Pengunjung : 23883 Khamis 11-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Enam muzium di Kelantan punyai sejarah unik tersendiri

KOTA BHARU - Muzium yang ada di Kelantan sesuai dikunjungi orang ramai kerana mereka bukan sahaja dapat menyaksikan peninggalan sejarah, malahan lebih banyak pengetahuan boleh diketahui melaluinya, kata Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Fauzi Mat.

Beliau berkata, terdapat enam muzium mengikut pengkhususan termasuk Muzium Negeri, Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan, Muzium Diraja, satu lagi akan beroperasi (Muzium Islam) Muzium Kraftangan, Muzium Perang, juga terdapat dua monumen peninggalan sejarah yang menjadi kebanggaan di negeri ini.

“Antara muzium yang sudah lama ada di Kelantan termasuk Muzium Negeri yang terletak berhampiran Bulatan Tun Padang dan bersebelahan Pejabat Tanah Kota Bharu serta Pusat Penerangan Pelancongan.

“Selain itu, Muzium Adat dan Istiadat Diraja Kelantan turut menjadi kebanggaan yang terletak di kawasan Kota Sultan Ismail, bersebelahan Istana Balai Besar,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Beliau berkata, bagi Muzium Diraja, ia terletak di jalan Raja Hilir bersebelahan Kampung Kraftangan, manakala bagi Muzium Kraftangan pula terletak di Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota, bersebelahan Muzium Diraja.

Menurutnya, sebuah muzium lagi iaitu Muzium Islam akan beroperasi dan ia terletak di Jalan Sultan dan muzium tersebut berhampiran Padang Merdeka, bersebelahan Masjid Muhammad, di sini.

Selain itu, terdapat dua monumen tinggalan lama di bawah kendalian Perbadanan Muzium Negeri Kelantan termasuk Memorial Peperangan Dunia Kedua di jalan Sultan berhampiran Padang Merdeka dan bersebelahan Kastam serta Eksais Diraja Malaysia.

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat mercu tanda sejarah kedatangan Islam di Kelantan iaitu Masjid Kampung Laut yang kini berada 12 kilometer dari bandar Kota Bharu ke Nilam Puri dan terletak bersebelahan Kias serta berhadapan dengan Akademi Islam Universiti Malaya (UM) Nilam Puri.

“Pengunjung boleh melawat muzium dan monumen ini yang dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang kecuali Jumaat dan harga tiket rendah dikenakan kepada pengunjung RM1 bagi dewasa, RM0.50 bagi kanak-kanak dan bagi pelancong RM2 dikenakan kepada mereka,” katanya.