Pengunjung : 23892 Jumaat 12-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pelajar perempuan lebih cenderung digoda suspek

KOTA BHARU - Pelajar perem-puan diingatkan supaya lebih berhati-hati terhadap godaan dan tawaran daripada lelaki yang tidak dikenali bagi mengelak berlakunya gejala tidak sihat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Daerah Kota Bharu, Asisten Superintendan Husin Mohd Noor berkata, pelbagai modus operandi yang digunakan termasuk menawarkan pertolongan untuk menarik perhatian pelajar perempuan untuk dijadikan mangsa rogol, culik dan sebagainya.

Menurutnya, setelah lelaki berkenaan banyak menghulurkan bantuan sudah pasti pelajar perempuan akan cepat tertarik dan terhutang budi dengannya seterusnya mengheret kepada berlakunya gejala sosial.

“Macam-macam cara suspek gunakan untuk menggoda pelajar-pelajar ini termasuk memberikan hadiah dan sudah pasti ia akan mendorong kepada hubungan lebih panjang.

“Oleh itu, pihak sekolah perlu memainkan peranan mereka mempelbagaikan program dan juga pendedahan kepada pelajar supaya mereka sedar risiko yang dihadapi dan juga takut untuk melakukan kesalahan jenayah,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar dan Pelancaran Bulan Disiplin Seko-lah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 di sini, semalam.

Hadir sama pada program berkenaan Pengetuanya, Abdul Aziz Che Ali dan kira-kira 34 ketua-ketua tingkatan dan penolongnya serta 79 barisan pengawas sekolah menerima sijil pelantikan masing-masing.

Dalam pada itu, Husin turut menasihatkan pihak sekolah supaya memberi tumpuan serius kepada pelajar supaya mereka ini takut untuk melakukan kesalahan jenayah di luar dan dalam kawasan sekolah.

“Tidak dapat dielakkan buli, peras ugut, ponteng dan curi dalam kalangan pelajar-pelajar bagaimanapun perkara ini dapat dikurangkan serta dielakkan menerusi kerjasama daripada pihak sekolah bersama ibu bapa.

“Saya puji usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah ini dengan menjemput pegawai polis untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada pelajar berhubung tindakan dan natijahnya sekira terlibat dengan jenayah,” katanya.