PENGANUGERAHAN KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 bukanlah hanya suatu kemujuran. Ia tidak dikurniakan dengan tangan kosong. Ia perlu diperakukan. Ia punyai roh penyempurnaan yang memungkinkan agenda penganugerahannya hidup dan terpenuhi.

Unesco menilai pembidaan Kuala Lumpur sebaris dengan permohonan daripada Nanjing dan St Petersburg. Ia bukanlah persaingan yang calang-calang. Masing-masing dengan kekuatan tersendiri namun syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya Kuala Lumpur yang terpilih.

Apa yang lebih penting adalah tahunnya, 2020. Ia bukan hanya punyai muatan politik secara maknawi, tetapi juga punyai inti falsafah yang penting dan besar.

Proses pembidaan bermula dua tahun sebelum penganugerahan, manakala pengisiannya akan berlangsung sepanjang tahun.

Sewaktu menyiapkan kertas pembidaan, setiap ceruk dan penjuru agenda perbukuan di lokaliti Kuala Lumpur diselongkar dan digubah dalam bentuk dokumen pembidaan. Menoleh semula kepada proses mengisi acara-acara yang disenaraikan, kita tidak boleh nafikan bahawa Kuala Lumpur punyai roh yang tersendiri. Roh itulah yang memungkinkan hati Unesco tertambat sehinggakan Nanjing dan St Petersberg dinafikan.

Hakikatnya, Kuala Lumpur sudah cukup sarat dengan agenda perbukuan. Malaysia saja mempunyai agensi perbukuan yang meriah dengan kepelbagaian fokus dan agenda. Setiap satu agensi berkenaan sudah pun merencanakan agenda tahunannya bermula dengan kerja memperkaya karya, penerbitan, jualan dan aktiviti-aktiviti besar dan kecil.

Acara baca puisi dianjurkan saban masa di pelbagai arena. Pesta jualan buku sentiasa bertembung kerana masing-masing mencari-cari saat strategik pada hujung bulan itu, terlalu banyak sehinggakan ada yang mengeluh bersaing pengunjung. Peminat pula berkata bajet mereka cukup-cukup untuk hadir ke hanya satu acara. Keseimbangan antara penawaran dan permintaan sedang mencari-cari titik equilibriumnya.

Acara baca juga pelbagai bentuk dan ragamnya. Diselit dengan agenda seni dan budaya, medium bicara juga banyak pilihannya. Daripada yang dianjurkan secara baku sehinggalah kepada acara yang di anggap poket dan pelengkap, di sana-sini pejuang  buku meriah berpolemik khususnya di laman sosial.

Dicelah-celah persaingan itulah muncul agenda-agenda perbukuan berseni seperti yang digerakkan oleh Literatur yang menggabungkan seni persembahan dengan pembacaan dan teknologi digital sebagai satu produk pelancongan. Inovatif sekali.

Semua agenda ini terpusat di tengah-tengah ibu kota yang mendapat namanya daripada lumpur yang berpusar di pertembungan antara dua buah sungai, Klang dan Gombak yang suatu ketika dahulu menjadi pusat temu pedagang dan pelombong. Anekdot yang masih hangat kepada warga kota.

Hakikat sejarah itulah yang telah menerbitkan pelbagai karya sejak dulu hingga kini. Masing-masing meromantisasikan imej Kuala Lumpur menjadi karya sastera yang mendidik sambil menghiburkan, merakam agar menginsafkan dan kini teracu baku dalam pemikiran dan memori bangsa.

Kuala Lumpur nyata punya rohnya yang tersendiri, unik dan mendebarkan. Tiada warga kota yang tidak terpana dengan keragamannya, cuma ia diakui atau tidak, dirakamkan atau tidak, sahaja. Paling tidak, ia akan kekal menjadi anekdot-anekdot kecil di laman sosial masing-masing, berlatar-belakangkan imej dan insiden kota, bakal kekal menjadi cenotaph digital pemilik akaunnya.

Semenjak karya novelet Yang Miskin dan Yang Mewah ditulis oleh Pak Sako sewaktu dalam tahanan ISA, Kuala Lumpur mengilhamkan penceritaan tentang beza gaya hidup miskin dan kaya serta nuansa pemikiran wataknya. Begitu juga cerita Norita dan Kesah2 Kuching Hitam menjadi anekdot nilai kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur pada zamannya.

