Pengunjung : 13971 Jumaat 12-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Lebih RM55 juta basmi miskin tegar

MACHANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan lebih RM55 juta bagi membantu 68,000 petani keluar dari garis kemiskinan tegar di seluruh negara, tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mariam Mas Yaacob berkata, sebilangan besar golongan tersebut daripada Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Serawak.

”Bagi Kelantan, Jajahan Pasir Puteh terlibat di bawah program tersebut dengan membabitkan 100 petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Peladang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Machang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pem-bangunan Pertanian Kawasan Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Datuk Yaacob dan Pengarah LPP Kelantan, Md Salim Sulaiman.

Seramai 42 ahli menerima jentera dan peralatan kecil di bawah skim ‘Matching Grant’ termasuk secara individu dan kelompok melibatkan peruntukkan lebih RM2 juta.

Mariam berkata, ahli peladang, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak, Tiga Daerah dan Bukit Awang di Pasir Puteh akan mengusahakan tanaman cili kulai secara fertigasi yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

Katanya, bagi negeri lain mereka akan mengusahakan bidang ternakan, cendawan dan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan di bawah kementerian itu.

Pada masa yang sama, Mariam turut melahirkan kekecewaannya apabila terdapat sesetengah petani yang menjual peralatan diberikan kepada mereka bagi mendapatkan keuntungan segera.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah salah satu faktor mengapa taraf hidup petani sukar diubah walaupun lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.

”Ada di antara mereka sudah dibantu oleh kerajaan hampir 10 kali tetapi kedudukan (ekonomi) mereka tidak juga berubah iaitu masih berada di tahap lama,” katanya.