SAYA telah menjalankan lawatan kerja ke Negeri Sarawak bagi melihat sendiri keadaan sekolah-sekolah daif di sana baru-baru ini. Sudah sekian lama mereka hidup dalam serba kekurangan.

Sejak dahulu saya mendengar banyak rungutan berkaitan kedaifan sekolah di sana. Setelah dilantik memegang jawatan Menteri Pendidikan, saya meletakkan masalah sekolah daif ini sebagai antara isu yang paling utama yang perlu diselesaikan segera.

Saya sedih dan terharu melihat keadaan mereka. Lebih mengharukan, para murid dan guru tidak pernah berputus asa terhadap pendidikan. Pendidikan terus dijalankan dan saya menyaksikan sendiri kegigihan mereka menuntut ilmu dalam serba kekurangan.

Mereka mengingatkan saya kepada kata-kata Confucius, “Pendidikan melahirkan keyakinan. Keyakinan melahirkan harapan. Harapan melahirkan ketenangan.”

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan langkah yang drastik untuk menangani masalah ini.

Daripada 1,020 buah sekolah daif, sebanyak 415 buah sekolah berada dalam keadaan sangat kritikal. Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan penambahbaikan sekolah-sekolah tersebut sehingga hujung tahun ini.

Saya bertemu dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi menjalinkan kerjasama untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif ini. Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membaik pulih masalah bekalan air dan juga memperuntukkan sejumlah dana bagi usaha-usaha membaik pulih kemudahan asas yang lain. Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sama-sama berganding bahu untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Selain itu, saya juga telah mengadakan perbincangan meja bulat dengan Jabatan Pendidikan Negeri.  Pertemuan ini disertai oleh 31 Pejabat Pendidikan Daerah dan berlangsung selama satu jam pada 7 September, Jumaat lalu.

Semuanya melaporkan masalah-masalah yang sangat rumit yang boleh memberi kesan kepada perjalanan pendidikan di sekolah. Saya mengucapkan terima kasih atas penyertaan yang penuh dan menggalakkan dari mereka semua.

Pada masa yang sama, sejumlah 48 buah sekolah telah berjaya disiapkan sepenuhnya menerusi projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Fasa I. Pelaksanaan Program Sekolah Daif Fasa 1 Negeri Sarawak dikendalikan olehKPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan masing-masing diberi peruntukan secara berasingan.

Saya juga mendapat maklumat daripada Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian bahawa skop kerja projek Fasa 1 ini melibatkan pembinaan 50 buah sekolah dengan 13 pakej dan 13 kontraktor. Beliau berkata dua buah sekolah akan disiapkan pada pertengahan bulan ini.

Segala perkembangan dari semasa ke semasa akan saya laporkan bagi pengetahuan umum berkenaan operasi membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu bagi menjayakan usaha ini. Pendidikan ialah hak asasi manusia. Tugas saya memastikan hak ini diberikan dengan adil dan saksama.

*Dr Maszlee Malik merupakan Menteri Pendidikan Malaysia