SAYA membaca dan menilai artikel yang ditulis oleh Norizan Sharif dari kaca mata saya sebagai seorang Islam, sebagai insan yang memperakui akan keesaan ILLAHI, berpegang teguh kepada aqidah agama dan berusaha sebaik mungkin untuk patuh kepada segala suruhanNYA dan menjauhi segala laranganNYA.

Maka dari perspektif tersebut, kewarasan berpolitik seperti juga kewarasan di dalam aspek-aspek lain yang merangkumi kehidupan kita perlulah bertitik-tolak dan bersandarkan kepada aqidah serta hukum hakam agama kita.

Jika kita bergerak di atas asas dan kerangka tersebut, maka kiranya tidak akan timbul banyak perbezaan atau pertelingkahan di antara kita.

Satu kerangka perjuangkan antara lainnya menuntut kita untuk mempertahankan yang maaruf atau yang hak dan menentang yang mungkar atau yang batil.

Tidak sukar untuk kita semua bersepakat dan bersetuju dalam soal kerangka dan prinsip.

Oleh itu agak mudah untuk kita sama-sama memperakui bahawa pecah amanah, menipu, merompak, mencuri dan sebenarnya adalah sesuatu yang salah, jenayah yang mana penyangaknya perlu dihukum dgn hukuman setimpal dan sewajarnya.

Walaupun kita boleh faham dan menerima hakikat bahawa akan wujud perbezaan cara, kaedah dan pendekatan dalam menghasilkan wawasan politik masing-masing, namun dalam hal prinsip, ianya adalah sesuatu sukar untuk dirunding atau kita bertolak ansur.

Kemelut politik sering timbul di antara kita kerana kita berbeza dalam membina dasar perjuangan dan memilih kaedah atau pendekatan untuk mencapai matlamat perjuangan masing-masing.

Apatah lagi apabila ketara sekali perbezaan di antara lambang perjuangan diwar-warkan dengan apa yang dihasilkan di mana apa dilafazkan tidak serupa dgn apa dilakukan, apa  dicakapkan tidak sama dgn apa yang dibikin.

Di dalam konteks politik tanah air kita, hakikat dan realitinya ialah terdapat pihak-pihak yang berkenaan yang:-

i) Mengasaskan perjuangan mereka bersandarkan kepada matlamat yang tidak sejajar dengan tuntutan syarie seperti perjuangan berteraskan nasionalisme, kebangsaan, kepuakan dan sebagainya.

ii) Menghalalkan cara untuk tujuan yg halal.

iii) Bila berkuasa, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah atau melakukan perkara yang mungkar.

iv) Gagal menegak keadilan secara telus dan saksama dengan bertindak secara rakus kepada pihak lawan tetapi melindungi pihak sendiri.

iv) Menipu, berdolak dalik dan mengabui rakyat dengan berbagai cara untuk menutupi kesalahan sendiri.

v) Melakukan apa saja termasuk yang salah atau haram untuk terus kekal berkuasa sebagai pemerintah.  By hook or crook, so to speak!

Dalam keadaan sedemikian, maka persoalan yang perlu dijawab adalah bagaimanakah mengelak pertelagahan di antara pihak-pihak berkenaan.

Bagaimana hendak mencari penyelesaian kepada pertelagahan dan bagaimana hendak mencari kewajaran atau titik-titik pertemuan dalam berpolitik?

Gesaan penulis kepada pihak-pihak yang bertelagah untuk mencari kewarasan berpolitik adalah tepat dan wajar sekali.

Kiranya jalan yang terbaik ialah semua pihak menyusun kembali wadah perjuangan masing-masing mengikut kerangka yang dituntut agama atau yang selaras dengan nilai murni sejagat.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kembalikan kewarasan politik kita ]

Jika itu dikira tidak realistik, sesuatu yang tidak mungkin tercapai atau terjadi, maka apakah "kewarasan" yang dimaksudkan itu memerlukan kompromi di antara pihak yang terlibat dalam hal prinsip wadah perjuangan masing-masing?

Khususnya ke atas pihak-pihak yang merasakan mereka telah berjuang dgn getirnya untuk menegakkan kebenaran dan memerangi kemungkaran!

Tidak mungkin, tidak mungkin!

Oleh yang demikian, "kewarasan" yang disebut oleh penulis bolehlah ditafsirkan sebagai satu gesaan untuk mewujudkan satu keadaan atau suasana politik tertib dan berprinsip.

Di mana pihak-pihak berkenaan dapat melangsungkan wadah perjuangan masing-masing mengikut amalan demokrasi yang mantap.

Yang menetapi nas-nas agama serta sejajar dengan keluhuran undang-undang (rule of law). Dengan pihak-pihak yang terlibat menghormati satu sama lain walaupun wujud perbezaan cara dan kaedah berpolitik di antara mereka.

Kita tahu dan akui bahawa perpaduan, penyatuan dan solidariti di antara pihak-pihak yang bertelagah adalah sesuatu yang kita harapkan khususnya di antara pihak-pihak yang seagama dan sebangsa.

Tetapi hakikatnya semua itu tidak akan membawa apa-apa erti kpd agama, negara dan rakyat jika kemungkaran, skandal dan masalah-masalah yang melanda negara terus berlaku dan berterusan tanpa penyelesaian.

Maka dalam keadaan sedemikian, kewajaran dan kewarasan menuntut agar perjuangan perlu dibiar dan diteruskan dengan penuh berani dan gigihnya.

Sedangkan kita semua tahu dalam hal rumah tangga dan perkahwinan di antara suami dan isteri sekalipun, Tuhan mengizinkan dan membenarkan perceraian di antara mereka dalam keadaan-keadaan tertentu bila mana dan masa masalah atau perbezaan di antara mereka tidak dapat diselesaikan atau diatasi lagi dengan secara baik atau melalui perdamaian.

Untuk membolehkan kedua-dua pihak mencari hala tuju hidup masing-masing mengikut apa yang mereka fikirkan terbaik untuk diri masing-masing.

Apatah lagi dalam hubungan antara pihak yang berpolitik untuk menegak perjuangan dan mengejar wawasan masing- masing.

Wan Harun Hassan merupakan seorang peguam.