Pengunjung : 19337 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Ahli SRS bantu cegah jenayah

KOTA BHARU - Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) digalakkan menjadi pendamai dalam menyelesaikan masalah masyarakat tempatan.

Nasihat berkenaan diberikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komi-sioner Mazlan Lazim supaya ahli KRT dan SRS dapat menjadi agen kepada pencegahan kejadian tidak diingini.

Menurutnya, ahli SRS bukan sahaja perlu menjalankan rondaan pada waktu malam tetapi juga seharusnya menjadi pendidik kepada masyarakat.

“Saya berharap ahli-ahli SRS ini dapat menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah seperti perbalahan supaya ia tidak berlarutan sehingga mewujudkan kes jenayah.

“Sekiranya ia dibiarkan saya percaya akan berlaku pergaduhan yang boleh membawa kepada kecederaan dan lebih teruk jika ada maut,” katanya sempena Pelancaran Pondok Rondaan SRS Zon Dua KRT Kampung Berlian dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Kelantan, Abd Hadi Mohd Salleh.

Beliau berkata, ahli KRT dan SRS mempunyai pengaruh yang kuat dalam mewujudkan suasana lebih aman di kawasan masing-masing.

“Latih diri untuk membimbing masyarakat supaya komuniti tidak terdedah dengan jenayah dan sebagainya.

“Pergi tegur dan berikan nasihat kepada individu tertentu supaya perkara kecil tidak dibesarkan sehingga menyebabkan kejadian itu boleh menjurus kepada pertumpahan darah,” katanya.