Sasterawan Negara Keris Mas pula menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur sebagai kritik dalam pelaksanaan dasar membangunkan kelompok usahawan bumiputera dengan latar ibu kota sebagai pusat aktiviti ekonominya.

Kuala Lumpur menjadi bumbu ilham tidak mungkin terhenti. Obor itu dijunjung pula oleh karyawan selanjutnya, bukan hanya dalam karya-karya baku, bahkan juga indie. Anarki di Kuala Lumpur adalah karya Mohd Jayzuan merakamkan sisi kehidupan yang melatari dirinya sebagai pemuzik indie di Kuala Lumpur, mengambil jalur cerita yang hampir sama seperti kisah Kuching Hitam Pak Sako, kehidupan libur yang kalut di Kuala Lumpur. Cerita-cerita noir sebegini punyai khalayaknya yang tersendiri sehingga memungkinkan antologi siri KL Noir mendapat tempat dalam kalangan pembacaan di ibu kota.

Karya-karya yang mengungkap sisi-sisi yang dahulunya tabu muncul di celah-celah kehangatan politik tanah air. Saat mendidih era reformasi dirakamkan oleh Bernice Chauly di dalam Once We Were There sebagai latar cerita.

Selepas terpacul menara berkembar tertinggi di dunia dibangunkan di atas dahulunya tapak lumba kuda, ia mula menjadi imaginasi karyawan mutakhir bukan hanya dalam bentuk penulisan, tetapi juga pementasan, visual bahkan filem. Filem Rise Ini Kalilah mengungkapkan perubahan psiki dan sosial rakyat Malaysia pasca PRU14, percubaan yang tangkas oleh karyawan filem.

Kuala Lumpur ada roh. Kuala Lumpur hidup. Dan kehidupan itu menginspirasikan bukan sedikit, tetapi ramai.

Kuala Lumpur tidak menjadi Kuala Lumpur tanpa budaya dan nilainya yang tersendiri, dengan segenap idiosinkrasinya. Jika KL ditandai dengan makan dan gelagat orangnya, pasti itu juga menjadi tarikan kepada warga dunia untuk membaca tentang KL.

Di dalam salah satu edisi KL Trade and Copyright Center yang memperdagangkan kandungan Malaysiana ke pentas serantau dan antarabangsa, salah seorang pembeli kandungan menyatakan kepada penganjur keinginannya untuk mencari ‘cerita’ Malaysiana. Hakikatnya, khalayak antarabangsa sentiasa mencari-cari pengertian di sebalik keberadaan, mencari makna di sebalik penzahiran.

Inilah hakikat keistimewaan KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia kerana buku bukanlah sebuah penzahiran yang kosong. Buku merupakan entiti yang diwujudkan oleh nilai karyawannya. Baik buruk sebuah buku adalah penzahiran nilai mereka yang membangunkannya.

Justeru hakikat penganugerahan KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 mempunyai maknanya yg unik dan tersendiri kepada bukan hanya kepada kalangan karyawan buku tanah air, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia, kepada dunia - Bahawa Malaysia mempunyai cerita yang menarik untuk diperdengarkan.

Kita harus tulus menceritakan ini kepada dunia. Bukan tentang kisah-kisah yang ‘make belief’. Malah setidak-tidaknya perubahan pasca Mei 9 merupakan cerita yang dimata-matai dunia kini. Dunia kagum melihat transisi yang murni dalam peralihan kuasa sebuah negara Islami – sesuatu yang tidak dijangkakan.

Justeru, penganugerahan KL Ibu Kota Buku Dunia 2020 merupakan pertembungan beberapa buah kemujuran – pertama, pembidaan dibuat sejak awal 2018. Kedua, Malaysia memenangi penganugerahan bagi tahun 2020, tahun yang diangkat sebagai peralihan psiki Malaysia menjadi negara maju. Ketiga, ia merupakan wawasan yang digagaskan oleh pemimpin yang kembali berada di tampuk kuasa dengan rekod-rekod unik yang dibicarakan oleh seluruh dunia. Keempat, ia berlaku selepas peralihan kuasa berlaku dengan perubahan peranggu minda rakyat pasca PRU14.

Apakah kemungkinan kemujuran-kemujuran ini bikinan perancangan manusia?

Ia bahkan sebuah ‘divine intervention’ dan Tuhan tidak mungkin menjadikan sesuatu itu sia-sia.  Dia, yakni Tuhan, menuntut kita mengisi makna penganugerahan itu.  Kita mulakan dengan bersyukur.

* Sayed Munawar SMM Perbadanan Kota Buku