UEC bukan soal bahasa Melayu dan kedudukan bahasa Kebangsaan Malaysia. Apa-apa ‘dasar holistik’ dan komprehensif mengenai sistem sekolah mesti menolak pengasingan (segregation) warganegara pada mana-mana peringkat pendidikan. Kini dan selama hampir 61 tahun, sistem pendidikan sekolah di Malaysia tidak pernah komprehensif dan holistik seperti yang YB menteri sebutkan.

Lebih elok Kementerian fikirkan dan merancang satu sistem persekolahan Malaysia di mana semua warga diajar dan dididik satu bahasa, satu identiti, satu pandangan alam negara bangsa dari tahun satu ke atas - tidak ada sekolah Cina, tidak ada sekolah Tamil dan tidak ada sekolah tahfiz, dan lain-lain sistem pengajaran.

Jika kita masih ada UEC, sekolah Cina, dan sekolah Tamil serta sekolah tahfiz, dan sekolah kebangsaan, maka kita merangka, dan mengekalkan tiga bangsa dan tiga negara dengan kepatuhan kepada tiga jenis institusi negara yang berbeza. Dalam keadaan itu, kita menjadi penyebab kepada alienation warga negara Malaysia. Ini telah dibuktikan dalam orientasi sekolah Cina persendirian dengan UEC nya.

Proses sinicization (pencinaan) sedang berlaku sekian lama dalam sistem pendidikan, avatar sejarah dan budaya di Malaysia. Dengan itu kita kembali kepada isu ini yang membatasi bahasa.

Kewujudan UEC sedang menghasilkan sekumpulan kaum Cina yang bercakap Mandarin, berkiblat kepada budaya dan sejarah Taiwan/China, mematuhi institusi budaya tersebut, tidak faham dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris, menolak nilai dan arus perdana nasional, mengasingkan diri dari budaya dan etos nasional, tidak ada kepatuhan kepada grundnorm (peraturan-peraturan dasar) negara bangsa Malaysia.

Satu sistem pendidikan akan dapat mengelakkan ekstremisme perkauman dalam kalangan kita. Negara akan berpecah-belah kerana tunjang pemikiran dan sentimen, serta sejarah tidak berpadu. Apakah wajar kaum minoriti mentakrif negara untuk kaum majoriti?

Manifesto bukanlah kudus dan wajib dilaksanakan. Ia hanya satu penampilan sesebuah parti untuk menang pilihan raya, diungkapkan secara tergesa-gesa. Walhal, manifesto Komunis Karl Marx pun tidak terlaksana.

Kita lihat suasana pasca Mei 9 telah dianggap kemenangan untuk Malaysia baharu – dan dengan itu apa yang tradisi dan wujud dalam paradigma ‘lama’ dan ‘lapuk’ mesti disingkirkan dan dihapuskan. Kata mereka yang menang, Bumipiu-traisme telah berakhir.

Kini ialah era pelbagai budaya – hujah-hujah yang berdasarkan kepada etnisisi dan identiti sudah lapuk. Multiculturalism dilaungkan sebagai falsafah dan avatar baharu Malaysia. Tetapi ini semua falsafah dan avatar palsu.

Multiculturalisme Malaysia baharu ini masih menyingkir dan mengetepikan sesuatu identiti dan etnisiti. Lihat saja keadaan sejarah dan warisan Pulau Pinang. Apakah Georgetown itu tidak menyingkirkan Tanjong.?

Memetik sebuah komen daripada pengguna Facebook, “Dan di Pulau Pinang, alienisasi kaum Cina tampak ketara dengan adanya SJKC setiap 200m... Mandarin sebagai bahasa utama termasuk penggunaannya secara berleluasa dalam tampuk pemerintahan negeri... Maka amat mustahil untuk membentuk satu identiti bangsa Malaysia jika jurangnya terus diberi ruang yang luas untuk dibesarkan...”

Sistem persekolahan Cina persendirian telah menyingkirkan falsafah dan dasar pendidikan kebangsaan, telah menolak sistem sekolah kebangsaan. Menteri Pendidikan mesti melihat ini dengan sewajarnya.  

Kenapa harus mereka – elemen anti-nasional ini diterima dalam landskap sistem pendidikan negara? Mereka telah melanggar grundnorm – peraturan-peraturan dasar sebagai warga negara Malaysia. Malah, mereka tidak layak menjadi warga negara Malaysia.

* Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPris), Universiti Sains Malaysia