ALUNAN lagu patriotik "Demi negara yang tercinta, ku curah bakti penuh setia…" sangat memberi kesan bila menggabungkan ikon-ikon politik tanah air daripada pelbagai parti. Di antara yang melontarkan suara dalam muzik video tersebut ialah DS Mukriz, YB Hannah Yeoh, YB Nik Nazmi, YB Young Shefura, Dira Abu Zahar, Natassia Roslan (Exco Puteri Umno), Wan Ayg Wan Hassan Presiden Alumni Kelab Umno Luar Negara dan DS Rohani Karim.

Sebenarnya ini agak bercanggah dengan teori ‘Zero Sum Game’ - ‘Winner takes it all, loser lose everything' dalam politik. Teori ini membawa maksud pihak yang menang (sedang berkuasa) akan mengambil semua dan yang kalah hilang segala-galanya (tidak diberi peluang).

Dalam senario pra perubahan kuasa (PRU14), pihak yang sedang memegang kuasa dilihat menguasai segala-galanya dari segenap aspek. Kesemua rangkaian media arus perdana bagaikan tiada bertepi mempropagandakan ‘tuan mereka’ sebagai sehabis baik tanpa sedikit pun cacat cela.

Dalam masa sama pembangkang pula diberi lakaran yang buruk dan sangat negatif. Meskipun kita mengamalkan pemerintahan demokrasi mereka dilihat mengetepikan laporan seimbang. Media menjadi jentera propaganda yang terlalu memihak kepada kerajaan serta memusuhi pembangkang.

Tentu kita dapat baca dan lihat wacana dalam media cetak juga rancangan berita, dan bual di televisyen yang sangat memihak kepada kerajaan. Almaklum jentera penerbitan ini semuanya dikuasai oleh pemerintah (ketika itu). Malah mereka pernah menggunakan Akta Mesin Cetak 1984 menegur dan menggantung akhbar yang dianggap keterlaluan melaporkan skandal 1MDB. Penggubalan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang diluluskan diambang PRU14 juga adalah elemen menyekat yang menunjukkan pihak yang menang boleh lakukan apa sahaja demi survival mereka.

Selepas tampuk pemerintahan bertukar tangan, ekosistem kebebasan media kini nampak berbeza. Pasca PRU14, laporan berita didapati lebih seimbang, Kerajaan baharu nampaknya tidak berminat mengongkong media dalam melaporkan kegiatan pembangkang. Program wacana dan bual bicara lebih terbuka dengan menjemput panel-panel daripada pembangkang. Tidak berlaku akhbar ditutup operasi atau dibatalkan permit penerbitannya meskipun sebelum ini mereka terang-terangan berkempen menentangnya.

Kerajaan baharu dilihat tidak bertindak melakukan perkara yang sama (takes it all) sebagaimana diamalkan oleh kerajaan terdahulu. Mereka komited menunaikan janji untuk membentuk suatu atmosfera kebebasan media. Rakyat dan individu yang terlibat dalam bidang ini akan berfikiran kritis, bebas dan tidak lagi terkongkong. Menggalak hujah, debat pandangan bernas akan diberi ruang, kesempatan dan peluang, namun kebebasan yang terkawal dan bertanggungjawab serta beretika.

Lain-lain tindakan yang memberi kelebihan kepada ‘yang menang’ di antaranya ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya. Seperti pernah dikatakan oleh seorang pemimpin pembangkang ketika itu (kini menteri): "Hanya orang gila saja yang tidak tahu tindakan itu tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada pihak pemerintah. Lantikan-lantikan tertentu yang diwujudkan juga dapat dihidu memberi kelebihan kepada kerajaan semasa".

Pemilihan tarikh pilihan raya juga menerima kritikan hebat kerana dilihat menyulitkan rakyat keluar mengundi. Pemerintah telah mengesan corak, kecenderungan dalam kalangan pengundi muda yang dilihat condong menyokong pembangkang. Peranan badan kerajaan yang sewajarnya neutral sekali lagi dilihat menyebelahi ‘tuannya’ dalam isu-isu yang berbangkit semasa hari penamaan calon pada PRU14 tempoh hari. Beberapa calon daripada pembangkang telah dinafikan hak untuk bertanding atas ‘kesalahan’ administratif dan remeh.

Karenah birokrasi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam isu penolakan pendaftaran Parti Bersatu sebagai seteru baharu juga menjelaskan lagi fenomena ‘takes it all’ ini. Malaysia baharu tidak bererti apa-apa melainkan amalan demokrasi yang tulen  dapat dipupuk oleh pemerintah. Kembalilah kepada landasan demokrasi sebenar dan kedaulatan undang-undang. Segala tindakan harus berdasarkan niat murni demi kesejahteraan rakyat dan bukan balas dendam atau bersifat populis.

Fenomena ‘takes it all’ amat ketara dalam pilihan raya Kemboja baru-baru ini. Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen menang 114 daripada 125  kerusi Parlimen negara itu sambil disifatkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai berlakunya pencabulan demokrasi yang tulen. Berlaku apa yang disifatkan ‘flawled election’ kerana dilihat parti pemerintah ‘mengambil semua’ peluang dan kesempatan asalkan mereka dapat mengekalkan kuasa. Diharapkan sinar demokrasi yang tulen dan syumul dapat ditegakkan di negara tercinta ini.

* Penulis mempunyai latar belakang di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd