PILIHAN Raya Kecil bagi kerusi Dun Balakong dan Seri Setia yang akan diadakan serentak esok, 8 September akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon PH, sebagai penyandang kepada kedua-dua Dun tersebut, dengan calon MCA/BN di Balakong dan Pas di Seri Setia.

Calon-calon yang akan bertanding adalah seperti berikut:

Dun Balakong

- Wong Siew Ki dari DAP/PH

- Tan Chee Teong dari MCA/BN

Dun Seri Setia

- Halimey Ab Bakar dari PKR/PH

- Dr Halimah Ali dari Pas

Semasa PRU14, PH menang dengan selesa dan majoriti yang besar di kedua-dua Dun tersebut.

Dun Balakong N27

Jumlah pengundi : 61,659

DAP/PH : 41,768 (77.5%)

Pas : 6,230 (11.5%)

BN : 5,874 (11.0%)

Jumlah undi : 53,872 (100%)

Majoriti : 35,538

Peratus keluar mengundi: 87.8%

Dun Sri Setia N32

Jumlah pengundi : 52,650

PKR/PH : 29,250 (66.62%)

Umno/BN : 9,878 (22.50%)

Pas : 4,563 (10.39%)

Bebas : 217 (0.49%)

Jumlah undi : 43,908 (100.00%)

Majoriti : 19,372

Peratus keluar mengundi: 84.2%

Keputusan untuk kedua-dua Dun tersebut pada PRU14 adalah sesuatu yang telah diduga sejak daripada awal kerana kedua-duanya adalah kubu kuat PH.

Pengundi majoriti di Dun Balakong ialah kaum Cina yang telah dimenangi oleh DAP sementara Dun Seri Setia pula adalah kawasan majoriti Melayu yang dimenangi PKR untuk beberapa penggal.

Senario dan isu semasa

Semasa PRU14,  kedua-dua Dun tersebut telah menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, Umno dan Pas. Ini telah menyebabkan undi untuk PH, Umno/BN dan Pas berpecah.

Kali ini pertandingan di kedua-dua kawasan itu satu lawan satu. Pas memberi laluan kepada calon MCA/BN di Balakong dan menyeru ahli dan penyokong mereka untuk menyokong dan mengundi MCA/BN. Sementara itu Umno/BN pula memberi laluan kepada Pas di Seri Setia dan menggesa ahli dan penyokong mereka untuk menyokong dan mengundi Pas.

Senario dan isu semasa yang akan menjadi pertimbangan kepada pengundi dikira tidak banyak bezanya dengan dinamik politik semasa PRK Sungai Kandis baru-baru ini. Jadi keputusan PRK Sungai Kandis boleh dianggap sebagai petunjuk kepada keputusan yang akan dicapai di kedua-dua Dun tersebut nanti.

Polemik kejayaan atau kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dan manifesto 100 hari dijangka akan terus menjadi isu dan tajuk perbincangan yang hangat di kalangan pengundi.

Rakyat pastinya akan membuat penilaian tentang tahap pencapaian PH, keberkesanan mereka mengurus tadbir negara khususnya dalam menangani gejala rasuah, kemampuan mereka untuk menunaikan janji-janji dan sambil itu  mengambil kira apa-apa kegagalan atau kelemahan PH sebagai sebuah kerajaan termasuk kemelut dan kekecohan dalaman di antara parti-parti komponen termasuk tindak-tanduk menteri-menteri yang kurang berpengalaman dalam membuat keputusan mereka.

Isu-isu hangat terkini seperti kontroversi LBGT dan pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng juga akan diperhitungkan. Kita tunggu dan lihat sama ada semua ini menjejaskan atau tidak kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada PH.

Kali ini Najib dijangka tidak akan turun padang untuk berkempen selepas kehadirannya di Sungai Kandis dianggap memberi beban dan menjadi liabiliti kepada Umno.

Hari mengundi kali ini juga jatuh pada hari Sabtu di mana ramai juga penggundi-penggundi bekerja. Dengan keletihan yang dialami dari PRU14 yang baru selesai beberapa bulan yang lepas, peratusan yang keluar mengundi dijangka rendah.

Namun kali ini, kita menaruh harapan ianya akan mencatat peratusan yang lebih tinggi daripada 49.8% yang keluar menggundi di Sungai Kandis.

Dun Balakong

Untuk Dun Balakong, ramai yang lebih berkeyakinan untuk meramal kemenangan selesa bagi DAP/PH kerana pada dasarnya tidak ada sebab mengapa penggundi Cina akan membuat perubahan dalam pendirian mereka.

Masyarakat Cina sudah sekian lama naik jelek dengan politik perkauman Umno/BN dan politik Pas yang berteraskan pengertian dan pendekatan agama yang sempit.  

Setakat ini, masyarakat Cina nampak selesa dengan PH. Sebagai masyarakat yang pragmatik dan praktikal, mereka dijangka akan tetap kekal menyokong PH.  Yang menjadi teka-teki sekarang bukan lagi soal kemenangan untuk DAP/PH tetapi hanyalah jumlah majoriti dan peratusan undi yang akan mereka perolehi, berbanding dengan apa yang mereka perolehi semasa PRU14.

Dalam keadaan demikian pretasi DAP/PH dijangka tidak akan kurang hebatnya berbanding dengan keputusan yang dicapai mereka pada PRU14.

Dun Seri Setia

Untuk Dun Seri Setia, keadaan dan situasinya lebih dinamik daripada Dun Balakong. Seri Setia adalah satu kawasan majoriti Melayu yang memerlukan penelitian yang lebih khusus dan mendalam.

Calon Pas, Dr Halimah Ali boleh dianggap sebagai tokoh politik yang berwibawa. Beliau mempunyai kelayakan akademik yang baik, keluarga yang berjaya dengan suami dan enam anak yang berkelulusan sebagai doktor, pengalaman politik yang luas sebagai bekas Adun dan Exco Selangor.

Semasa PRU14, beliau bertanding di Dun Selat Klang, namum tewas kepada calon PH dengan defisit 500 undi sahaja dengan Pas meraih undi sebanyak 11,766, Umno/BN 9,949 dan PKR/PH 12,266.

Sementara itu, calon PKR Halimey Ab Bakar adalah anak tempatan, lepasan Asian E-University, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor dan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kerjasama di antara Pas dan Umno yang tidak begitu menjadi di Sungai Kandis akan diuji sekali lagi di Seri Setia. Bezanya di Sungai Kandis, calon mereka ialah dari Umno sedangkan kali ini calonnya pula adalah dari Pas.

Kita tunggu dan lihat sama ada ahli dan penyokong Umno dan Pas di akar umbi dapat melupakan sengketa di antara mereka selama ini dan bekerjasama untuk mengejar mimpi baru mereka.

Asakan propaganda dan perang psikologi yang dilancarkan oleh Umno/BN dan Pas terhadap PH akan berterusan dan dijangka akan diguna habis-habisan dalam PRK ini. Apakah ianya berkesan dan akan mendatangkan hasil?

Perlu diingat bahawa rakyat Selangor adalah lebih berpelajaran, lebih kritikal dan lebih mengetahui tentang perkembangan politik semasa berbanding  Melayu di negeri-negeri lain.  

Kesanggupan rakyat Selangor untuk menongkah arus perdana telah berlaku pada PRU12 pada tahun 2008 lagi, diulangi pada PRU13 dan terus berkekalan pada PRU14. Malah pada PRU14 mereka telah memilih bukan sahaja untuk terus menolak Umno/BN tetapi juga untuk menolak Pas.

Mereka memilih untuk bersama dengan gagasan baru PH yang mengabungkan PKR, DAP, Bersatu dan Amanah. Pengundi-pengundi  Seri Setia juga ikut membuat pendirian yang sama. Sikap dan sentimen mereka dijangka akan kekal dan berterusan untuk masa yang terdekat ini.  

Dalam pada itu, ramai juga pemerhati politik memperakui wujudnya perasaan resah dan gelisah di kalangan pengundi-pengundi Melayu kerana mereka diselubungi persepsi  bahawa hak istemewa mereka termasuk kedudukan agama Islam dalam sistem pentadbiran negara sekarang sedang diasak dan mulai terhakis. Sejauh mana faktor ini akan mempengaruhi pemikiran pengundi Melayu di Seri Setia, belum dapat kita pastikan.  

PH mampu kekalkan kerusi

Setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut, rasanya tidak keterlaluan untuk kita meramalkan bahawa  PKR/PH  tetap akan menang di Seri Setia. Tetapi kita tidak akan terkejut jika majoriti dan peratusan undi yang diperolehi mereka akan berkurangan dan lebih mengecil daripada apa yang mereka perolehi pada PRU14.

Jika peratusan undi yang diperolehi oleh Pas lebih besar daripada 34% yang diraih oleh Pas dan Umno semasa PRU14, maka Pas dan Umno boleh mendabik dada dan mengisytihar kemenangan dari segi moral walaupun tewas dalam perkiraan undi popular.

Percaturan politik seterusnya

Apapun keputusan PRK tersebut nanti, bagi rakyat yang berfikiran rasional yang meletakkan kepentingan negara sebagai pertimbangan utama yang mengatasi sentimen kepartian, mereka mungkin melihat dan dapat menerima persaingan di antara PH dan Umno/BN/Pas sebagai sesuatu yang sihat dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Ianya memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menilai dan memilih diantara dua gagasan alternatif. Yang menang menjadi kerajaan, yang kalah sebagai pembangkang dengan peranan sebagai 'check and balance'.

Sekaligus memperkukuh dan mematangkan lagi amalan demokrasi di negara kita.  

*Wan Haron Wan Hassan merupakan Penulis Kanan Sinar Harian