TAHUN 1989 menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin dan faham komunis yang dilambangkannya. Ini disusuli dengan kemunculan satu orde dunia baharu yang disebut sebagai market-place society atau masyarakat pepasar.

Dalam masyarakat pepasar, bukan sahaja ideologi malah agama dan falsafah tidak lagi menjadi sandaran kepada wawasan kehidupan. Ideologi, agama dan falsafah dilihat sebagai penyebab kesengsaraan manusia sehingga berperang sesama sendiri kerana cuba menegakkan fahaman masing-masing.

Masyarakat pepasar sebaliknya menumpu kepada memenuhi kepuasan hidup daripada berjuang tentang kebenaran hidup.

Untuk itu, dunia perlu menjadi sebuah pasar raya di mana segala yang membawa kepada kepuasan hidup boleh didapati dengan banyak, mudah dan cepat dan boleh memenuhi permintaan mana-mana pihak.

Sehubungan itu, bekerja menjadi fokus utama supaya banyak yang dapat dihasilkan untuk memuaskan kehendak manusia yang berbagai-bagai dan juga tidak putus-putus.

Kerana bekerja adalah segalanya kepada bentuk masyarakat sebegini, ini tentunya memberi kesan kepada kehidupan.

Ambil keluarga sebagai contoh. Dalam masyarakat pepasar, kedua ibu bapa terpaksa bekerja sepanjang masa bukan semata untuk menyara keluarga tetapi supaya dapat memenuhi permintaan masyarakat untuk ini dan itu.  

Dalam keadaan ibu bapa senantiasa tiada di rumah, apakah yang tinggal kepada makna berkeluarga?

Dalam masyarakat pepasar, keluarga bukan lagi berkisar di rumah tetapi di panggung wayang, tempat membeli-belah, restoran, tempat percutian dan peranginan, dan sebagainya.

Tempat-tempat beginilah yang membentuk istilah keluarga dunia hari ini. Keluarga kini bukanlah satu wadah yang menempatkan seisi keluarga bersama tetapi adalah kegiatan-kegiatan ekonomi yang berselerak di merata kota dan desa. Keluarga sekarang adalah cebisan ini dan itu yang membentuk makna berkeluarga.

Bapa bukan lagi yang apa kita fahami selama ini tetapi adalah watak-watak komik seperti Superman, Batman dan Iron Man. Dalam filem Jingle All The Way, seorang bapa (watak dimainkan oleh Arnold Schwarzenegger) senantiasa dibelenggu dengan kerjanya sehingga tidak ada masa untuk anak lelakinya.

Tapi anaknya mendapati Turboman iaitu adiwira sebagaimana Superman dan Spiderman dapat menjadi watak yang diidamkan sebagai contoh ikutannya. Untuk si anak, Turboman memadai sebagai pengganti kepada bapanya.

Restoran-restoran pula ber-cambah seperti cendawan supaya dapat menampung permintaan orang ramai yang semakin kerap makan di luar rumah.

Sarapan, makan tengah hari dan malam semuanya dilakukan di luar rumah. Restoran ‘cepat dan nikmat’ seperti KFC dan McDonald’s menjadi kegemaran keluarga menjamu selera bersama dan anak-anak kecil cukup teruja dan suka kepada restoran-restoran seperti ini.

Rumah menjaga orang tua pula semakin bertambah kerana anak-anak tiada masa untuk menjaga ibu bapa mereka yang semakin berumur dan uzur dan tempat sebegini dilihat paling sesuai untuk menempatkan ibu bapa mereka bukan sahaja kerana mereka dapat jagaan tetapi juga dapat berkawan dengan orang yang sebaya dengan mereka.

Namun apakah rumah orang tua sesuatu yang ibu bapa mahu meskipun ia menawarkan khidmat yang cukup memuaskan hati?

Bila tiba musim perayaan, tempat peranginan dan percutian menjadi tumpuan utama keluarga. Ini tentunya memberi kesan kepada cara beraya yang selama ini menumpu kepada konsep ‘balik kampung’ di mana ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai dapat bersemuka dan mengeratkan tali silaturahim sesama mereka.

Perkembangan sebegini ak-hirnya menjadikan hubungan sesama manusia suatu yang bersifat perniagaan di mana kepenggunaan menjadi teras sifat kemanusiaan.  

Segala aktiviti  daripada keluar-ga hingga kepada pendidikan, kesihatan, dan juga agama berubah kepada aktiviti jual beli di mana kemanusiaan hanya tinggal komoditi yang sekadar diguna pakai untuk kepuasan dan selepas itu dibuang dan diganti dengan komoditi yang baru untuk kepuasan seterusnya.

Sehingga bila orde baharu dunia ini dengan masyarakat pepasarnya dapat bertahan adalah sukar untuk diramal.

Tetapi satu perkara yang pasti ialah sistem masyarakat sebegini yang menjadikan kepuasan hidup kebendaan dan bekerja sepanjang masa untuk memenuhi tuntutan hidup ini tentunya akan mendatangkan satu revolusi sosial yang akan mencabar konsep hidup masyarakat pepasar yang ada pada hari ini.

*Penulis ialah bekas Pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • SAYA ingin mengulas mengenai langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.
  • ISLAM adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Ini adalah persepsi umum di Malaysia, baik oleh orang Melayu mahu pun yang berbangsa Tionghoa atau Cina.
  • HARI ini tamat Menteri menjawab Perbahasan Belanjawan 2018 di Peringkat Dasar. Setelah dibahaskan daripada 30 Oktober 2017 hingga 13 November 2017. Petang ini hari untuk mengundi.
  • INSTITUSI masjid telah memainkan peranan yang besar kepada masyarakat Islam. Fungsi masjid pada ketika ini bukan sahaja sebagai tempat beribadat setiap hari, tetapi telah menjadi tempat penyatuan ummah dengan pelbagai aktiviti lain yang boleh dianjurkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.