JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee memuji pemain remaja berbakat  Perak, D Kenny Pallraj yang mula mempamerkan prestasi baik sejak diserapkan ke skuad bimbingannya.

Kenny Pallraj yang pertama kali beraksi dengan Harimau Muda pada Piala Newspaper 2012 mendapat kepercayaan Kim Swee dan dipanggil menyertai Harimau Muda sepenuh masa untuk saingan Sukan Sea Myanmar hujung tahun ini.

“Kenny pemain yang paling menonjol dan paling konsisten sejak bersama skuad Harimau Muda. Dia pemain yang serba boleh dan mudah memahami arahan. Dia boleh diturunkan sebagai bek kiri, kanan dan juga di tengah serta mampu  melaksanakan tugasnya dengan baik," katanya.

Pada perlawanan persahabatan pertama menentang Palm Beach Sharks, Kenny menunjukkan permainan cemerlang dan membantu pasukan menang 5-1.

Selain Kenny, seorang lagi pemain asal Perak, Nurridzuan Abu Hassan turut bersama bersama pasukan dalam perguruan di Gold Coast sehingga bulan depan.

Hari ini, skuad negara bakal berdepan Sunshine Coast Fire diikuti bertemu Brisbane Olympic (2 Februari) sebelum bertemu kelab juara Liga Australia, Brisbane Roar (5 Februari).

Selepas siri Jelajah Australia, skuad Harimau Muda dijangka adakan latihan lima bulan di Slovakia bermula 15 Mac sehingga Ogos dan dijadual mengadakan 15 perlawanan.