Pengunjung : 32537 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Buruh miliki 252 pil kuda

KOTA BHARU - Seorang buruh, 36 tahun diarahkan Mahkamah Majistret di sini semalam membayar denda RM7,500 setelah didapati bersalah memiliki dadah jenis ‘methamphetamine’ (pil kuda) pada 28 Disember dua tahun lalu.

Majistret Azrol Abdullah memerintahkan tertuduh, Ahmad Faizul Hamzah dari Taman Sri Mahang dekat sini menjelaskan denda tersebut atau penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskannya.

Dalam pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Mislah, tertuduh ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sebuah rumah di Taman Sri Mahang dekat sini kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, tertuduh didapati bersalah memiliki 249 biji pil berwarna kemerahan dan tiga biji pil berwarna kehijauan yang kesemuanya berjumlah 252 biji dipercayai pil kuda.

Tertuduh didapati bersalah memiliki dadah tersebut dengan anggaran berat 3.29 gram tanpa sebarang kebenaran atau kuasa untuk memilikinya dalam mana-mana peraturan yang ternyata dalam undang-undang ini.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.