SEJARAH penglibatan wanita dalam politik dan proses pemilihan kepimpinan negara bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Pada era 50-an sekumpulan wanita menubuhkan angkatan wanita sedar (Awas).

Pada umumnya tujuan mereka ketika itu adalah untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Selepas kemerdekaan wanita terus mengorak langkah melibatkan diri dalam proses pilihan raya.

Penglibatan ini boleh dikategorikan sebagai umum seperti penyertaan sebagai pengundi, juru kempen mahupun ahli parti atau pertubuhan. Penglibatan khusus pula adalah menjadi kepimpinan organisasi politik atau NGO dan menjadi calon dalam pilihan raya.

Penglibatan secara khusus ini seterusnya melayakkan wanita untuk menganggotai badan pembuat dasar tertinggi negara dalam Dewan Parlimen dan Dewan Negara.

Walaupun sudah berjuang selama lebih 60 tahun penglibatan wanita dalam politik ini masih jauh daripada sasaran 30 peratus wanita dalam pembuat dasar tertinggi  kerana bilangan ahli parlimen wanita Malaysia hari ini baru mencapai 10.81 peratus.

Usaha perlu terus dilakukan di pelbagai peringkat untuk menyediakan wanita dan masyarakat agar penglibatan mereka dalam proses demokrasi pemilihan pemimpin peneraju negara ini dapat dioptimumkan.

Sebenarnya, wanita memiliki keperluan khusus yang hanya dapat difahami dengan baik oleh perempuan itu sendiri. Maka, penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan politik dapat mencegah daripada berlakunya diskriminasi terhadap wanita.

Parti politik disaran menampilkan lebih ramai calon wanita pada PRU14 jnj dalam usaha mencapai sasaran 30 peratus ahli parlimen wanita di negara ini. Ketika ini hanya 10.81 peratus atau 24 daripada 222 ahli Dewan Rakyat adalah wanita, manakala di Dewan Negara, hanya 22 peratus.

Tahukah kita, sebenarnya, bukan saja Malaysia yang ingin mencapai 30 peratus wanita di Parlimen dan pembabitan dalam politik tidak hanya menjadi agenda di Malaysia, malah turut dilaksanakan di negara Komanwel.

Mungkin saja, kepimpinan negara untuk sesi PRU14 akan datang, Malaysia dipimpin oleh wanita sebagaimana Singapura? Paling tidak, timbalan perdana menterinya wanita serta jemaah Kabinetnya tidaklah sedikit dalam kalangan wanita sebagaimana barisan Kabinet yang ada kini.

Di India, Indira Gandhi Perdana Menteri wanita pertama negara itu berjaya membawa banyak membawa perubahan, salah satunya adalah memerangi kelaparan di India. Menariknya, semasa pemerintahan beliau, India juga mula mengembangkan teknologi nuklear.

Pada masa kepimpinannya, Indira Gandhi berjaya membawa perubahan besar dalam program pertanian sehingga mampu menurunkan angka kemiskinan negaranya.

Wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam ialah Benazir Bhutto, pada masa pasca-kolonial. Beliau yang karismatik terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1988 dan pernah dipaksa turun dari jabatannya sebanyak dua kali.

Di samping penolakan-penolakan yang terjadi, Benazhir Bhutto berjaya mencatat sejarah sebagai pemimpin wanita Muslim yang sangat berpengaruh!

Apa yang menariknya, dalam kempen pilihan raya, beliau menyuarakan keprihatinan mengenai masalah-masalah sosial kaum wanita, masalah kesihatan dan diskriminasi terhadap wanita. Selain itu, beliau mengumumkan rancangan untuk membentuk pejabat polis wanita, kehakiman, dan bank-bank pembangunan khusus untuk wanita.

Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang boleh kita hamparkan, akan tetapi dengan dua kisah ini, tentunya negara ini wajar memberi ruang dan peluang khusus untuk wanita memimpin dan menyerlah ke hadapan.

Ya, sejak 1955 sehingga kini, bilangan wanita di Parlimen terdapat peningkatannya. Jika pada tahun 1955, hanya seorang yang dipilih ke Parlimen, dan hari ini kita dapat lihat ada 23 orang iaitu dalam lingkungan 10.4 peratus. Hari ini, ada tiga menteri dan lima timbalan menteri wanita. Di Dewan Negara, 28.8 peratus adalah senator wanita.

Di rantau Asean, Malaysia berada pada kedudukan yang terkebelakang dengan peratusan 10.4 ini. Di Filipina contohnya, 27.3 peratus di Parlimen adalah wanita; Singapura (25.3 peratus), Laos (25 peratus); Vietnam (24.3 peratus); Cambodia (20.3 peratus); Indonesia (16.8 peratus). Kedudukan Malaysia hanya mengatasi Thailand (6.1 peratus) dan Myanmar (5.6 peratus).

Manakala di peringkat seantero, Rwanda mempunyai 63.8 peratus wanita di Parlimen diikuti dengan Andorra (50 peratus); Cuba (48.9 peratus); Sweden (40.8 peratus); dan Afrika Selatan (43 peratus).

Sungguh kita dapat lihat hari ini, telah ada wanita yang rasional, bijak, berkemampuan, berintegriti dan bersedia untuk mengemudi kepimpinan, baik di peringkat tempatan mahupun nasional.

Akan tetapi kita perlulah berusaha untuk memberi pendedahan yang mudah tentang politik, agar masyarakat negara ini terbuka mindanya dalam membuat pilihan ketika pilihan raya nanti dalam membantu proses pembangunan negara.

* Penulis aialah Timbalan Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan negeri Kelantan