Pengunjung : 2003 Jumaat 12-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Padah akibat ubat seks

KOTA BHARU - Padah menjual ubat perangsang seks tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang peniaga kaki lima dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Sidi Nik, 66, dari Kampung Pauh Sembilan, Tawang Bachok diarahkan menjelaskan denda berkenaan ataupun hukuman penjara tiga bulan akan dikenakan sekiranya gagal menjelaskannya oleh Majistret Nik Habri Muhamad.

Berdasarkan pertu-duhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, tertuduh didapati bersalah memiliki barang keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM iaitu lapan kotak tablet biru 1000mg, lima kotak tablet biru 800mg, tiga kotak Wu Ye Shen, tiga kotak Maxman Best, satu strip Caverta 100, Empat botol jaguh lelaki, satu botol air Nikmat Pinang Muda dan empat bekas Kazulin.

Tertuduh didapati bersalah memiliki barangan tersebut dalam satu pemeriksaan yang dijalankan pihak KKM di premis Mega Jualan di sebelah Kedai Chin Seng, Jalan Hilir Pasar dekat sini kira-kira jam 12 tengah hari pada 30 Julai 2007.

Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan yang dijalankan itu, pihak KKM menjumpai ubat-ubatan yang dipercayai tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di atas meja jualan milik tertuduh.

Pihak KKM kemudiannya menyediakan senarai bongkar dan satu salinan telah diserahkan kepada tertuduh selepas ditandatangani. Barang-barang yang ditemui itu kemudiannya disita untuk siasatan lanjut oleh cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Kelantan.

Hasil siasatan yang dijalankan, ubat-ubatan tersebut disahkan Setiausaha PBKD adalah tidak berdaftar dengan PBKD.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.