• Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
1 /

KUALA LUMPUR - Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

"Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baru dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.

Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.

Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas, selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan
sistem pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini. - Bernama