KUALA LUMPUR - Forum Antarabangsa Rohingya Stop Genocide semalam mengemukakan sembilan langkah resolusi dalam usaha membantu umat Islam Rohingya, Myanmar yang sedang dizalimi ketika ini.

Program anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersama Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan NGO-NGO Islam yang lain itu telah diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Seramai kira-kira 1,200 orang daripada pelbagai pihak sama ada perseorangan mahupun pertubuhan telah hadir ke forum tersebut untuk sama-sama berbincang, berdiskusi dan mendapatkan maklumat terkini tentang masyarakat Islam di Arakan, Myanmar.

Program tersebut dihadiri oleh Presiden DMDI, Tan Sri Ali Rustam serta pimpinan daripada pelbagai pertubuhan termasuklah Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob; Presiden  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa; Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHOM), Zafar Ahmad Abdul Ghani; Pengerusi Majlis Ulama Rohingya, Mohd Jaber Mohd Subahan; Rektor Kolej Universiti Insaniah, Prof Datuk Dr Fakhrudin Abdul Mukti; dan ramai lagi.

Setiausaha Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor telah membaca serta menerangkan resolusi yang digarap daripada perbincangan, pandangan serta saranan pelbagai pihak khususnya NGO-NGO Islam.

Resolusi tersebut adalah:

1. Mengutuk kezaliman ke atas umat Islam di Myanmar. Mendesak kerajaan Myanmar menghentikan penyeksaan dan kekejaman kepada umat Islam Rohingya di Myanmar dan meminta Asean, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sekretariat Komanwel, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), supaya campur tangan agar kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Rohingya Myanmar dihentikan.

2. DMDI bersama 20 sekretariat DMDI luar negara mendesak OIC, Asean, Komanwel, dan PBB membuat pemantauan dan mengutuk keganasan Myanmar secara rasmi.

3. Mendesak supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa khas dalam PBB serta menghantar pasukan pengaman dari PBB ke kawasan sempadan Arakan.

4. Mendesak supaya anugerah yang telah diberikan kepada Aung San Suu Kyi seperti Anugerah Nobel Keamanan, Anugerah Rafto-Hak Asasi Kemanusiaan 1990, Anugerah Hak Asasi Manusia CAW Nelso Mandela Kanada 2000, dan lain-lain Anugerah ditarik balik.

5. Mendesak kerajaan Myanmar untuk memberi ruang kepada Food Flotilla For Myanmar untuk membawa bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia tanpa menerima sekatan daripada kerajaan Myanmar.

6. Mendesak kerajaan Bangladesh untuk membuka pintu sempadan bagi pelarian Rohingya mendapatkan perlindungan. Selain itu, turut disediakan satu kem yang lengkap serta dibiayai dan dikendalikan oleh PBB.

7. Mendesak PBB untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kekejaman dan jenayah seperti Sami Budhha Wirathu untuk diadili melalui Tribunal ICJ (Mahkamah Antarabangsa).

8. Mendesak Negara-negara dunia mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar hingga kerajaan Myanmar menghentikan kezaliman ke atas rakyat Rohingya.

9. Mendesak semua Negara dan warga dunia mengutuk kekejaman dan kezaliman Myanmar ke atas rakyat Rohingya, Myanmar.

Dalam majlis itu juga, Serantau Muslim telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM12,256.15 kepada Ali Rustam untuk umat Islam Rohingya hasil sumbangan orang ramai yang prihatin dan simpati terhadap saudara seaqidah mereka.

Dalam pada itu, Presiden Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar ketika berucap dalam majlis tersebut mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama untuk sama-sama menentang kezaliman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya.

Katanya, isu Rohingya ini merentas segala sempadan agama kerana ia melibatkan hak asasi dan nilai kemanusiaan. Seluruh masyarakat jelasnya wajar menentang sebarang bentuk kezaliman dan penindasan selari dengan tuntutan agama Islam.

"Oleh yang demikian, kami berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama membantu dan memberikan sokongan terhadap segala usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam membantu umat Islam Rohingya.

"Sokongan anda itu sangat penting, marilah sama-sama membantu kami dalam membantu mereka. Kita adalah bersaudara, penderitaan mereka itu adalah penderitaan kita bersama," katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.