DALAM situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.

Sejarah membuktikan wanita diletakkan di suatu tempat yang dimuliakan. Tentunya tidak terkecuali dalam hal politik yang menyentuh berkaitan hal ehwal kepimpinan. Namun sejauh mana negara kita ini akur dengan kenyataan itu?

Kita semua sedia maklum, himpunan Bantah Politik Toksik adalah satu inisiatif yang tentunya walau tidak sedikit, tetapi bergunung (insya-ALLAH) memberi impak positif terhadap perubahan negara. Tuntutan Himpunan Bantah Politik Toksik jelas sekali menyuarakan tentang:

1) Wanita Malaysia, menyuarakan bantahan kami terhadap politik toksik yang semakin berleluasa kini.

2) Wanita Malaysia, membantah perlakuan yang berunsur keganasan, perbuatan ancaman terhadap individu, sikap berunsur rasis dan seksis.

3) Wanita Malaysia, dengan sebulat suara, menolak calon dari mana-mana parti yang mengamalkan keganasan dan politik toksik.

Memang benar, sejarah negara ini, belum ada perdana menteri dalam kalangan wanita. Namun, cukup sadis dalam banyak-banyak pemimpin penting dalam kerajaan, hanya terdapat tiga sahaja wanita dalam Kabinet, iaitu  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Hajah Rohani Haji Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sangat jelas tiada keseimbangan dalam pembentukan Kabinet negara. Sudah kurangkah wanita yang boleh diangkat dan diberi pengiktirafan dalam barisan wakil rakyat di Malaysia ke barisan Kabinet jemaah menteri? Sedangkan di peringkat pengajian tinggi, wanitalah yang menerajui. Hal ini perlu difikirkan wanita bahkan kita semua.

Mungkin sebahagian orang beranggapan, tiada masalah, tidak kisah. Akan tetapi dalam menuju Malaysia negara rahmah (kasih sayang) sewajarnya di peringkat tertinggi dalam Kabinet perlu ada lebih ramai wanita daripada yang ada kini.

Perkara 8 Perlembagaan menyatakan dengan jelas tidak ada perbezaan gender. Ada yang mempersoalkan sama ada ini akan membawa kepada penyertaan yang saksama dalam bidang politik.

Sejak 1955 sehingga kini, bilangan wanita di Parlimen terdapat peningkatannya. Jika pada tahun 1955, hanya seorang yang dipilih ke Parlimen, dan hari ini kita dapat lihat ada 23 orang iaitu dalam lingkungan 10.4%. Hari ini, ada tiga menteri dan lima timbalan menteri wanita. Di Dewan Negara, 28.8% adalah senator wanita.

Di rantau Asean, Malaysia berada pada kedudukan yang terkebelakang dengan peratusan 10.4 ini. Di Filipina contohnya, 27.3% di Parlimen adalah wanita; Singapura (25.3%), Laos (25%); Vietnam (24.3%); Cambodia (20.3%); Indonesia (16.8%). Kedudukan Malaysia hanya mengatasi Thailand (6.1%) dan Myanmar (5.6%).

Manakala di peringkat seantero, Rwanda mempunyai 63.8% wanita di Parlimen diikuti dengan Andorra (50%); Cuba (48.9%); Sweden (40.8%); dan Afrika Selatan (43%).

Wanita memang mempunyai peranan yang lebih besar dalam keluarga. Akan tetapi wanita juga mampu berperanan penting dalam landskap politik untuk perubahan dunia.

Sebagaimana wanita telah memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya seperti Khadijah Sidek dan Rahimah Abdul Rahman serta isteri dan anak perempuan pemimpin lainnya. Namun, tidak ada wanita yang turut serta dalam proses rundingan kemerdekaan sehinggalah pemilihan Halimahton Abdul Majid, calon Ulu Selangor dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 dan seterusnya Tan Sri Aishah Ghani menjadi Senator pertama pada 1962, manakala anggota Kabinet pertama wanita ialah Tun Fatimah Hashim pada tahun 1969.

Di India, Indira Gandhi perdana menteri wanita pertama negara itu berjaya membawa perdamaian. Walaupun kontroversial kepemimpinan Indira Gandhi banyak membawa perubahan, salah satunya adalah memerangi kelaparan di India.

Wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam ialah Benazir Bhutto, pada masa pascakolonial. Beliau yang karismatik terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada 1988 dan pernah dipaksa turun daripada jabatannya sebanyak dua kali. Di samping penolakan-penolakan yang terjadi, Benazhir Bhutto berjaya mencatat sejarah sebagai pemimpin wanita Muslim yang sangat berpengaruh!

Jelas sekali, mengabaikan kewibawaan wanita adalah kerugian besar kepada negara. Wanita mestilah dianggap sebagai aset penting dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AGAKNYA berapa jumlah graduan Pengajian Islam (PI) dari universiti di seluruh dunia, pemegang ijazah dalam pelbagai peringkat dalam bidang Usuluddin, Syariah atau lain-lain disiplin Pengajian Islam?
  • HUBUNGAN manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.
  • PERTUBUHAN kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.
  • TAHUN 1989 menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin dan faham komunis yang dilambangkannya. Ini disusuli dengan kemunculan satu orde dunia baharu yang disebut sebagai market-place society atau masyarakat pepasar.
  • DALAM tahun 2013, bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Zaman Khan pernah menyatakan kegusarannya kepada pihak media bahawa rasuah terbesar negara adalah melibatkan kebanjiran pendatang asing yang masuk ke Malaysia secara haram.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.