Pengunjung : 16833 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Dua hilux dicuri, rugi RM28,000

GUA MUSANG - Dua kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dilaporkan hilang di dua lokasi berasingan dua hari berturut-turut dia daerah ini menyebabkan kedua-dua pemilik kerugian kira-kira RM28,000.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kecurian dua Hilux semalam dan kelmarin menjadikan jumlah kecurian kenderaan terbabit di daerah ini tahun 2010, sebanyak 10 kes.

Menurutnya, polis sedang mengumpul maklumat mengesan kesemua kenderaan yang dicuri di daerah itu bagi menangkap suspek terlibat.

“Kejadian pertama berlaku di Taman Bunga Tropika kelmarin yang mana kehilangan disedari pemilik kira-kira jam 7.40 pagi.

“Hilux ini dipercayai dicuri sekitar jam 10 malam hingga 7.40 pagi. Kenderaan diletakkan di hadapan kediaman mangsa dan kehilangan ini menyebabkan mangsa kerugian RM11,000, ” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi tengah hari, semalam.

Saiful Bahri berkata, kejadian kedua berlaku semalam di Kampung Baru yang mana mangsa menyedari kehilangan Hilux-nya kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, mangsa berketurunan Cina berusia 58 tahun yang merupakan seorang pesara meletakkan kenderaan di hadapan kediamannya.

“Setelah keluar dari rumah kira-kira jam 9 pagi, mangsa mendapati kenderaannya hilang dan terus membuat laporan polis pagi semalam,” katanya.

Saiful Bahri berkata, pesara itu kerugian kira-kira RM17,000 berikutan kejadian itu.

Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Saiful Bahri berkata, Gua Musang menjadi tumpuan pencuri Hilux memandangkan penduduk daerah itu ramai yang menggunakan kenderaan tersebut disebabkan bentuk muka bumi berbukit dan agak berbeza dengan daerah-daerah lain.

Menurutnya, kenderaan itu dipercayai dibawa keluar dari Daerah Gua Musang.

“Setakat ini, polis terus berusaha mengesan kenderaan curi di daerah ini bagi menyelesaikan kes curi kenderaan termasuk kecurian motosikal,” katanya.