ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) disaran agar memperbanyakkan pembinaan rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR), bagi membantu golongan miskin luar bandar di negeri itu, memiliki rumah sendiri.
   
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pengalaman Keda membangunkan kawasan luar bandar dengan membina rumah dan penempatan golongan miskin dapat mempercepatkan usaha kerajaan mengatasi masalah pemilikan rumah golongan tersebut.
   
"Saya sandarkan harapan ini kepada seluruh warga Keda agar berusaha lebih gigih untuk memajukan negeri ini serta dapat membantu kerajaan negeri menunaikan aku janji Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas," katanya.
   
Beliau berucap demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Keda dan majlis makan malam di sini, malam tadi.
   
Selain pemilikan rumah, Keda juga perlu memberi mengadakan program latihan dan kemahiran, kerjaya dan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin sekali gus membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.
   
Mukhriz juga berkata Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Keda perlu diberi pendekatan baharu dan bidang pertanian serta pemulihan tanah terbiar dimajukan dengan lebih komprehensif.  - Bernama