TERLEBIH dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Menteri atas pelantikan untuk memimpin Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC). Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, perubahan iklim menjadi sebahagian daripada nama satu kementerian.

Seperti yang YB Menteri sedia maklum, perubahan iklim dunia adalah masalah serius yang mendepani penduduk dunia termasuk Malaysia. Sebanyak 97% saintis di peringkat global yang terlibat dalam kajian perubahan iklim bersetuju bahawa isu besar ini berpunca daripada aktiviti manusia berdasarkan data dan maklumat yang dikumpul dari serata pelosok dunia.

Kesannya sungguh menakutkan dan sudah mencapai tahap kronik melibatkan peningkatan suhu permukaan bumi dan air laut, kecairan ais di kutub utara dan selatan, peningkatan tahap keasidan air laut, berkurangnya litupan salji di kawasan Hemisfera Utara dengan kebanyakan kawasan bersalji cair dengan lebih cepat dan terjadinya peningkatan cuaca ekstrem seperti hujan lebat yang lebih lama dan kerap serta ribut taufan yang dahsyat.

Cuaca ekstrem ini sudah kita lihat dengan ketara berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan di negara ini. Kita sudah semakin kerap dilanda angin taufan dan puting beliung, hujan lebat yang lebih tinggi intensitinya dengan ribut petir sehingga berlakunya banjir yang membawa kepada kerugian harta benda, pokok-pokok tumbang menghempap manusia yang menyebabkan kematian dan cuaca panas terik yang berlaku setiap tahun membawa ancaman strok haba yang juga telah membawa kematian dan penyakit.

YB Menteri, para saintis telah lama dan berkali-kali memberi amaran kepada para pemimpin dunia, ahli politik, agensi kerajaan dan media tentang risiko bandar-bandar didiami manusia yang terletak di kawasan pesisir pantai untuk tenggelam disebabkan peningkatan paras air laut. Kecairan ais di kedua-dua kutub dan pengembangan air laut disebabkan peningkatan suhu dikesan sebagai punca utama kepada perkara ini.

Menurut Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat, kecairan ais di kawasan kutub menjadi penyumbang dua pertiga kepada peningkatan paras air laut. Menurut Nasa lagi, semenjak tahun 2004, Greenland kehilangan secara purata 303 gigatan bongkah ais mencair yang menambahkan air di lautan setiap tahun. Di sebelah Antartika pula dianggarkan 118 gigatan ais mencair tahun demi tahun.

Lebih membimbangkan, kecairan ais ini berlaku pada kadar menaik dan ia terjadi dengan pantas.

Perlu diambil perhatian bahawa kesemua negeri di Malaysia mempunyai pesisir pantai yang sebahagiannya menghadap Selat Melaka dan yang sebahagian yang lain pula menghadap Laut China Selatan. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah hakisan pantai terus berlaku saban tahun dan fenomena air pasang besar sudah semakin kerap terjadi.

Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, pakar geologi dan meteorologi berpendapat jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya, pesisir pantai Semenanjung Malaysia terutamanya yang berada pada kawasan rendah akan ditenggelami air.

Mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 18 peratus permukaan bumi Malaysia berkemungkinan tenggelam menjelang tahun 2100 dengan pesisir pantai Kedah antara dikenal pasti sebagai tempat berisiko tinggi.

Beliau sendiri membayangkan Lembah Klang, kawasan berpenduduk padat yang tidak jauh dari pantai bakal tenggelam jika tiada projek tebatan banjir dibina.

Kesemua ini memberi petanda jelas bahawa kawasan pesisir pantai di Malaysia sedang mengalami hakisan ketara saban tahun dengan fenomena air pasang besar berlaku dengan lebih kerap, lantas terjadinya lebih banyak banjir. Hakikat yang perlu kita terima, dalam masa beberapa dekad, banyak kawasan pesisir ini akan bertukar menjadi air laut.

Persoalannya YB Menteri, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi keadaan ini?

Sememangnya banyak perkara boleh dipertimbangkan sebagai persediaan dalam mengurangkan impak kenaikan paras air laut tetapi ia memerlukan kajian mendalam daripada segi kos dan praktikaliti.

Pembinaan struktur konkrit di sepanjang pesisir boleh dijadikan sebagai benteng hakisan dan penahan ombak. Jika kesemua kawasan pesisir pantai di Malaysia dilindungi dengan infrastruktur tembok konkrit, kosnya pasti sangat tinggi sehingga mencecah bilion ringgit.

Penambakan laut juga boleh dipertimbangkan sebagai penampan dengan menggunakan batu, pasir atau tanah bagi membesarkan kawasan pesisir dan menjarakkan laut dari kawasan manusia. Cara ini juga melibatkan kos yang sangat tinggi dianggarkan bilion ringgit untuk diaplikasi di seluruh pesisir pantai di negara ini.

Penggunaan pokok bakau sebagai penampan semula jadi terhadap hakisan pantai adalah satu perkara yang tidak memerlukan kos berbilion ringgit. Pokok ini sangat unik kerana penjagaannya mudah, cepat membesar, mempunyai akar yang kuat berserta batang dan daun yang boleh menyesuaikan diri dengan keadaan air pasang dan surut.

Usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan kawasan paya bakau sedia ada di samping mula menyemai benih pokok ini di kawasan-kawasan lain untuk mewujudkan zon penampan yang baharu.

Satu perkara yang mungkin masih kurang mendapat perhatian kebanyakan PBT adalah tentang risiko penempatan di kawasan pesisir pantai. Masih kurang kesedaran dalam kalangan PBT mengenai perubahan iklim dan impaknya khususnya berkaitan kenaikan paras air laut.

Justeru, seluruh PBT perlu didedahkan tentang perkara ini dan digesa untuk merancang pembangunan yang bukan sahaja mesra alam dan mapan tetapi ia juga perlu mengambil kira risiko kawasan pesisir pantai yang bakal tenggelam dan kesannya kepada penduduk. Sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga, kawasan penempatan baru perlulah dizonkan lokasinya jauh daripada pantai.

Gerakan untuk menghadapi kesan kenaikan paras air laut perlu bermula segera. Sediakan penampan sebelum air bah melanda. Sediakan perancangan dan atur pelaksanaan sebelum musibah menimpa.

* Penganalisis Kanan, Institut Darul Ridzuan (badan pemikir kerajaan negeri Perak) - nadzri@idrperak.com