Pengunjung : 6028 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Usah bazir masa terus berpolitik

KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta semua pihak tidak lagi membazirkan masa dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan politik yang hanya semata-mata untuk menghangatkan keadaan.

Sebaliknya, Mustapa berkata, sekarang ini adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat bukannya masa untuk terus bermain politik.

“Rakyat sudah mual dengan keadaan sekarang yang terlaku banyak ‘politiking’ dan menghangatkan keadaan. Kita tidak mahu buang terlalu banyak tenaga kepada kerja-kerja yang membazir seperti kenyataan yang mengarut dan fitnah memfitnah... buat kerja dan kurangkan ‘suhu’.

“Kita tidak mahu bertegang leher dan bertikam lidah berterusan. Kita nak berkhidmat kepada rakyat. Kalau kita habiskan masa untuk bertikam lidah maka kita tidak ada masa untuk bekerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Khamis lalu yang melahirkan hasrat supaya Pas dan UMNO duduk semeja berbincang isu berkaitan dengan agama Islam.

Mustapa berkata, sekarang adalah masa untuk semua pemimpin melaksanakan perancangan. Bagaimanapun Mustapa berkata, UMNO menyambut baik cadangan itu namun enggan melayani syarat yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar Kelantan itu memandangkan UMNO mempunyai tugas yang lebih penting iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Semua faham sangat (sikap Nik Aziz) saya tak mahu tambah lagi isu, kita banyak buang masa, tidak payah dengar kenyataan-kenyataan yang merugikan kita.

“Kita kena bergerak ke depan. Kalau hendak dengar semua kenyataannya kena naik turun setiap masa. Kita mempunyai perancangan yang lebih besar untuk rakyat dan perlu berhenti dari terus berpolitik,” katanya.

Khamis lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan melahirkan hasrat untuk melihat UMNO dan Pas duduk bersama bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam.

Beliau dilaporkan berkata, tiada apa hasil yang diperoleh UMNO sekiranya parti itu terus mengamalkan pendekatan bermusuh dengan Pas.

“Saya mahu lihat majlis seperti ini diadakan antara UMNO dan Pas. 5O tahun UMNO bertengkar dengan Pas, apa hasilnya? Banyak masa habis. Parti ini banyak menggunakan masa, kepakaran dan kewangan untuk melawan gerakan Islam seperti Pas, apa hasilnya melainkan bertengkar,” katanya.