanding mengupah orang lain,” katanya.

Ini kerana, selain kos pembuatan kereta kuda yang harus diambil kira, kos makanan kuda juga penting kerana kira-kira RM300 sebulan diperlukan untuk setiap kudanya.

"Untuk kereta kuda sahaja, saya mempunyai empat ekor kuda yang perlu diberi makan setiap hari, tidak termasuk empat ekor lagi yang dibela bagi menyertai pertandingan.

Sementara itu menurut Hafizi, dia mendapat idea menghasilkan kereta kuda ala Inggeris ini melalui Internet dan daripada situ, dia cuba menambah baik supaya lebih menarik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.