HANGAT jadinya kempen pemilihan PKR dengan siri “Debat Reformasi 20 Tahun” anjuran Team Rafizi Ramli yang baru berlangsung di Johor pada 10 Ogos, Negeri Sembilan pada 11 Ogos dan Melaka pada 12 Ogos di mana siri debat ini disiarkan melalui media sosial.

Paling hangat ialah bila ada pemimpin dari Team Rafizi yang berucap menyatakan sokongan kepada Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR atas asas bahawa hanya Rafizi yang mampu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjadi Perdana Menteri.

Kata mereka, jika Datuk Seri Azmin Ali kekal sebagai Timbalan Presiden PKR, maka peluang Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri akan tersekat kerana kononnya beliau bersekongkol dengan pihak tertentu yang merancang untuk menghalang ia berlaku.

Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, menyebut di Johor pada 10 Ogos Datuk Seri Azmin “didokong oleh Tun Daim dan Tun Mahathir yang sudah tentu tidak mengizinkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri”.

Bahawa perancangan menyekat Datuk Seri Anwar ini wujud boleh dilihat dalam kenyataan Datuk Abdullah Sani berbunyi: “Tetapi kita nak ingatkan kepada Tun Mahathir dan Tun Daim, perancangan kamu itu perancangan kamu, perancangan Allah lagi maha besar.”

Begitu juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad, yang mendakwa di Melaka bahawa “tengok bagaimana Tun Mahathir, Daim, menggunakan pemimpin-pemimpin kita di PKR jadi puppet mereka, nak menjatuhkan nak melemahkan PKR”.

Sesungguhnya cubaan menyeret nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin ke dalam pemilihan PKR dan mengaitkannya dengan nama Datuk Seri Anwar adalah sangat tidak bijak dan boleh membawa mala petaka kepada Pakatan Harapan selaku Kerajaan Pusat.

Sudah pastilah dakwaan yang dibuat oleh pemimpin PKR ini menggambarkan seolah-olah memang wujud permusuhan antara Tun Dr Mahathir dan Tun Daim dengan Datuk Seri Anwar sepertimana yang diheboh-hebohkan oleh musuh Pakatan Harapan di luar sana.

Sedangkan dalam keadaan Pakatan Harapan baru sahaja menghampiri tempoh 100 hari pemerintahannya, imej perpaduan sangatlah penting diutamakan bagi membolehkan tumpuan penuh diberikan kepada usaha memulih dan membangunkan negara yang rosak.

Rakyat sudah muak dengan politiking berlebihan yang berlaku dalam negara, dan selaras dengan motto “Bina Semula Negara” maka amatlah wajar pemimpin PKR yang sedang merebut tampuk kepimpinan parti mereka bersaing secara sihat tanpa menjejaskan fokus kerajaan.

Tataetika Pemilihan PKR 2018 sendiri menyebut jelas “apa-apa kenyataan, ucapan atau bahan kempen semasa pemilihan parti hendaklah berasaskan rekod kerja calon, pencapaiannya dan perancangannya untuk parti. Ucapan keji, fitnah, caci dan menghina adalah dilarang sama sekali”.

Oleh itu, pemimpin tertinggi PKR wajiblah sentiasa mengingatkan semua calon yang bertanding supaya berkempen secara matang dengan hanya menonjolkan rekod kerja mereka, pencapaian mereka dan perancangan mereka untuk parti, bukannya menyerang calon lawan mereka.

Lebih penting lagi, Jawatankuasa Pemilihan Parti dan Lembaga Disiplin Parti perlulah mengambil tindakan tegas dalam kadar segera ke atas mana-mana calon yang didapati melanggar Tataetika Pemilihan PKR 2018 khususnya yang didapati menyerang calon lawan mereka.

Apatah lagi bila serangan yang dibuat oleh calon-calon yang bertanding itu bukanlah hanya sekadar kepada calon lawan mereka tetapi kepada mana-mana pemimpin komponen Pakatan Harapan sepertimana serangan yang dibuat kepada Tun Dr Mahathir dan Tun Daim ini.

Bagi menenangkan keadaan dan mengelakkan hubungan baik antara PKR dan PPBM tidak terjejas teruk, sangatlah perlu Datuk Abdullah Sani dan Dr Idris menarik balik dakwaan mereka dan meminta maaf kepada Tun Dr Mahathir dan Tun Daim atas keterlanjuran mereka.

Apa lagi bila mereka yang mendakwa Tun Dr Mahathir dan Tun Daim merancang untuk menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar ini tidak mempunyai sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan mereka selain hanya beberapa kenyataan spontan dan tidak jelas.

Soal penggantian Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar adalah satu perkara yang telah dipersetujui oleh semua parti komponen Pakatan Harapan sekali gus menjadikan tiada siapa, termasuk Tun Dr Mahathir dan Tun Daim, yang mampu untuk mengubah konsensus ini.

Tidaklah wajar memainkan sentimen menyerang pihak luar bagi menjamin kemenangan dalam pemilihan parti dan kalaupun ia berhasil maka kemenangan ini bukanlah kemenangan yang bermaruah tetapi kemenangan yang boleh menjahanamkan kemenangan dalam pilihan raya umum.

*Prof Madya Dr Rusdi Omar merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM dan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM COLGIS.