BERIKUTAN agenda  transformasi dan inovasi ke arah menjadikan wawasan satu realiti, pelbagai jenis perbincangan dan perjumpaan telah dan perlu dilakukan.

Persidangan, bengkel, mesyuarat ahli pemikir dijalankan dan agenda perbincangan tidak pernah terhenti dan berterusan.

Akan ada pertambahan ‘teori’ baharu dalam setiap kali ‘road show’ yang terpaksa diserap dan dihadamkan di setiap ‘latihan perkembangan staf’ yang dijalankan. Yang sebelumnya belum dikhatamkan, yang baharu diminta dihadam.

Banyak organisasi memanggil dan memilih ahli pasukan ‘pakar’ masing-masing untuk membantu mereka dalam mendapatkan objektif dan keputusan dikehendaki.

Kebanyakan organisasi dilihat terperangkap dalam memastikan mereka mempunyai pakar yang sebenar dalam sesi pertemuan untuk mencapai kata sepakat dalam program atau projek mereka.

Kebanyakan hasil tidak menunjukkan kemajuan, sekadar mencapai persetujuan sahaja. Apa yang mereka tidak faham dan ‘mahu memahami’ adalah, bahawa apa yang mereka lakukan telah dilakukan secara berulang kali sebelum ini.

Sesebuah organisasi juga akan asyik dan tetap dengan membawa dan memanggil orang sama dan ‘tertentu’ dalam sebarang pertemuan mahupun perbincangan.

‘Orang sama dan tertentu’ yang menganggap diri mereka ‘pakar’ merupakan mereka yang dilantik oleh ‘mereka’ juga.

Mereka yang sebenarnya ‘ahli’ dalam bidang yang dihasratkan, bersedia, sudi dan boleh membawa bersama idea baharu dan pemikiran berbeza tidak akan diberi peluang untuk mencurahkan apa yang patut dikongsikan.

Pakar yang profesional akan meninggalkan gelaran, kedudukan, jawatan, dan kepakaran seketika dan akan sudi mendengar, bersedia membuka minda, dan menerima pendapat orang lain.

Tetapi keadaan menjadi sebaliknya terutama ‘pakar’ yang mengaku, megah dan menganggap  diri sendiri seorang pakar. Namun tidak kurang juga dan kemungkinan besar, ada yang lebih suka untuk menjadi ‘orang biasa’ sahaja.

Untuk golongan wasatiyyah, mereka lebih suka bersama dengan kumpulan yang mahu mempelajari, sedia mempelajari dan mencuba sesuatu yang baharu.

Rasa ingin tahu adalah perkataan yang sebaiknya. Seseorang jujur, telus, ikhlas dan baik akan mengakui apa yang mereka tidak tahu dan apa lagi yang perlu dipelajari.

Adalah membahagiakan jika dapat kita melihat ‘seorang pakar’ atau ‘seorang serba tahu’ mempunyai pendekatan yang lebih berfikiran terbuka. Konsep keterbukaan dan membuang prasangka tentu tidak disenangi sesetengah pihak, terutama berurusan dengan topik seperti pendidikan dan pentadbiran, khususnya.

Ini adalah berdasarkan bahawa mereka yang berada dalam bidang ini, adalah ‘pakar’ dalam bidang masing-masing. Benarkah ini?

Tentu menyeronokkan, menyenangkan dan membahagiakan, jika pandangan mahupun pendapat yang diutarakan dapat diterjemahkan dalam keadaan yang menggembirakan dan dipersetujui secara bersama.

Daripada hanya terlalu percaya kepada ‘pakar’, menghargai dan menerima pemikiran dan pandangan baharu adalah lebih berkesan. Memang ia sukar untuk diterima, namun ia memerlukan satu bentuk didikan yang perlu dilaksanakan.

Memang tidak munasabah. Tetapi, ia adalah apa yang patut kita buat dengan mengingati matlamat akhir untuk memahami pemikiran baharu.

Mengaku diri sendiri sebagai ‘orang biasa’ tidak akan memadam kemahiran, pengetahuan mahu pun kebolehan seseorang, sebaliknya ia membuka peluang pembangunan diri dalam bidang-bidang tertentu.

Ia membolehkan seseorang untuk mendengar, membuat pertanyaan dan menambah minat serta kesungguhan. Ia membenarkan kita untuk melihat apa yang dapat difikirkan, dan bukannya apa yang tidak.

Sekarang tanya diri anda, adakah anda benar seorang pakar? Adakah anda bersedia untuk mengetepikan ‘gelaran’ itu? Bersediakah anda untuk lebih bersikap terbuka kepada pemikiran baharu? Bagai-manakah anda boleh mengurus ‘pakar’ di tempat kerja anda?

Untuk dianggap sebagai seorang pakar, seseorang itu bukan sahaja hendaklah berpengetahuan, berkemahiran dan kompeten dalam bidang mereka, namun, hendaklah diterima oleh rakan sekerja anda.

* Penulis seorang pendidik di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai