MUTAKHIR ini, kita sering disajikan dengan pelbagai isu, masalah, tidak kurang juga gosip panas yang timbul di sekitar skrin televisyen, telefon pintar dan komputer riba, yang kalau mengikut bahasa kontemporarinya ialah alat yang menjadi medium ketiga penghubung antara kita dan dunia netizen bagi mendapatkan maklumat terkini dan pantas.

Jika dikatakan segala maklumat di hujung jari atau semudah ABC pada arus peredaran zaman sekarang, amatlah dipersetujui oleh mana-mana kelompok manusia pun dan hal ini juga menjadikan ahli-ahli netizen suatu berita atau maklumat yang diterima dari laman sosial menerusi medium WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter iaitu alat perantaraan rujukan untuk menyebarkan maklumat tersebut.

Namun netizen sekalian, sedarkah anda bahawa penyebaran maklumat atau berita tersebut benar-benar sahih dari sumber yang kita terima atau sebenarnya ia palsu dan tidak benar belaka?

Kita dapat menyaksikan bahawa netizen sekarang terlalu taasub dan cenderung kepada penggunaan gajet yang sedia ada untuk mengakses laman sosial, yang sememangnya belum diketahui kesahihan serta terlalu mudah untuk mempercayai tanpa melakukan kajian, selidik serta usul periksa terlebih dahulu sebelum menyebarkan kepada orang lain.

Ini telah menjadikan berita itu mudah diterima dan meresap dalam dunia netizen. Suatu hakikat yang tidak boleh disangkal apabila berita-berita yang meragukan ini telah bebas berterbangan menelusuri alam maya dan diakses dalam jiwa serta pemikiran masyarakat secara langsung.

Perkara ini dibuktikan lagi dengan penafian oleh pihak polis tentang kejadian di Semporna, Sabah baru-baru ini yang disebar melalui aplikasi WhatsApp iaitu seorang warga emas ditikam dan dirompak akibat mengambil wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Polemik netizen sekarang ialah mereka tidak lagi mengamalkan unsur tabayyun iaitu suatu kaedah yang paling mudah diajarkan oleh Islam melalui kalam ALLAH SWT, al-Quran Karim iaitu:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika ada seorang yang fasiq datang kepada kalian membawa suatu berita penting, maka tabayyunlah (telitilah dahulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya kepada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perbuatan kalian” (Surah Al Hujurat, ayat 6).  

Ini menggambarkan bahawa netizen sentiasa dengan lagak berani dan lantang bersuara di alam maya sehingga wujud juga istilah keyboard warrior yang jelas ditujukan khas untuk mereka yang suka mengecam sesuatu perkara agar menjadi popular dengan cepat iaitu dengan menjual dan menyebar gosip-gosip atau cerita tanpa sebarang usul periksa.

Konsep Tabayyun sebenarnya adalah sesuatu yang bukanlah sukar malah ia menjurus kepada membantu para netizen untuk menentukan sesuatu khabar itu sahih atau tidak melalui sumber yang boleh dipercayai dan tepat.

Jika dibawa tentang isu hukum-hakam agama yang berkait rapat dengan umat Islam, kita perlulah lebih bersikap matang dan sentiasa merujuk pandangan pakar-pakar agama kerana tidak semua sumber di laman sosial sekarang boleh dipercayai.

Apabila berkait tentang soal agama, lebih baik sekiranya kita guna pakai kata-kata daripada pakar agama yang mahir dan berkelayakan untuk mengulas tentang perkara itu. Hal ini adalah bagi mengelakkan kita dari terjebak dengan anasir-anasir salah dan sesat di laman sosial yang boleh merosakkan kefahaman kita tentang perkara tersebut.

Diharapkan agar perkongsian ini lebih menjurus kepada membuka mata para netizen agar lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya menerima dan menyebarkan sebarang berita tanpa selidik dan usul periksa.  

 

 

* Penulis mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia