KEPUTUSAN PRU14 memberi satu paksi pemerintahan yang baharu apabila berlaku perubahan kuasa kepada Pakatan Harapan. Kini, sebagai kerajaan baharu pelbagai janji dalam manifesto perlu dilaksanakan dalam masa 100 hari seperti telah diumumkan.

Salah satu manifesto penting yang perlu dilaksanakan segera ialah janji untuk melantik sekurang-kurangnya 30% wanita dalam membuat keputusan tertinggi iaitu sebagai menteri Kabinet.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Kebang-saan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) yang mewakili lebih dari 200 NGO wanita telah mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan menunaikan janji mereka untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30% pemimpin wanita di semua peringkat.

Joint Action Group (JAG) satu lagi gabungan NGO wanita kemudiannya mengeluarkan kenyataan dan memorandum yang telah ditandatangani lebih dari 6,000 rakyat Malaysia yang menuntut janji kerajaan untuk meletakkan lebih 30% wakil rakyat wanita yang berjaya memenangi kerusi sebagai menteri Kabinet.

JAG dan wakil NCWO kemudiannya mengadakan demonstrasi aman pada 21 Mei lepas bagi memastikan kerajaan mendengar peringatan dan tuntutan mereka di hadapan Istana Negara sebagai simbolik tempat pelantikan menteri yang diadakan di sebelah petang.

Namun, dari 15 kementerian yang kerajaan umum, hanya tiga wanita  dilantik  sebagai  menteri iaitu YAB Datuk Seri Wan Azizah (Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga), YB Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan YB  Zuraida Kamarud-din (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempa-tan).

Ini adalah tidak selari dengan janji sebelum memenangi PRU14. Kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz pada 24 Mei menyatakan merit lebih penting dari gender secara tidak langsung menidakkan keperluan memenuhi janji tersebut.

Oleh kerana itu, JAG telah mengadakan forum mengenai kepentingan sekurang-kurangnya 30% menteri dan kepimpinan wanita. Forum tersebut telah menyangkal tentang kenyataan merit lebih penting dari gender kerana piawaian merit yang disebut adalah berteraskan perspektif maskulin dan tidak mengambil kira fakta yang menunjukkan wanita telah lama didiskriminasikan dalam semua aspek terutamanya kepimpinan.

Tan Sri Rafidah kemudiannya menyatakan kenyataannya telah disalah tafsir dan bersetuju bahawa ahli Parlimen wanita yang telah menang PRU14 perlu diberi tempat lebih dari 30% memandangkan 21 ahli Parlimen wanita Pakatan Harapan mempunyai merit yang diperlukan sebagai menteri.

Sekiranya diteliti latar belakang 21 ahli Parlimen wanita Pakatan Harapan, semua mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya ijazah muda serta berpengalaman dalam aktiviti berkaitan politik dan kemasyarakatan.

Seperti yang telah disebutkan dalam kenyataan JAG, ahli Parlimen wanita seperti YB Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), YB Fuziah Salleh (Kuantan), YB Hannah Yeoh (Segambut), YB Kasthurirani Patto (Batu Kawan) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) mempunyai latar belakang pendidikan dan kepimpinan kemasyarakatan yang tinggi.

Contohnya YB Fuziah Salleh merupakan wakil rakyat bagi penggal yang kedua dan mempunyai ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari University of Wales manakala YB Hannah Yeoh merupakan wakil rakyat serta speaker undangan negeri Selangor serta mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dari Universiti of Tasminia.

Ternyata semua wanita ini mempunyai merit dari segi pendidikan dan ketokohan menjadi pemimpin. Namun, ada juga masih berpendapat mereka lebih sesuai menjadi timbalan menteri. Ini adalah pandangan terkebelakang dan mundur kerana pendapat seperti ini seolah-olah masih berpaksikan merit mengikut piawaian lelaki yang telah ditolak oleh masyarakat di negara-negara maju seperti Sweden, Kanada, Finland, New Zealand dan Nether-land.

Sweden, Kanada dan Netherland mencatatkan peratusan 50% ke atas menteri wanita, manakala, Finland dan New Zealand mencatatkan peratusan 30% ke atas. Sekiranya kita mahu mempelajari syistem pendidikan di Finland seperti yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan baharu, adalah lebih baik untuk juga mencontohi jumlah wanita yang dalam jawatan tertinggi di negara tersebut.

Saranan untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30% ini bukanlah satu dasar yang berat sebelah tetapi merupakan dasar afirmatif yang mendukung konsep kesaksamaan substantif berbanding dengan konsep kesaksamaan formal. Konsep ini perlu diketengahkan bagi golongan yang mempunyai bukti latar belakang yang telah dipinggirkan dalam sesuatu aspek kehidupan seperti wanita di Malaysia dalam bidang kepimpinan.

Disebabkan mendukung konsep kesaksamaan substantif inilah yang menyebabkan wanita di negara-negara maju berjaya dilantik sebagai pemimpin tertinggi negara.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kuala Lumpur